Oktober 31, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Bajet 2027: Melakar Malaysia 2057 Menjelang 100 Tahun Kemerdekaan

Oleh Ahmad Ismail

Tahun 2027 sepatutnya menjadi titik permulaan penting dalam perancangan Malaysia menuju sambutan 100 tahun kemerdekaan pada tahun 2057. Jika Wawasan 2020 pernah menjadi kerangka pembangunan negara selama beberapa dekad, maka Bajet 2027 perlu dilihat sebagai langkah awal untuk membina suatu visi baharu yang lebih jauh ke hadapan. Dalam tempoh 30 tahun akan datang, dunia dijangka berubah dengan sangat pantas melalui kemajuan kecerdasan buatan (AI), automasi, robotik, dron, bioteknologi, teknologi kuantum dan pelbagai penemuan saintifik yang mungkin mengubah cara manusia bekerja, belajar dan hidup.

Persoalan utama yang perlu ditanya ialah sama ada Malaysia benar-benar bersedia untuk bersaing dalam dunia tahun 2057. Persediaan ini tidak boleh hanya tertumpu kepada pembangunan infrastruktur fizikal semata-mata, tetapi perlu merangkumi pembangunan modal insan, perpaduan masyarakat, kekuatan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan daya tahan negara menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.

Asas kepada kejayaan Malaysia menuju 2057 ialah perpaduan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya. Pengalaman pahit peristiwa 13 Mei 1969 mengajar bahawa kestabilan negara tidak boleh dipisahkan daripada keharmonian masyarakat. Dalam masa yang sama, Malaysia kini semakin menarik perhatian pendatang baharu dari pelbagai negara kerana kestabilan politik, pembangunan ekonomi, kualiti hidup dan persekitaran yang lebih selamat berbanding banyak negara lain. Kehadiran komuniti antarabangsa ini perlu diurus dengan baik agar tidak menjejaskan keharmonian sosial, malah dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

Bajet 2027 juga perlu memberikan perhatian serius kepada agenda pendidikan. Sistem pendidikan negara mesti disesuaikan dengan perkembangan teknologi dan keperluan ekonomi masa depan. Guru tidak lagi sekadar menyampaikan ilmu, tetapi perlu menjadi pemudah cara dalam dunia pembelajaran digital yang semakin canggih. Program latihan semula guru, penguasaan AI dalam pendidikan, penggunaan teknologi digital dalam pengajaran dan pembelajaran serta pengukuhan kemahiran berfikir aras tinggi perlu menjadi keutamaan. Pendidikan sepanjang hayat mesti menjadi budaya nasional bagi memastikan tenaga kerja negara sentiasa relevan dengan perubahan teknologi dan pasaran pekerjaan.

Pada masa yang sama, pembangunan sains, teknologi dan inovasi perlu dipertingkatkan secara agresif. Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada teknologi import. Negara perlu melahirkan lebih ramai saintis, jurutera, pakar data, pakar bioteknologi dan usahawan teknologi untuk memacu ekonomi berasaskan pengetahuan. Peruntukan pembangunan pada masa hadapan juga perlu diperluaskan daripada pembinaan jalan raya dan bangunan kepada pembangunan teknologi, pusat penyelidikan, makmal inovasi serta ekosistem digital yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Cabaran lain yang tidak boleh diabaikan ialah perubahan iklim, pencemaran dan krisis kepelbagaian biologi. Malaysia merupakan antara negara yang kaya dengan kepelbagaian biologi dunia, namun kekayaan ini semakin terancam akibat pembangunan yang tidak lestari. Menjelang 2057, kejayaan ekonomi negara tidak boleh diukur hanya melalui pendapatan per kapita atau pertumbuhan KDNK, tetapi juga melalui keupayaan mengekalkan hutan, sungai, kawasan pantai dan ekosistem semula jadi yang menjadi warisan generasi akan datang dan petunjuk kepada kesihatan planet. Pelaburan dalam ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan pemuliharaan kepelbagaain biologi perlu menjadi sebahagian daripada strategi pembangunan negara.

Selain itu, isu keselamatan makanan, peluang pekerjaan dan pemilikan ekonomi perlu diberi perhatian. Pengalaman Dasar Ekonomi Baru (DEB) menunjukkan bahawa pembangunan ekonomi yang seimbang penting untuk kestabilan negara. Agenda memperkukuhkan penguasaan ekonomi dan hartanah Bumiputera masih relevan, namun perlu dilaksanakan secara lebih dinamik dan berasaskan keupayaan bersaing. Pada masa yang sama, peluang perniagaan dan pekerjaan berkualiti mesti diperluaskan kepada semua rakyat bagi mengurangkan jurang sosial yang boleh menjejaskan perpaduan negara.

Dalam konteks geopolitik, Malaysia juga perlu bersedia menghadapi cabaran baharu di rantau ini. Kedudukan strategik Selat Melaka dan perkembangan di Laut China Selatan berpotensi mempengaruhi keselamatan, perdagangan dan ekonomi negara. Konflik sempadan, persaingan kuasa besar serta ketidaktentuan ekonomi global mungkin menjadi cabaran utama menjelang 2057. Oleh itu, perancangan pembangunan negara perlu mengambil kira aspek keselamatan nasional, diplomasi dan daya tahan ekonomi.

Hak masyarakat peribumi juga mesti diberikan perhatian yang lebih serius. Sebarang kelemahan dalam dasar pembangunan terdahulu perlu diperbaiki agar semua lapisan masyarakat dapat menikmati faedah pembangunan secara adil dan saksama. Asas perlembagaan negara mesti sentiasa dirujuk

Justeru, Bajet 2027 tidak seharusnya hanya menjawab keperluan tahunan negara, tetapi menjadi asas kepada pelan pembangunan Malaysia 2057. Perancangan tidak boleh lagi bersifat sektoral dan mikroskopik, sebaliknya mestilah menyeluruh, merentasi generasi dan berteraskan kelestarian. Jika negara-negara maju seperti Singapura, Korea Selatan dan Finland mampu merancang pembangunan mereka beberapa dekad lebih awal, Malaysia juga perlu berani melakar visi 30 tahun ke hadapan. Hanya melalui perancangan yang berani, inklusif dan berpandangan jauh, Malaysia dapat menyambut 100 tahun kemerdekaan sebagai sebuah negara yang maju, bersatu, berdaya saing dan lestari.