September 24, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

MPM tubuh Jawatankuasa Kebangsaan Merekayasa Agenda Ekonomi Bumiputera

Pada hari Selasa 22 September 2026, sekumpulan usahawan muda berjiwa waja berdarah Jebat, berkunjung ke Wisma MPM Bina Daulah, berbincang mengenai agenda ekonomi bumiputera. Sekretariat MPM mengundang beberapa orang panel pemikir MPM dalam kalangan mereka yang terlibat dalam agenda ekonomi dan kemakmuran, hadir sama. Tujuan utama perbincangan ini ialah untuk berkongsi cerita, pengalaman dan pendapat mengenai agenda ekonomi bumiputera.

Sejak berhijrah ke Wisma MPM Bina Daulah di Jalan Ledang, warga MPM diamanahkan menggalas tanggungjawab membantu pemimpin negara, merencana agenda besar bangsa dan negara.

Mandat kepada MPM, dari YAB Dato Seri Dr Ahmad Zahid, Timbalan Perdana Menteri, ketika merasmikan Wisma MPM Bina Daulah, pada 17 Disember 2017.

Kami di MPM komited menggalas tanggungjawab itu. Dalam melaksanakan amanah itu, kami berurusan dengan banyak pihak dalam kalangan pemegang taruh, terutamanya institusi yang dipertanggungjawabkan untuk memperkasakan agenda bumiputera, termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Perusahaan Awam.

Dalam setiap urusan itu kami bersangka baik terhadap institusi berkenaan yang kami percaya dan yakin, mereka juga menggalas amanah yang sama seperti kami.

Pada sesi perjumpaan ini, turut diimbas kembali pengalaman pahit MPM merekayasa 14 resolusi utama KEB 1 1965, yang kami usahakan semasa kongres yang dijenamakan sebagai Kongres KEB 1 1965-2020. Ia diadakan, pada 1 Oktober 2020, di Wisma MPM Bina Daulah. Upacara perasmian penutupan kongres itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Kami warga MPM amat teruja dengan keghairahan kerajaan ketika itu, yang secara spontan, mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Bersama MPM-Kerajaan, bagi memperhalusi 14 resolusi itu untuk diambil tindakan oleh kerajaan. Salah satu agenda besar yang diajukan antara 14 resolusi itu ialah penubuhan Kementerian Hal Ehwal Bumiputera di JPM, dengan MARA sebagai agensi utamanya.

Malangnya, keghairahan itu sekadar mimpi untuk membuatkan kami terlena seketika dengan janji-janji manis, tanpa sebarang hasil.

Bersama panel pemikir MPM, terpapar wajah anak-anak muda berjiwa waja berdarah Jebat yang komited galas amanah merekayasa agenda bumiputera.

Kami dalam kalangan pemikir MPM mengingatkan anak-anak muda yang hadir itu agar tidak mengulangi kesilapan yang kami lakukan. Cukuplah sekali agenda bumiputera diperdayakan.

Bersama, kami berbincang untuk mencari jalan bagaimana, agenda ekonomi bumiputera yang hendak direkayasa, dikaitkan dengan DEB 1970, RMK (1 hingga 13) dan Kongres Ekonomi Bumiputera (1/1965 hingga 8/2024).

Apa pun, yang paling penting ialah bagaimana usaha merekayasa ini dapat mengaitkan kesemua hak, peruntukan dan mandat agenda ekonomi bumiputera, dengan pelbagai peruntukan terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, serta undang-undang dan akta yang ada.

Dalam Perlembagaan, ada beberapa peruntukan khusus menjaga kepentingan bumiputera. Perkara 153 misalnya, cukup omnibus skop kuasanya. Adakah bumiputera benar-benar memanfaatkan peruntukan Perkara 153 ini? Adakah setiap kementerian, agensi pelaksana, agensi pengupaya malah GLC dan Badan Usaha Milik Negara (SOE) yang dimandatkan, bersungguh-sungguh memperkasakan agenda ekonomi bumiputera sebaik mungkin?

Jika bumiputera masih tidak berpuas hati dengan pelaksanaan yang terkandung dalam Perkara 153 itu, mengapa hingga kini belum ada satu pun kes berkaitan dengannya dicabar di mahkamah?

Rata-rata kami yang menyertai perbincangan ini berpendapat bahawa, bumiputera terlalu apologetik, humble dan diplomatik dalam berurusan sama ada dengan kementerian, agensi atau GLC yang diamanahkan memperkasakan agenda bumiputera.

Sebagai perbandingan, bukan bumiputera, malah warga asing yang ramai daripadanya kini bergelar warganegara, lebih berjaya dalam perniagaan mereka. Mereka itu tidak berurusan dengan pelbagai institusi kerajaan, perbadanan atau korporat, sepertimana bumiputera. Mereka berurusan dengan teratur dan terancang, siap dengan sokongan pelbagai khidmat profesional, terutama dalam bidang berkaitan perundangan dan kewangan. Jika permohonan atau cadangan mereka lambat berjawab atau ditolak, golongan profesional inilah yang akan membuat susulan, bertindak dan mempersoalkan mengapa ia lambat diambil tindakan, atau ditolak.

Mengapa usahawan bumiputera tidak belajar daripada cara mereka bertindak?

Majoriti usahawan bumiputera masih berminda seperti melukut di tepi gantang, atau tidak tampil dengan penuh keyakinan, tersengih-sengih, ibarat kerang busuk, seolah-olah menagih simpati. Bak kata pepatah, hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.

Hakikatnya, bukan kerana bumiputera tidak cukup bagus atau cukup layak memperoleh apa yang dipohon atau dicadangkan. Hakikatnya, bumiputera tidak mengambil peduli begitu banyak ancaman yang sebenarnya melemahkan mereka, termasuk melemahkan minda dan daya saing mereka.

Pada perjumpaan ini, MPM mengingatkan anak-anak muda itu, sembilan antara ancaman utama yang senantiasa menghantui bumiputera, termasuk sindrom color blind dalam kalangan penyandang institusi eksekutif dan surutnya gelombang kesungguhan politik dalam kalangan pemimpin politik.

Foto di halaman Wisma MPM, berlatarbelakangkan Bangunan Parlimen, simbolik kepada amanah yang digalas demi agama, bangsa dan negara.

Warga MPM yang hadir pada perbincangan itu turut membayangkan beberapa kes yang terjadi kepada beberapa orang usahawan dalam kalangan sekutu MPM yang menjadi mangsa kepada pelbagai ancaman itu, serta faktor keperibadian mereka yang terlalu apologetik, humble dan diplomatik.

Akhir kalam, kami di MPM memohon kita semua, yang membaca rencana ini agar sama-sama mendoakan kejayaan untuk anak-anak muda berjiwa waja berdarah Jebat ini. Mereka komited untuk membentuk dan menganggotai Jawatankuasa Kebangsaan Merekayasa Agenda Ekonomi Bumiputera. MPM pula komited untuk memudah cara hasrat mereka dan bersetuju sekretariat tetap kepada Jawatankuasa ini ditempatkan di MPM.

Sebelum bersurai, kami sama-sama saling ingat mengingatkan agar Jawatankuasa ini tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh MPM. Hendaknya Jawatankuasa ini, yang pendokongnya terdiri daripada anak-anak muda berjiwa waja dan berdarah Jebat, ada keberanian, kesungguhan dan kelestarian, untuk memperjuangkan agenda ekonomi bumiputera. Mereka hendaklah memilih jalan berbeza daripada apa yang pernah dilakukan oleh MPM sebelum ini. Setiap tindakan mereka hendaklah senantiasa merujuk kepada hak bumiputera sepertimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan, undang-undang dan akta.

Dalam keadaan undang-undang atau akta mash belum digubal bagi menguatkuasakan pelaksanaan sesuatu mandat yang telah diperoleh, seperti menghidupkan kembali DEB 1970 bagi dijadikan Dasar Induk Negara yang abadi, kerajaan hendaklah didesak untuk segera menggubal akta khusus untuknya.

Kepada anak-anak muda, yang merasakan mereka juga berjiwa waja dan berdarah Jebat, mari sertai jawatankuasa kebangsaan ini, yang diusulkan oleh MPM, dan akan diterajui oleh Dato’ Ts. Mohd. Zaidi Ilamdin.

Dato’ Ts. Mohd. Zaidi Ilamdin (kiri) diberi tanggungjawab oleh MPM untuk menerajui Jawatankuasa Kebangsaan Merekayasa Agenda Ekonomi Bumiputera.

Dato’ Dr Hasan Mad

Setiausaha Agung MPM

23 September 2026