Oleh: Prof. Dr. Ahmad Ismail
Industri halal kini muncul sebagai salah satu sektor strategik dunia. Ia bukan sekadar berkait dengan sensitiviti agama, tetapi telah menjadi pemacu ekonomi global bernilai antara US$3 trilion hingga US$3.5. Prospek masa depan diunjurkan meningkat sehingga AS$5 trilion menjelang 2030 (atau sekitar RM22 hingga RM23 trilion).
Malaysia, dengan reputasi kukuh melalui pengiktirafan sijil halal JAKIM, berada pada kedudukan unik untuk memimpin kerjasama antarabangsa. Menariknya, China kini menunjukkan minat mendalam terhadap sijil halal Malaysia – suatu pengiktirafan yang lahir daripada budaya Islam yang hidup dalam masyarakat Melayu, di mana kesucian, kebersihan, dan adab dalam pemprosesan makanan menjadi asas yang tidak boleh dikompromi.
Minat China terhadap sijil halal Malaysia bukan sekadar komersial. Ia mencerminkan kesedaran bahawa pasaran halal dunia semakin berkembang, didorong oleh peningkatan pelancongan melibatkan masyarakat Islam serta eksport makanan halal ke negara-negara Islam. China melihat peluang besar ini dan menyedari bahawa untuk menembusi pasaran Muslim global, mereka memerlukan rakan strategik yang diyakini. Malaysia, dengan sijil halal JAKIM yang dihormati di ASEAN, Timur Tengah, Afrika dan Eropah, menjadi pilihan.
Di sinilah peranan agensi perundingan Islam seperti MAPIM boleh diketengahkan. MAPIM berpotensi menjadi badan konsultansi halal yang menjelaskan proses pensijilan, memastikan tiada konflik kepentingan, serta memberi keyakinan kepada syarikat-syarikat China. Fungsi utama konsultansi ialah memastikan syarikat luar negara memahami proses pensijilan, mematuhi piawaian, dan akhirnya mendapat pengiktirafan JAKIM. Dengan struktur yang telus, MAPIM boleh membantu syarikat China menembusi pasaran Muslim global dengan lebih yakin.
Malaysia sendiri mempunyai peluang besar untuk membangunkan model rujukan halal. Kerajaan Malaysia dan agensi berkaitan boleh membantu MAPIM sebuah badan sukarela untuk menjayakan misi ini. Pusat latihan, pembelajaran, dan promosi “Halal Malaysia” perlu ada untuk aktiviti yang berkesan. Tempat yang menjadi pusat pembelajaran sepanjang hayat ini melatih tenaga kerja, vendor, dan usahawan dalam ekosistem halal. Konsep ini selari dengan gagasan Madani, tentang pembangunan masyarakat daripada sejarah Nabi yang berasaskan nilai. Pusat ini juga boleh membantu agensi seperti Felda menjadi model pembangunan luar bandar dan menjadi rujukan untuk industri halal global.
Konsep Halalan Thoiban – halal yang bukan sahaja sah dari segi syariah tetapi juga baik, bersih dan tidak tercemar – boleh dijadikan model Malaysia untuk ASEAN, Afrika dan Timur Tengah. China memerlukan kepakaran ini kerana mereka mahu memastikan produk halal yang dihasilkan bukan sahaja memenuhi syarat teknikal, tetapi juga diyakini oleh pengguna Muslim di seluruh dunia. Dengan adanya kerjasama strategik antara JAKIM dan MAPIM misalnya, struktur tadbir urus yang jelas boleh diwujudkan dengan perlantikan pakar, sistem pemantauan halal, serta pembangunan sektor pelancongan halal yang semakin mendapat sambutan.
Industri halal bukan sahaja berkait dengan makanan, tetapi meliputi kosmetik, farmaseutikal, logistik, kewangan dan pelancongan. Produk halal Malaysia perlu menembusi pasaran antarabangsa dengan jenama yang setara dengan ikon global seperti IKEA dari Sweden, Apple dari Amerika Syarikat, Mercedes dari Jerman, Sony dari Jepun, Samsung dari Korea. Malaysia tidak janggal jika produk halal dikaitkan dengan negara ini – menjadikan “Halal Malaysia” sebagai jenama dunia.
Sijil Halal Malaysia dihormati terletak pada budaya Islam yang hidup dalam masyarakat Melayu seperti kesucian, kebersihan, doa dan selawat dalam proses penyediaan makanan, serta penekanan terhadap pendidikan dan teknologi pemprosesan yang tidak mencemarkan. Halal bukan sekadar label, tetapi satu sistem nilai yang menyeluruh. Oleh itu, pendidikan halal, penyelidikan yang agresif, teknologi proses, dan pusat latihan menjadi keperluan mendesak untuk memastikan generasi akan datang memahami dan menghayati konsep ini.
Kerjasama Malaysia–China dalam industri halal bukan sahaja membuka peluang ekonomi, tetapi juga memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju halal dunia. MAPIM membawa halal Malaysia ke pentas antarabangsa, manakala JAKIM memastikan integriti pensijilan terus terpelihara. Dengan sensitiviti masyarakat Islam sebagai asas, industri halal akan terus berkembang sebagai sektor penting yang menguntungkan perniagaan, memperkukuh budaya, menyediakan peluang pekerjaan, dan membina jambatan antara negara.

More Stories
Penyatuan Orang Melayu Melalui Amar Makruf Nahi Munkar
Bermulalah Usaha MPM Merekayasa Rukun Negara
MPM Kesal Persembahan Yang Menyentuh Rukun Negara Dan Bercanggah Dengan Nilai Kesopanan Dan Kesusilaan