September 25, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Generasi Terakhir Sebuah Warisan

Oleh:  Mohamad Letfee Ahmad 

Di satu sudut terpencil daerah Kota Tinggi, Johor, tinggal sebuah masyarakat kecil Orang Asli yang menyimpan sejarah panjang tentang penghijrahan, kehidupan, adat dan budaya yang jarang diketahui oleh masyarakat umum.

Mereka ialah kaum Kanaq yang berasal dari Pulau Sekanak di Kepulauan Riau, Indonesia dan dibawa ke Johor pada abad ke-19.

Kaum Kanaq kurang dikenali di luar lingkungan kajian Orang Asli.  Kaum ini  merupakan sebahagian daripada 18 kumpulan etnik Orang Asli di Malaysia.  Mereka adalah antara kelompok Orang Asli daripada golongan Melayu Proto yang paling kecil jumlahnya di negara ini.

Berdasarkan Bancian Penduduk dan Perumahan 2020, jumlah keseluruhan kaum Kanaq direkodkan seramai 90 orang sahaja terdiri daripada kira-kira 23 keluarga.  

Jika angka ini benar, perkara ini wajar diberi perhatian serius.  Apakah yang bakal terjadi kepada identiti dan warisan Kanaq sekiranya jumlah generasi mereka terus menurun?

Generasi yang Merentasi Laut

Menurut catatan sejarah, kaum Kanaq mempunyai hubungan dengan kepulauan Riau-Lingga di Indonesia.  Nenek moyang mereka berhijrah ke Tanah Melayu kira-kira 200 tahun lalu, sebelum akhirnya membina kehidupan di Johor.  Kebanyakan mereka kini tinggal di Kampung Sungai Selangi, Mawai, di daerah Kota Tinggi.

Perjalanan panjang kaum Kanaq daripada kepulauan Riau-Lingga ke Johor merupakan sebahagian daripada sejarah pergerakan masyarakat di rantau Nusantara sebelum wujudnya sempadan negara moden seperti yang dikenali hari ini.

Kaum Kanaq memiliki warisan sejarah yang turut menghubungkan masyarakat Melayu dan Orang Asli dengan dunia kepulauan Melayu.  

Banyak kisah kaum Kanaq hanya tersebar melalui cerita lisan daripada ibu bapa kepada anak-anak, daripada datuk dan nenek kepada cucu.  Apabila generasi yang menyimpan cerita itu semakin berkurangan, sebahagian sejarah tersebut turut hilang bersama-sama pemergian mereka.

Daripada hutan ke kehidupan moden

Kehidupan kaum Kanaq hari ini sangat berbeza berbanding generasi terdahulu.  Mereka kini menikmati kemudahan asas yang lengkap di bawah program pembangunan yang dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).  Antara kemudahan itu ialah bekalan elektrik 24 jam, air paip, jalan berturap, surau serta kemudahan tadika untuk anak-anak mereka.  

Masyarakat Kanaq kini sudah tidak lagi mengamalkan kehidupan secara nomad yang bergantung sepenuhnya kepada hasil hutan.  Sebilangan besar daripada mereka kini menjadi pekerja ladang kelapa sawit milik FELCRA.

Ada antara mereka yang sudah mampu memiliki motosikal dan peralatan elektrik di rumah. Perubahan ini menunjukkan bahawa masyarakat Kanaq tidak hidup terpisah daripada arus pembangunan negara.

Mereka juga sedang melalui proses perubahan sosial yang sama seperti masyarakat lain.  Jika dahulu, mereka menjalani kehidupan secara tradisional, kini mereka sudah selesa dengan kehidupan yang lebih moden.

Namun, pembangunan tidak menghilangkan identiti mereka sebagai kaum yang berpegang kuat kepada adat dan warisan tradisional.  Sebaliknya, semakin pantas perubahan berlaku, semakin kuat pegangan mereka kepada tradisi, warisan dan sejarah.

Pendidikan membawa harapan baharu

Antara perkembangan yang memberikan harapan kepada masa depan masyarakat Kanaq ialah kesedaran ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak.  Anak-anak kaum ini sudah mula mengenali apa itu sekolah.  Banyak antara mereka kini dihantar ke sekolah, termasuk Sekolah Kebangsaan Mawai.

Pendidikan memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk membina masa depan yang lebih baik.  Kemahiran yang diperoleh bakal menjadikan mereka lebih mahir dan bersedia untuk melangkah ke alam pekerjaan dan kehidupan yang lebih selesa.

Namun, pendidikan formal juga perlu dilengkapi dengan pendidikan tentang akar budaya sendiri.

Anak-anak kaum Kanaq perlu mengetahui siapa mereka, dari mana asal mereka, bagaimana nenek moyang mereka hidup dan apakah warisan yang diturunkan kepada mereka.

Tanpa pengetahuan tentang sejarah sendiri, generasi muda mungkin membesar dengan mengenali dunia luar lebih daripada masyarakat mereka sendiri.

Antara tradisi dan perubahan

Masyarakat Kanaq turut melalui perubahan dalam kehidupan sosial dan keagamaan.  Keseluruhan anggota masyarakat Kanaq kini dikatakan sudah menganut agama Islam.  Dari aspek sosial, kaum Kanaq sudah menerima perubahan dengan membina keluarga melalui perkahwinan dengan kaum lain.  Ini berbeza daripada generasi terdahulu yang membina keluarga daripada kelompok mereka sahaja.  

Adat masyarakat Kanaq yang tidak menggalakkan perkahwinan campur dengan suku kaum lain merupakan perkara yang sering disebut sebagai faktor yang menghalang perkembangan populasi mereka.  Justeru, dinamika sosial ini sudah pasti akan meningkatkan jumlah populasi kaum Kanaq pada masa hadapan.

Namun, dalam konteks sebuah kelompok minoriti, perubahan demografi akan membawa kesan yang lebih besar terhadap kelangsungan identiti.  Realiti sosial yang berubah ini akan menumbulkan kebimbangan sama ada identiti dan warisan masyarakat Kanaq dapat terus dipelihara dalam suasana perubahan tersebut.

Meskipun jumlah penduduk kaum Kanaq tidak sebesar kaum lain, warisan mereka tetap penting dan tidak boleh dibiarkan pupus.  Setiap cerita, lagu, makanan, pakaian, adat dan pengalaman hidup mereka, mempunyai nilai sejarah yang tinggi.

Menyelamatkan warisan sebelum terlambat

Usaha mendokumentasikan kehidupan kaum Kanaq perlu dilakukan segera bagi memelihara warisan mereka.  Semua pihak berkepentingan termasuk ahli akademik, pakar antropologi, ahli sejarah, pakar bahasa serta JAKOA mesti terlibat dalam program pendokumentasian ini.  Yang penting, masyarakat Kanaq sendiri, sebagai pemilik warisan, mesti menjadi sebahagian daripada proses tersebut dan tidak hanya dianggap sebagai subjek kajian semata-mata.

Suara dan cerita mereka perlu didengar dan dicatat.  Mereka perlu diberi ruang untuk menyuarakan pandangan mereka tentang masa lalu serta masa hadapan dalam ekosistem masyarakat Orang Asli dan masyarakat Malaysia yang berbilang keturunan.

Kita sering berbangga dengan keunikan masyarakat dan budaya kita yang merentasi kaum dan keturunan.  Namun kepelbagaian itu tidak akan bermakna jika warisan kelompok kecil ini tidak dipelihara.  Tanggungjawab untuk memastikan cerita warisan kaum Kanaq terus terpelihara, terletak di tangan kita.  

Jika benar jumlah mereka kini sekitar 90 orang, maka setiap seorang daripada mereka membawa sebahagian daripada sejarah yang tidak ternilai.

Jangan tunggu sehingga sebuah masyarakat pupus untuk kita mula menghargai warisannya.