November 9, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

SEM-12: Siapa Akan Menyelamatkan Kepelbagaian Biologi Malaysia Jika Bukan Generasi Muda Hari Ini?

Oleh Ahmad Ismail

Ketika dunia semakin bimbang tentang perubahan iklim, satu lagi krisis yang tidak kurang serius sedang berlaku secara senyap iaitu kehilangan kepelbagaian biologi. Hakikatnya, krisis ekologi yang sedang dihadapi dunia hari ini bukan sekadar isu alam sekitar, tetapi berkait rapat dengan keselamatan makanan, kesihatan manusia, ekonomi dan kelangsungan kehidupan di planet ini.

Atas kesedaran tersebut, Persatuan Ekologi Malaysia (PEM) telah menganjurkan Seminar Ekologi Malaysia Ke-12 (SEM-12) pada 8 November 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dengan tema “Krisis Ekologi Tiga Serangkai: Kesihatan Planet, Perubahan Iklim dan Kehilangan Kepelbagaian Biologi.” Seminar ini menghimpunkan saintis, ahli akademik, pembuat dasar, usahawan, pelajar dan pengamal industri bagi membincangkan cabaran serta penyelesaian kepada krisis yang semakin meruncing.

Satu mesej jelas yang muncul daripada seminar ini ialah Malaysia memerlukan lebih ramai pakar kepelbagaian biologi dengan segera. Walaupun negara diiktiraf sebagai antara negara megabiodiversiti dunia, jumlah pakar dalam banyak bidang taksonomi masih terlalu kecil berbanding kekayaan kepelbagaian biologi yang dimiliki. Sebagai contoh, Malaysia mempunyai lebih 700 spesies liverwort atau lumut hati yang telah direkodkan, namun bilangan saintis tempatan yang benar-benar aktif mengkaji kumpulan tumbuhan ini boleh dibilang dengan jari.

Keadaan yang sama berlaku dalam kumpulan serangga, kulat, reptilia, amfibia dan pelbagai organisma lain yang memainkan peranan penting dalam kestabilan ekosistem. Tanpa pakar yang mencukupi, banyak spesies mungkin pupus sebelum sempat dikenal pasti, direkodkan atau difahami kepentingannya kepada manusia dan alam sekitar.

Lebih membimbangkan, tekanan pembangunan yang semakin pesat menyebabkan habitat semula jadi terus mengecil. Pembukaan kawasan hutan, perlombongan, pembangunan infrastruktur serta perubahan guna tanah telah meningkatkan risiko kehilangan spesies flora dan fauna.

Justeru, SEM-12 menegaskan bahawa inventori kepelbagaian biologi yang komprehensif perlu dijadikan sebahagian daripada proses pembangunan. Syarikat pembalakan, perlombongan dan sektor korporat perlu memainkan peranan lebih besar dalam menyokong kajian kepelbagaian biologi serta pembangunan bakat saintifik negara. Penilaian sebelum projek pembangunan diluluskan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada aspek ekonomi dan kejuruteraan semata-mata.

Seminar turut menggesa agar kerjasama antara kerajaan, universiti, institusi penyelidikan dan sektor swasta diperkukuhkan. Program latihan, penyelidikan bersama, biasiswa, sangkutan industri dan pembangunan bakat perlu dilaksanakan secara lebih terancang. Bahagian Pengurusan Biodiversiti di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersama universiti awam dan NGO boleh memainkan peranan penting dalam melahirkan barisan pakar baharu dalam bidang ekologi, taksonomi dan genetik.

SEM-12 juga turut menekankan keperluan memperkenalkan pendekatan baharu seperti kejuruteraan ekologi dalam sektor pertanian. Pengurusan sawah padi, ladang serta pertanian tanah tinggi perlu mengambil kira fungsi kepelbagaian biologi bagi mengawal perosak secara semula jadi, meningkatkan hasil tanaman dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan kimia.

Dalam bidang pemantauan alam sekitar pula, penggunaan organisma petunjuk seperti ikan medaka, serangga akuatik dan bioindikator lain perlu diperkasakan. Teknologi moden seperti Sistem Maklumat Geografi (GIS), penderiaan jauh, kecerdasan buatan serta analisis data raya perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memahami keadaan sebenar ekosistem negara dan membantu proses membuat keputusan.

Pada masa yang sama, Malaysia perlu menilai kemajuan pelaksanaannya terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Kerangka Biodiversiti Global Kunming-Montreal (KMGBF), termasuk sasaran global “30×30” untuk melindungi sekurang-kurangnya 30 peratus kawasan daratan dan lautan menjelang tahun 2030.

Seminar ini berjaya menghubungkan dunia sains, dasar dan pentadbiran. Kehadiran pelajar daripada pelbagai bidang termasuk biologi, dasar awam dan pentadbiran menunjukkan bahawa penyelesaian kepada krisis ekologi memerlukan pendekatan rentas disiplin.

Sesungguhnya, persoalan paling penting bukan lagi sama ada Malaysia mempunyai kepelbagaian biologi yang kaya atau tidak. Persoalannya ialah adakah kita mempunyai cukup pakar, penyelidik dan pemimpin muda untuk melindunginya? Jika pembangunan bakat tidak dipercepatkan sekarang, negara mungkin kehilangan sebahagian khazanah biologi yang tidak boleh diganti lagi.

SEM-12 telah memberikan peringatan yang jelas. Generasi muda perlu diberi peluang, latihan dan sokongan untuk muncul sebagai ahli taksonomi, genetik dan ekologi.  Mereka bukan sekadar pewaris ilmu, tetapi benteng terakhir negara dalam menghadapi krisis ekologi tiga serangkai iaitu kesihatan planet, perubahan iklim dan kehilangan kepelbagaian biologi.