Ogos 29, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Konflik Gajah dan Sawit: Krisis Ekonomi dan Ekologi Malaysia

Oleh Ahmad Ismail

Konflik antara gajah liar dan tanaman kelapa sawit bukan sekadar isu kecil di pinggir hutan, tetapi telah berkembang menjadi krisis nasional yang merangkumi dimensi ekonomi, sosial, dan ekologi. Sejak empat dekad lalu, pembukaan tanah pertanian berskala besar telah mengecilkan habitat dan menghalang laluan asal gajah, memaksa haiwan ini keluar dari hutan untuk mencari makanan. Pucuk dan buah kelapa sawit menjadi tarikan utama, menjadikan ladang sawit sebagai sasaran pencerobohan. Pekebun kecil menanggung kerugian besar apabila ribuan pokok musnah, sementara penduduk pula berdepan ancaman keselamatan apabila gajah semakin berani mendekati kawasan kediaman.

Data rasmi menunjukkan skala kerugian amat membimbangkan. PERHILITAN merekodkan kerugian RM39.4 juta antara 2020–2024, manakala konflik hidupan liar nasional yang majoritinya melibatkan gajah mencecah RM58.7 juta dalam tempoh 2021–2026. Kajian kes tempatan di Kelantan dan Pahang pula membuktikan pekebun kecil menjadi mangsa utama, dengan kerugian berjuta ringgit akibat kemusnahan pokok sawit muda dan matang. Corak kemusnahan jelas kelihatan apabila gajah mencabut anak pokok untuk memakan umbutnya, dan menumbangkan pokok dewasa untuk mendapatkan pelepah muda, sekali gus merosakkan sistem pengairan dan pagar ladang.

Menghadapi krisis ini, pelbagai agensi kerajaan dan industri memainkan peranan penting. PERHILITAN melaksanakan rondaan, operasi tembak halau, serta translokasi gajah ke habitat selamat. Jabatan Perhutanan pula mengekalkan hutan simpan dan membina koridor hijau melalui rangkaian Central Forest Spine (CFS). FELDA menyediakan infrastruktur perlindungan seperti pagar elektrik dan parit gajah, manakala MPOB menjalankan kajian untuk memperkenalkan tanaman alternatif yang boleh mengurangkan ganguan gajah keatas kelapa  sawit. Syarikat perladangan swasta turut melaksanakan tanggungjawab sosial melalui dana pemuliharaan, sementara Kementerian Perladangan dan Komoditi memperkasa pekebun kecil dengan insentif tanam semula serta memastikan pematuhan standard MSPO (Malaysian Sustainable Palm Oil/Minyak Sawit Mampan Malaysia). MSPO adalah satu skim pensijilan kebangsaan yang ditetapkan oleh kerajaan untuk memastikan pengeluaran kelapa sawit mematuhi aspek kelestarian alam sekitar, kebajikan pekerja, dan amalan pertanian yang baik

Kerajaan juga menyalurkan skim pampasan BKHT (Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar). Ia adalah bantuan kewangan secara sekali bayar daripada kerajaan yang diuruskan oleh Jabatan PERHILITAN untuk mangsa yang terjejas akibat konflik dengan haiwan liar. Walaupun pampasan diberikan, ia masih jauh daripada mencukupi berbanding kerugian sebenar. Pekebun juga terpaksa melalui proses birokrasi sebagai cabaran tambahan.

Namun, penyelesaian jangka panjang tidak boleh bergantung semata-mata kepada pagar elektrik atau pampasan. Cadangan mewujudkan food bank hidupan liar dikatakan mitigasi yang lebih lestari. Di sini timbul pula perdebatan mengenai penggunaan rumput Napier. Walaupun Napier digemari gajah dan tumbuh dengan cepat, sifat invasifnya berisiko mengubah ekosistem hutan tropika Malaysia. Ia boleh menyingkirkan tumbuhan tempatan, mengurangkan kepelbagaian diet haiwan lain seperti tapir dan rusa, serta bercanggah dengan prinsip pemuliharaan alam semula jadi.

Strategi terbaik adalah menanam spesies tempatan di laluan migrasi gajah. Pisang liar, buluh tempatan, rumput asli, serta pokok buah hutan seperti ara dan terap bukan sahaja menyediakan makanan semula jadi untuk gajah, tetapi juga mengekalkan kepelbagaian biologi. Buluh berfungsi sebagai benteng hakisan, pisang kaya dengan kandungan air, manakala buah hutan memberi tenaga tinggi kepada pelbagai fauna. Pendekatan ini selari dengan prinsip ekologi yang menekankan integriti habitat tanpa mengorbankan dasar kepelbagaian biologi kerajaan.

Konflik gajah dan sawit adalah cerminan kegagalan kita mengimbangi pembangunan dengan kelestarian alam. Pagar elektrik dan pampasan hanya bersifat reaktif, sedangkan penyelesaian sebenar terletak pada pemuliharaan habitat, pembinaan koridor hijau, dan penyediaan food bank berasaskan spesies tempatan. Malaysia perlu berani memilih jalan ekologi yang lestari, bukan sekadar jalan mudah yang berisiko menjejaskan kepelbagaian biologi negara. Jika langkah ini diperkasa, kita bukan sahaja melindungi sawit sebagai komoditi ekonomi, tetapi juga menjamin kelangsungan gajah sebagai khazanah alam yang tidak ternilai. Kajian terperinci dan penglibatan pakar amat penting.