Delegasi National Economic and Social Development Board (NESDB) Libya berkunjung ke Malaysia bagi mengadakan sesi libat urus dan perkongsian ilmu dalam bidang pembangunan sosial dan komuniti.
Pada awal September 2026, Majlis Perundingan Melayu (MPM) sekali lagi dihubungi oleh rakan strategiknya dari National Economic and Social Development Board (NESDB) Libya.
Kali ini, NESDB memohon kerjasama MPM untuk membantu memperkemas draf program yang mereka namakan Promoting Positive Social Behaviour (PPSB).
Program tersebut dirangka susulan kajian yang dilaksanakan oleh Bahagian Pembangunan Komuniti NESDB. Kajian berkenaan mengenal pasti beberapa petunjuk sosial yang membimbangkan, khususnya berkaitan perkembangan tingkah laku dan budaya dalam kalangan generasi muda Libya.
Dengan purata umur penduduk sekitar 35.2 tahun, Libya mempunyai populasi yang relatif muda. Pihak NESDB berpandangan bahawa golongan belia semakin terdedah kepada pelbagai pengaruh dan budaya yang kurang sihat, sebahagiannya akibat pengaruh media sosial serta kesan perubahan geopolitik pada peringkat antarabangsa.
Menyedari cabaran tersebut, pihak NESDB telah mengadakan perbincangan dalaman dan mencetuskan satu cadangan penting, iaitu mengadakan sesi perkongsian ilmu, pengalaman, kepakaran serta dasar kerajaan dengan negara yang boleh dijadikan contoh dan pada masa yang sama mempunyai hubungan baik dengan Libya.
Secara peribadi, saya amat teruja apabila dimaklumkan bahawa NESDB telah memilih Malaysia sebagai negara rujukan.
Lawatan delegasi NESDB ke Malaysia
Pada 16 September 2026, satu mesyuarat secara dalam talian telah diadakan antara NESDB dengan MPM. Hasil perbincangan tersebut, kedua-dua pihak bersetuju agar NESDB menghantar satu delegasi ke Malaysia bagi mengadakan sesi libat urus dan perkongsian ilmu.
MPM diberi amanah untuk menyelaras keseluruhan program lawatan, termasuk mengatur pertemuan dengan institusi-institusi yang bersesuaian.
Alhamdulillah, seramai lima pegawai kanan NESDB menyertai delegasi tersebut, termasuk Pengarah Bahagian Pembangunan Komuniti, Mdm. Sumaya Ben Latif.
Sepanjang berada di Malaysia, MPM telah mengatur beberapa siri pertemuan dengan pelbagai institusi, termasuk agensi yang berkaitan dengan portfolio MPM sendiri.
Menariknya, MPM turut menjemput wakil Pusat Pengkajian Strategik dan Pengembangan Ideologi Pancasila (PUSPIP), Indonesia, untuk bersama-sama berkongsi pengalaman dan pengetahuan, khususnya mengenai Pancasila sebagai ideologi negara Indonesia.
Berikut ialah ringkasan pengisian dan dapatan utama daripada setiap kunjungan delegasi NESDB.
Lapan sesi libat urus dan perkongsian ilmu
1. Sesi pemula bersama MPM
Sesi pemula ini dikendalikan oleh saya bersama dua rakan strategik MPM, iaitu Mej. Jen. (Dr.) Abd Karim Ahmad, Komandan National Resilient College, dan Dr. Mohd Maliki Mohd Rapiee, mantan Presiden Majlis Belia Malaysia.
Perbincangan tersebut menghasilkan lapan dapatan utama untuk diteliti dan dipertimbangkan oleh pihak NESDB.
Antara syor penting yang dikemukakan ialah supaya program PPSB berteraskan matlamat Maqasid Syariah. Program itu juga dicadangkan agar menjadikan pembudayaan sifat-sifat mahmudah serta penolakan sifat-sifat mazmumah, sebagaimana yang dihuraikan oleh Imam al-Ghazali, sebagai antara panduan utamanya.
2. Kunjungan ke Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)
KPWKM merupakan antara institusi rujukan utama dalam lawatan ini.
Wakil kementerian telah memberikan taklimat serta berkongsi pelbagai dasar, pendekatan dan pengalaman dalam bidang pembangunan keluarga, kebajikan serta kesejahteraan masyarakat.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian besar daripada delegasi NESDB. Malah, wakil kementerian turut menyediakan maklum balas bertulis untuk pihak Economic Planning Unit (EPU).
3. Kunjungan ke Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN)
Delegasi turut memperoleh pelbagai input berguna daripada JPNIN, khususnya berkaitan usaha memperkukuh perpaduan dan integrasi nasional.
Antara perkara yang mendapat perhatian ialah peranan JPNIN dalam memartabatkan Rukun Negara sebagai ideologi nasional serta menjadikannya landasan pembinaan masyarakat yang bersatu padu.
4. Kunjungan ke Universiti Putra Malaysia (UPM)
Dalam menyusun atur lawatan ini, MPM pada awalnya tidak menyedari kewujudan Fakulti Ekologi Manusia di UPM yang mempunyai kepakaran berkaitan pembangunan sosial dan komuniti.
Walau bagaimanapun, perkongsian ilmu bersama Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Pusat Kajian Sains Sosial di UPM ternyata amat bermanfaat kepada delegasi NESDB.
Lebih menarik, beberapa inisiatif turut dipersetujui untuk diteroka dan digerakkan bersama dalam kadar segera. Antaranya termasuk cadangan penubuhan beberapa bentuk sekolah berasrama penuh, dengan setiap jenis sekolah mempunyai matlamat dan fungsi yang khusus.
5. Kunjungan ke UEM Berhad
Delegasi turut berpeluang mendengar taklimat daripada UEM Foundation mengenai peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam menjayakan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat atau Corporate Social Responsibility (CSR).
Pendekatan ini merupakan satu pengalaman baharu bagi delegasi NESDB.
Mereka melihat model tersebut sebagai satu pendekatan yang berpotensi untuk dicadangkan kepada GLC atau syarikat milik negara (State-Owned Enterprises, SOE) di Libya agar dapat diteroka dan disesuaikan dengan keperluan negara mereka.
6. Kunjungan ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Perbincangan bersama JAKIM memberikan tumpuan kepada pelbagai inisiatif pendidikan Islam, gerakan dakwah serta pendekatan pembangunan masyarakat berteraskan nilai-nilai Islam.
Delegasi turut diberi pendedahan mengenai peranan KSK Care Centre @ JAKIM dalam menangani pelbagai isu berkaitan keluarga, sosial dan masyarakat.
7. Sesi libat urus bersama MPM dan PUSPIP Indonesia
Sesi ini menampilkan lima pembentangan utama yang memberikan perspektif lebih luas kepada delegasi NESDB, iaitu:
- Inisiatif MPM dalam merekayasa dan memperkukuh ideologi nasional, Rukun Negara.
- Perkongsian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengenai manfaat pembangunan Indeks Kebahagiaan Malaysia.
- Taklimat pelaksanaan Program Pendidikan Pintar oleh Badan Penggerak Pendidikan Pintar.
- Taklimat pelaksanaan Program Keusahawanan Bertauliah Khusus untuk Usahawan Wanita oleh UTL Academy.
- Perkongsian mengenai ideologi Pancasila Indonesia oleh PUSPIP.
Kelima-lima pembentangan ini membuka perspektif baharu kepada delegasi NESDB. Pelbagai idea dan pendekatan yang dikongsikan berpotensi dijadikan input penting dalam memperkukuh dan memantapkan pelaksanaan program PPSB di Libya.
8. Menyaksikan penubuhan Centre for Studies on Nusantara Prosperity @ MPM
MPM turut mengambil kesempatan membawa delegasi NESDB menyaksikan majlis penubuhan Centre for Studies on Nusantara Prosperity, sebuah inisiatif kerjasama antara MPM Malaysia dengan PUSPIP Indonesia.
Pada peringkat awal, pusat ini akan memberikan keutamaan kepada sesi libat urus dan perbincangan mengenai pengaruh perubahan geopolitik serta kesannya terhadap rantau Nusantara.
Perkembangan geopolitik dunia bukan sahaja memberikan tempias kepada Malaysia dan Indonesia, malah turut mempengaruhi Libya, khususnya dari segi perubahan ekosistem sosial dan kehidupan masyarakatnya.
Pendedahan ini memberikan satu lagi dimensi penting kepada delegasi NESDB untuk memahami hubungan antara perkembangan geopolitik global dengan cabaran pembangunan sosial di negara mereka.
Sambutan dan penghargaan delegasi NESDB

Sambutan mesra oleh pegawai-pegawai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, bersama wakil beberapa agensi di bawah KPWKM.

Ketua Pengarah JPNIN bersama pegawai-pegawai kanan jabatan menyampaikan taklimat kepada delegasi NESDB.
Sepanjang lawatan tersebut, delegasi NESDB bukan sahaja memperoleh pelbagai input dan pengalaman baharu, malah turut menerima sambutan yang amat mesra daripada institusi-institusi yang dikunjungi.
Ketika menghantar mereka pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), setiap anggota delegasi menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga, khususnya kepada MPM yang telah menyambut kedatangan mereka serta menyelaras keseluruhan jadual lawatan.
Bagi mereka, setiap kunjungan membawa makna dan manfaat tersendiri.
Malah, ketika saya sedang menyiapkan rencana ini, saya sekali lagi menerima mesej daripada pihak NESDB yang menyatakan penghargaan dan rasa terima kasih mereka kepada Malaysia atas segala perkongsian ilmu yang diperoleh sepanjang lawatan tersebut.
Jelas sekali, lawatan ini bukan sekadar kunjungan rasmi, tetapi telah mencapai matlamat utamanya sebagai platform perkongsian ilmu, pengalaman dan kepakaran yang boleh dimanfaatkan oleh kedua-dua pihak.

Pengurus Komunikasi Korporat UEM Foundation menyampaikan taklimat kepada delegasi NESDB.
Misi seterusnya: Memantapkan Program PPSB
Kini, tanggungjawab seterusnya terletak di bahu pihak NESDB untuk meneliti dan memperkemas draf Program Promoting Positive Social Behaviour (PPSB) berdasarkan pelbagai input, cadangan dan pengalaman yang diperoleh sepanjang lawatan ke Malaysia.
Draf program yang dimuktamadkan itu kemudiannya akan dikemukakan untuk pertimbangan dan kelulusan Lembaga Pemegang Amanah NESDB, yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri Libya.
Kita mendoakan agar segala usaha dan perancangan pihak NESDB ini memperoleh kejayaan serta mendapat keberkatan daripada Allah Yang Maha Esa.
Semoga perkongsian ilmu antara Malaysia dengan Libya ini menjadi permulaan kepada kerjasama yang lebih erat, sekali gus menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih sejahtera, berakhlak mulia dan berdaya tahan.
Dato’ Dr. Hasan Mad
Majlis Perundingan Melayu (MPM)

More Stories
Apabila Orang Berdosa Menegur Dosa: Siapakah Sebenarnya Layak Menegakkan Kebenaran?
ASEAN, Jerebu dan Adab Berjiran
Halal Bukan Sekadar Logo: Siapa Sebenarnya Menjaga Makanan Umat Islam?