Oleh Sekretariat Majlis Perundingan Melayu (MPM)
Terlebih dahulu, Sekretariat MPM mengambil kesempatan ini untuk merakamkan tahniah dan penghargaan kepada Jawatankuasa Penganjur Sidang Meja Bulat Belanjawan 2027, yang dibentuk oleh Jawatankuasa Kebangsaan Merekayasa Agenda Ekonomi Bumiputera @ MPM.
Sidang ini dianjurkan dengan kelainan, iaitu melibatkan ramai golongan cendekiawan anak bangsa daripada pelbagai pertubuhan.
Matlamat utama sidang itu ialah untuk membedah Belanjawan 2027 yang dibentang pertama kalinya di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lepas.
Banyak yang wajar diperakui dan disokong mengenai deraf Belanjawan 2027 itu. Namun, tidak kurang juga banyak daripadanya yang mencemaskan, terutama dalam kalangan bumiputera, dalam dunia pekerjaan mahupun dunia perniagaan.
Dalam penyediaan deraf Belanjawan 2027 itu, kerajaan menggunakan beberapa rujukan utama sebagai sumber ilham bagi mengolah perbelanjaaan dan perolehan yang hendak dibentangkan di Parlimen.
Saban tahun kami di MPM turut melontarkan pandangan, konsisten dengan peranannya sebagai Institusi Pemikir Bangsa, sebagai Bina Daulah (Nation Building). Lontaran itu berbentuk pandangan dalam kalangan cerdik-pandai di MPM yang dirujuk oleh pelbagai pihak media, ataupun dalam bentuk ulasan secara perkumpulan, seperti Sidang ini.
Antara perkara yang kami amat terkilan sehingga kini ialah kealpaan kerajaan menjadikan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, sebagai Rujukan Wajib baginya dalam penyediaan Belanjawan Tahunan.
Bagi kami di MPM, Perkara 153 mesti dijadikan Rujukan Wajib, kerana terkandung beberapa peruntukan yang mewajibkan kerajaan mengupayakan bumiputera dalam semua aspek kesejahteraan (well being). Itu adalah hak yang wajib dituntut oleh semua bumiputera dan dipatuhi oleh kerajaan. Tuntutan ini tiada kena mengena dengan hak kaum-kaum lain. Perkara 153 adalah tuntutan hak bumiputera yang wajib dipenuhi oleh kerajaan. Sepertimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Bumiputera berhak menuntut dan kerajaan wajib memenuhi tuntutan itu.
Jika perlu, bumiputera hendaklah menuntut kerajaan menggubal akta berkaitan sepertimana yang diminitkan dalam Mesyuarat Pertama 24 Disember 2020, Mesyuarat Bersama Kerajaan-MPM, yang dipengerusikan oleh YB Menteri ketika itu, YB Datuk Seri Mustapa Mohamad, di ibu pejabat Unit Perancang Ekonomi (UPE). Ketetapan itu ialah untuk kerajaan menggubal Akta Hak & Kesaksamaan Peluang.
MPM dengan ini menggesa pihak UPE dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengangkat semula ketetapan Mesyuarat itu dan diambil tindakan dengan kadar segera.
Pada hemat MPM, andai kata Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dijadikan Rujukan Wajib bagi penyediaan Belanjawan Tahunan 2027 ini, nescaya bumiputera akan kelak jauh lebih sejahtera daripada sekarang.
Kesejahteraan yang kami tagih ialah untuk semua bumiputera merasai kesejahteraan yang saksama dan setara dengan kaum-kaum lain.
Bila semua rakyat setara dan saksama kesejahteraannya, negara akan lebih makmur. Inilah formula kemakmuran negara yang sepatutnya disasarkan oleh kerajaan yang mentadbir negara.
Persoalannya, adakah, menerusi belanjawan tahunan, seperti Belanjawan 2027 ini, kerajaan mengambil tanggungjawab penuh mengupayakan bumiputera untuk mereka mampu mencapai tahap kesejahteraan yang saksama, adil dan setara dengan kaum-kaum lain?
Jika ya, sudah pasti pendapatan isi rumah keluarga bumiputera, misalnya, saksama dan setara berbanding kaum-kaum lain.
Jika ya, ekonomi negara ini tentunya jauh lebih besar saiznya, hatta negara ini akan jauh lebih kaya dan makmur.
Realitinya, tidak begitu.
Realitinya, keupayaan bumiputera sama ada dalam dunia keusahawanan mahupun dunia pekerjaan, masih jauh lebih rendah. Malah jurang kesejahteraan ini yang digambarkan oleh pendapatan isi rumah, semakin melebar dalam kalangan bumiputera berbanding bukan bumiputera.
Data terbitan DOSM 2026 menunjukkan purata pendapatan isi rumah bumiputera semakin jauh lebih rendah berbanding kaum Cina (RM8,220/sebulan berbanding RM11,494/sebulan).
Dengan purata saiz keluarga bumiputera pada kadar 3.8, bermakna terdapat sebanyak 6.55 juta keluarga bumiputera, dengan jurang pendapatan isi rumah berbanding keluarga Cina, sebanyak RM3,274/bulan. Fakta ini membawa maksud bahawa, jika keupayaan bumiputera tidak disaksamakan dengan kaum Cina, negara kehilangan potensi pendapatan isi rumah sebanyak RM21.44 Billion sebulan, atau setahun sebanyak RM257.34 Billion.
Daripada fakta ini, ada beberapa kesan negatif langsung daripada Belanjawan 2027 ini yang akan melebarkan lagi jurang itu.
Contohnya, kenaikan gaji minimum ke paras RM2,000/bulan. Majoriti PKS Bumiputera (sekitar 90%) berskala mikro. Jika kenaikan ini dipaksa ke atas mereka, dikhuatiri akan terlalu banyak PKMS bumiputera gulung tikar.
Majoriti mereka (PKMS dan pekerja mereka) belum diupayakan bersungguh-sungguh oleh ratusan agensi pengupaya, yang kurang berupaya untuk mengupayakan usahawan dan tenaga kerja bumiputera.
Sektor swasta masih belum didominasi oleh bumiputera. Apabila mereka yang tersingkir daripada bekerja di PKMS bumiputera yang gulung tikar itu, jangan harap mereka itu akan diserap oleh sektor swasta.
MPM berpendapat, penetapan gaji mimimum ini belum boleh dilaksanakan, sehinggalah kerajaan benar-benar pasti akan keupayaan PKMS dan tenaga kerja bumiputera menampung kenaikan itu.
Dalam keadaan semasa, yang pasti, kenaikan itu akan menyebabkan ramai kalangan bumiputera yang akan hilang pekerjaan dan ramai hilang bisnes. Hatta, diunjurkan, pendapatan isi rumah dalam kalangan bumiputera akan terus merosot dan jurang antara kaum akan semakin melebar.
MPM tidak ambil peduli jika kerajaan semasa terasa hati jika pendekatan mereka dibandingkan dengan kerjaaan terdahulu pada era pasca-Merdeka dan era pelaksanaan DEB 1970.
Mari kita imbas kembali apa yang dilakukan oleh kerajaan pada era pasca-Merdeka dan era permulaan pelaksanaan DEB 1970. Cuba kita ingat kembali bagaimana kerajaan mengupayakan bumiputera daif di luar bandar, menerusi tiga daya usaha pengupayaan ini:
Pemberian tanah (dan rumah) bagi keluarga miskin tegar (land for the landless)
Pendidikan berkualiti kepada anak-anak keluarga miskin tegar, menerusi pembukaan beberapa model sekolah berasrama penuh untuk anak-anak golongan sasar ini.
Perkhidmatan kesihatan berkualiti untuk semua, menerusi pembukaan banyak klinik desa.
Bayangkan, hanya dengan tiga agenda pengupayaan itu saja, impak mobiliti sosial terhadap golongan sasar itu terlalu signifikan, sepertimana dilaporkan oleh Khazanah Research Institute (KRI) dalam laporannya beberapa tahun dahulu.
Soalnya, mengapa dahulu kerajaan berani melaksanakan Perkara 153 itu bagi mengupayakan bumiputera?
Mengapa sekarang tidak?
Mengapa tidak diupayakan sepenuhnya bumiputera, baik mereka yang memilih menceburi dunia pekerjaan mahupun dunia bisnes? Mengapa tidak agenda ini didahulukan? Mengapa beria-ia hendak menaikkan gaji minimum, tatkala banyak PKMS terutamanya belum cukup berupaya?
Tentunya cerdik-pandai dalam kalangan begitu banyak institusi eksekutif ada pilihan lain bagi meningkatkan pendapatan isi rumah, selain daripada menaikkan paras gaji minimum. Tentunya mereka ini mampu berfikir bagaimana dalam sesebuah keluarga, ada lebih daripada satu ‘family bread-winners’. Tentunya mereka ini mampu berfikir bagaimana hendak meningkatkan keupayaan, kemahiran dan memadankan kelulusan dan bakat atau kemahiran dengan kerjaya berkualiti yang setimpal.
Seyogia kita semua menerima hakikat, bahawasanya, bumiputera bukan golongan malas sepertimana yang pernah diperlekehkan oleh seorang Perdana Menteri sebelum ini.
MPM amat yakin, jika bumiputera diupayakan dengan pendekatan yang betul, nescaya mereka mampu membina daya saing tinggi, daya cipta tinggi dan daya usaha tinggi untuk menjadi lebih produktif, hatta, mampu lebih sejahtera secara saksama dan setara sepertimana rakan-rakan mereka daripada kaum-kaum lain.
MPM ingin berkongsi di sini satu cerita daripada sebuah yayasan milik sebuah GLC ternama di negara ini.
Cerita ini baru berlaku lebih kurang pada masa yang sama semasa deraf Belanjawan 2027 dibentangkan pertama kali di Parlimen.
Yayasan berkenaan bercerita kepada delegasi MPM yang kami bawa bersama delegasi dari National Economic & Social Development Board, Libya.
Diceritakan kepada kami dengan fakta, kisah seorang ibu tunggal, usahawan mikro, di Pantai Timur, yang mereka pilih, tapis dan sasarkan untuk diupayakan.
Untuk beberapa bulan, usahawan berkenaan diberikan latihan kemahiran oleh cef terkenal untuk beliau lebih berkeupayaan menghasilkan doh berkualiti premium. Setelah pihak yayasan berpuas hati yang beliau sudah cukup berkemahiran menghasilkan doh bermutu, lantas diaturkan bantuan kewangan mikro untuknya bagi memperoleh mesin memproses doh yang diperlukan.
Kini beliau adalah antara usahawan mikro yang amat berjaya, mengembangkan bisnesnya di negeri beliau bermastautin. Tidak perlu pun beliau berhijrah ke bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.
Moral penceritaan ini ialah bahawasanya kaum bumiputera ada keupayaan setara dengan kaum-kaum lain, jika pendekatan oleh ratusan agensi pengupaya itu diterajui oleh mereka yang benar-benar berupaya, untuk meningkatkan keupayaan bumiputera, sebagai pekerja mahir yang jauh lebih produktif atau sebagai usahawan yang jauh lebih berdaya maju.
Moral rencana ini ialah bukan gaji minimum yang perlu digusarkan, tetapi keupayaan minimum yang perlu kerajaan pastikan, terutama dalam kalangan bumiputera.
Melalui tulisan ini, MPM menyeru kerajaan agar segera merombak semula deraf Belanjawan 2027, dengan mengutamakan pelbagai usaha atau inisiatif pengupayaan bumiputera, dalam kedua-dua dunia ini, dunia pekerjaan dan dunia keusahawanan.
Kepada semua anak bangsa sama ada di dalam mahupun di luar kerajaan, sila hadam semasak-masaknya Perkara 153, yang datuk-nenek kita semua setuju terima sebagai ganti harga kerakyatan yang dinikmati oleh kaum-kaum lain secara turun-temurun dan abadi.
Mengapa hak-hak kita yang diperoleh dan dimuktamadkan dalam Perkara 153 tidak pernah kita tuntut untuk kita manfaatkan, juga secara berkekalan atau abadi?
Perkara 153 bukan tongkat untuk bumiputera. Perkara 153 adalah hak abadi bagi bumiputera.
Hendaknya cerdik-pandai anak bangsa wajib celik perlembagaan dan ada keberanian bertindak untuk bangsanya.

More Stories
What Our Boomers Failed, and Our Gen Zs Have to Pay For
The Love of the Marvellous and the Disbelief of the True
Bajet 2027: Melakar Malaysia 2057 Menjelang 100 Tahun Kemerdekaan