Oleh: Ahmad Ismail
Inisiatif “Makmal Hidup” di UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka boleh menjadi satu pendekatan strategik rentas disiplin yang memanfaatkan ekosistem tanah lembap, khususnya Tapak Ramsar Tasek Bera. UiTM yang ditubuhkan pada tahun 1985 dan beroperasi penuh di Jengka pada Mei 1993, berada pada kedudukan terbaik untuk menerajui dokumentasi data pasca 30 tahun pewartaan Tasek Bera sebagai Tapak Ramsar pertama Malaysia yang diwartakan pada 10 Mac 1995. Walaupun dipisahkan dengan jarak 112 kilometer, hubungan penyelidikan, pemeliharaan flora, fauna, ekologi, serta pembangunan pendidikan, ekonomi, dan budaya komuniti Orang Asli di Tasek Bera boleh menjadi antara agenda penting UiTM Jengka dalam memacu kelestarian alam dan pendidikan kepelbagaian biologi jangka panjang.

Melalui konsep “makmal hidup” ini, lima teras penting UiTM boleh terlibat:
- Penyelidikan: Menjadi medan eksperimen lapangan untuk mengkaji pemeliharaan flora, fauna, ekologi, serta impak perubahan iklim, dan komuniti tempatan.
- Pengajaran: Mengubah pendekatan pembelajaran praktikal bagi program pengurusan kepelbagaian biologi dan sains gunaan.
- Latihan Pelajar: Melatih kemahiran teknikal seperti kaedah persampelan, pemantauan ekosistem, dan pemuliharaan alam sekitar secara realistik. Perlaksanaan melalui projek tahun akhir atau amali pelajar boleh dilakukan.
- Perkhidmatan Komuniti: Melibatkan masyarakat setempat dalam aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan bagi menyemai kesedaran sivik, khususnya bersama komuniti Orang Asli Semelai.
- Pemindahan Ilmu: Menyalurkan kepakaran akademik universiti kepada komuniti luar, sekolah, dan agensi melalui program Sains Masyarakat.
Program Pengurusan Biodiversiti khusus di UiTM Jengka disokong rapat oleh inovasi pertanian dan teknologi kejuruteraan bagi mencipta impak perkhidmatan komuniti yang lestari. Pendekatan sinergi multidisiplin dengan integrasi kepelbagaian biologi, pertanian, dan kejuruteraan boleh dilakukan.
Melalui program berkaitan kepelbagaian biologi di Tasek Bera, pelajar dibawah bimbingan pensyarah boleh menjalankan aktiviti bersama masyarakat setempat termasuk pelajar sekolah dan jabatan kerajaan terlibat dalam pengurusan Tapak Ramsar. Data daripada aktiviti dapat didokumentasikan dalam bentuk modul untuk dimanfaatkan oleh komuniti.
Fakulti Perladangan dan Agroteknologi UiTM boleh mengintegrasikan kepelbagaian biologi di kawasan ladang komersial. Program khidmat masyarakat boleh dijalankan untuk membimbing peneroka FELDA terdekat menguruskan tanah secara mesra alam bagi mengurangkan kemerosotan kepelbagaian biologi dan kesihatan tanah.
Program Teknologi Kejuruteraan Awam (Pembinaan) membantu membina sistem pengurusan air lestari bagi mengekalkan kelembapan habitat tanah lembap serta merancang reka bentuk struktur mesra alam dalam memulihkan kawasan tadahan air yang kritikal.
Pendekatan terbaik untuk memelihara Tasek Bera adalah dengan memperkasakan pendidikan dan ekonomi penduduk Semelai agar mereka dapat bersama-sama menjaga tapak Ramsar. Usaha ini mestilah diselaraskan berasaskan budaya dan kepercayaan tempatan mereka yang sememangnya hidup harmoni dengan alam semula jadi. Melalui pemindahan ilmu yang menghormati kearifan tempatan, masyarakat Semelai tidak lagi sekadar menjadi pemerhati, malah diangkat sebagai penjaga utama yang melindungi kelestarian ekosistem tasik daripada ancaman kepupusan.
Bagi memastikan sumbangan UiTM memberikan impak berfokus dalam jangka panjang, program pemindahan ilmu dan perkhidmatan komuniti ini perlu berjalan seiring melalui perkongsian dana dan matlamat dengan pelbagai agensi strategik:
- Kolaborasi bersama JAKOA, Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah, MARA, FELDA, serta pihak Pengurusan Tapak Ramsar sendiri untuk menyatukan dana serta menggerakkan program pembangunan desa yang lestari.
- Sebagai pihak yang banyak berinteraksi dengan kawasan sekitar Tasek Bera, FGV memikul peranan kritikal untuk membantu memulih dan memulihara zon penampan dan zon riparian. Sebagai tanggungjawab Korporat Impak Tinggi, FGV boleh memberi sokongan kewangan untuk kajian membendung isu pencemaran aliran permukaan, sedimen, dan nutrien. Dana yang diperolehi digunakan dalam aktiviti pelajar dan penyelidikan mencari kaedah terbaik dalam pengurusan tapak Ramsar serta pemeliharaan habitat secara holistik.
- Rancangan Kawasan Khas Pengurusan Pembangunan Bagi Pemeliharaan Tapak Ramsar Tasek Bera juga boleh melibatkan tenaga pakar dalam menyediakan dokumen pelan perancangan fizikal dan pembangunan terperinci yang disediakan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) oleh kerajaan negeri Pahang melalui PLANMalaysia@Pahang.
Untuk merealisasikan usaha ini, rakan kolaborasi boleh digerakkan melalui bahagian-bahagian yang berkaitan di UiTM. Sumbangan UiTM dalam pemulihan, pemuliharaan Tapak Ramsar sangat bermakna kepada negara dan dunia.

More Stories
MPM tubuh Jawatankuasa Kebangsaan Merekayasa Agenda Ekonomi Bumiputera
When AI Gets It Wrong, Who Answers?
Kg. Bharu to House Some of The World’s Most Profitable Companies…