Oleh: Mohamad Letfee Ahmad
Pada 8 September lalu, sekumpulan lima orang anggota misi Perkhidmatan Doktor Udara atau Flying Doctor Service (FDS) terbang ke pedalaman Sarawak membawa harapan bagi penduduk yang memerlukan perkhidmatan perubatan.
Namun pada hari tersebut, misi untuk menyelamatkan nyawa bertukar menjadi tragedi apabila helikopter yang membawa seorang juruterbang, seorang Pegawai Perubatan, seorang Penolong Pegawai Perubatan dan dua orang jururawat itu terhempas di Lapangan Terbang Landasan Pendek, Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak.
Tragedi itu ditangisi di seluruh negara. Namun, selepas tangisan, ada soalan penting yang perlu dijawab. Adakah perkhidmatan yang dilaksanakan untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada rakyat sudah benar-benar selamat untuk mereka yang melaksanakan tugas itu?
Soalan ini perlu dijawab kerana ia melibatkan masa depan perkhidmatan kesihatan di Sarawak serta sejauh mana usaha pihak berkuasa melindungi mereka yang mempertaruhkan nyawa demi rakyat.
Lima Dekad Menjaga Kesihatan Rakyat di Kawasan Pedalaman
Sejak lima dekad lalu, FDS sudah menjadi nadi kesihatan masyarakat pedalaman Sarawak. Nahas 8 September itu sepatutnya menjadi titik perubahan untuk membina sistem perkhidmatan kesihatan yang lebih selamat, moden dan tidak terlalu bergantung kepada helikopter.
FDS, yang sudah beroperasi di Sarawak sejak 1973, lahir daripada realiti geografi negeri itu yang unik dan mencabar. Kawasan pedalaman negeri itu yang luas, penempatan yang berselerak, rangkaian jalan raya yang tidak menyeluruh serta sungai dan bentuk muka bumi yang merumitkan pergerakan, memerlukan kaedah penyampaian perkhidmatan kesihatan yang dapat memenuhi keperluan rakyat.
Bagi penduduk bandar, perjalanan ke hospital mungkin mengambil masa yang pendek. Sebaliknya bagi penduduk pedalaman, perjalanan yang sama boleh menjadi satu pengembaraan yang panjang.
Di sinilah FDS memainkan peranan yang penting. Selama lebih lima dekad, FDS telah membantu membawa perkhidmatan kesihatan kepada komuniti pedalaman bagi memastikan mereka menerima perkhidmatan terbaik tanpa perlu bersusah payah meredah perjalanan jauh.
Sejauh Manakah Keselamatan FDS Dijamin?
Di sebalik menghargai komitmen petugas FDS, ada satu perkara yang jarang diberi perhatian. Selama ini, pihak berkuasa mungkin hanya ingin mengetahui kejayaan yang dicapai oleh perkhidmatan tersebut tanpa perlu sangat memikirkan keselamatan mereka yang melaksanakan tanggungjawab yang berat itu.
Nahas 8 September itu telah membuka mata kita untuk melihat perkara itu dari perspektif yang lain, iaitu keselamatan anggota FDS sama pentingnya dengan keselamatan pesakit.
Keselamatan penerbangan moden bergantung kepada banyak aspek termasuk keadaan pesawat, penyelenggaraan, latihan juruterbang, cuaca, jarak pelihatan, berat muatan, pengurusan bahan api, komunikasi, perancangan laluan, prosedur kecemasan dan pengurusan risiko.
Dalam penerbangan perubatan, lebih-lebih lagi ketika keadaan kecemasan yang melibatkan nyawa pesakit, cabaran untuk sampai ke destinasi pesakit boleh menambahkan tekanan kepada petugas perubatan.
Bayangkan seorang pesakit di pedalaman yang memerlukan bantuan segera manakala keadaan cuaca pula tidak selamat untuk terbang. Apakah pertimbangan pihak berkenaan dalam membuat keputusan sama ada untuk terbang atau sebaliknya? Apakah peraturan yang perlu dipatuhi ketika berhadapan situasi begini?
Jika peraturan menetapkan bahawa penerbangan perlu diteruskan tanpa mengambil kira faktor keselamatan, adakah sistem yang dibina itu betul atau perlu dipinda bagi mengambil kira faktor keselamatan anggota perubatan.
Dalam hal ini, prosedur keselamatan mesti dibina atas prinsip bahawa nyawa petugas kesihatan sama penting dengan nyawa pesakit.
Jangan Jadikan Usia Pesawat Sebagai Alasan
Selepas sesuatu nahas, perbincangan lazimnya tertumpu kepada usia pesawat. Ini persoalan yang wajar ditanya, namun jawapannya mungkin lebih kompleks daripada yang kita sangka.
Pesawat lama tidak semestinya tidak selamat jika diselenggara dan dikendalikan mengikut piawaian yang ditetapkan. Sebaliknya, pesawat yang lebih baharu pula tidak menjamin keselamatan jika aspek penyelenggaraan, latihan dan operasi diabaikan.
Justeru, yang diperlukan ialah proses pengauditan yang menyeluruh terhadap keseluruhan ekosistem penerbangan perubatan Sarawak, bukan sekadar melihat usia pesawat.
Proses audit itu perlu menjawab soalan-soalan berikut: Adakah tugas penyelenggaraan dilaksanakan mengikut jadual? Adakah alat ganti kritikal mudah didapati? Adakah juruterbang mempunyai latihan mencukupi untuk operasi di laluan dan keadaan cuaca yang berbahaya? Adakah prosedur operasi memberikan ruang untuk membatalkan penerbangan apabila berhadapan keadaan bahaya? Adakah infrastruktur pendaratan di kawasan pedalaman mematuhi piawaian minimum?
Persoalan di atas memerlukan lebih perhatian daripada sekadar berbicara mengenai ‘pesawat lama’ atau ‘pesawat baharu’.
Apa Pilihan Terbaik?
Dalam situasi semasa, Sarawak tetap memerlukan FDS. Menghentikan perkhidmatan itu, bukan satu penyelesaian. Malah, FDS dan bot medik perlu dikekalkan dan diperkasakan dengan menggunakan pesawat dan pengangkutan moden.
Namun pergantungan sepenuhnya kepada helikopter juga bukan penyelesaian jangka panjang. Teknologi telah berubah. Ekosistem kesihatan di kawasan pedalaman juga mesti ikut berubah. Kerajaan perlu melihat kepada model baharu yang berasaskan teknologi digital.
Tidak semua urusan perubatan memerlukan doktor diterbangkan ke sesuatu kawasan. Sesetengah konsultasi susulan boleh dilakukan melalui teleperubatan serta konsultasi maya melalui platform seperti MySejahtera dan sistem e-Kesihatan yang dihubungkan dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Sampel makmal tertentu boleh dihantar menggunakan sistem logistik yang lebih cekap. Bekalan ubat dan peralatan ringan pula berpotensi dihantar menggunakan dron bagi lokasi yang sesuai. Helikopter hanya digunakan untuk kes-kes kecemasan yang memerlukan kehadiran pasukan perubatan secara fizikal.
Selain daripada mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan sistem pengangkutan udara, kaedah moden tersebut lebih selamat dan menjimatkan kos.
Keselamatan Berasaskan Data
Operasi FDS memerlukan perubahan yang agresif. Semua aspek ini perlu dinilai secara sistematik sebelum sesuatu misi dimulakan.
Salah satu kaedah ialah penggunaan data secara lebih efektif. Setiap penerbangan mempunyai profil risiko yang jelas seperti keadaan cuaca, jerebu, jarak pelihatan, keadaan laluan, prestasi pesawat, berat muatan, kemahiran juruterbang dan kru, tempoh penerbangan dan kawasan pendaratan.
Pusat operasi juga boleh menggunakan teknologi ramalan cuaca dan sistem komunikasi moden yang boleh membuat keputusan dengan lebih tepat.
Selain daripada isu juruterbang dan pesawat, keselamatan kru perubatan juga mesti diberi perhatian. Doktor, jururawat dan petugas kesihatan yang menyertai penerbangan ke kawasan pedalaman perlu diberikan latihan keselamatan penerbangan. Mereka perlu mengetahui prosedur dan penggunaan peralatan keselamatan serta prosedur pendaratan kecemasan.
Pengurusan tekanan juga penting. Petugas kesihatan sering berhadapan tekanan kerja yang tinggi akibat keletihan dalam penerbangan dan perjalanan yang panjang serta kesulitan operasi di kawasan pedalaman.
Elakkan Tragedi Kedua
Bagaimana mengelakkan tragedi kedua berlaku?
Pasukan penyiasat mesti diberikan ruang untuk menyelesaikan misteri nahas 8 September tanpa sebarang tekanan. Jika puncanya berkaitan isu teknikal, jangan bertangguh lagi. Semua pesawat yang digunakan oleh FDS mesti segera menjalani pemeriksaan teknikal.
Jika nahas itu berpunca daripada kelemahan prosedur, keselamatan atau sistem latihan, penambahbaikan perlu dibuat. Jika terdapat kelemahan infrastruktur, pelaburan perlu ditingkatkan bagi menyediakan kemudahan yang serba lengkap dan moden.
Jangan Pertaruhkan Nyawa
Rakyat Sarawak akan terus memerlukan FDS. Jangan jadikan masalah geografi negeri itu sebagai halangan bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik untuk rakyat.
FDS tidak sepatutnya bergantung kepada komitmen, keberanian dan kemahiran seorang juruterbang semata-mata. Sarawak perlu membina ekosistem perubatan yang lebih kukuh di bantu oleh logistik pintar, latihan berterusan dan kru perubatan yang memenuhi tahap kemahiran dan kesiapsiagaan yang tinggi.
Landskap kesihatan di Sarawak tidak akan bertukar hanya kerana wujudnya tragedi 8 September. Nahas itu bukan alasan untuk mengurangkan perkhidmatan kepada masyarakat pedalaman, malah ia wajar dipertingkatkan dengan penambahbaikan terhadap keseluruhan sistem berkenaan.

More Stories
Malaysia–China: Halal Sebagai Jambatan Ekonomi Global
Penyatuan Orang Melayu Melalui Amar Makruf Nahi Munkar
Bermulalah Usaha MPM Merekayasa Rukun Negara