Apabila saya berhubung dengan Dr Hj Razali Othman, tokoh yang saya anggap diantara yang mahir mengenai pembangunan instrumen wakaf dan endowmen, beliau seraya menarik perhatian saya kepada Lunas Ketiga, Perkara 66 dan 67 dalam Ucapan Belanjawan YB Menteri Kewangan, yang dibentangkan di Parlimen pada 9-10-2026.
Dua persoalan beliau lontarkan kepada saya menerusi hantaran mesej selepas percakapan kami menerusi telefon.
Pertama, mengapa kerajaan jadikan tanah seluas 50 ekar, bernilai RM 1.0 billion, di Bandar Malaysia, untuk mengupaya agenda ekonomi bumiputera, sebagai endowmen, tidak sebagai wakaf? Bukankah wakaf lebih dekat di hati orang Islam, berbanding endowmen? Jika diwakafkan, bukankah ia lebih terkait dengan Lunas Ketiga ini, yang bertemakan bumiputera dan Islam?
Kedua, mengapa kerajaan amanahkan Yayaan Pelaburan Bumiputera (YPB) sebagai Pemegang Amanah & Pengurus pembangunan tanah endowmen itu? Bukankah ada banyak institusi kewangan Islam yang kerajaan sendiri tubuhkan, seperti YaPEIM atau Perbadanan Wakaf Nasional, yang seraca lojiknya lebih berkaitan dalam mentadbirurus hartanah endowmen Islamik itu?
Oleh kerana Dr Razali berada di luar kawasan, maka saya bersama dua lagi ilmuan yang arif mengenai wakaf, endowmen dan kewangan Islam , berjumpa bagi meneliti pemilihan yang dibuat oleh Kerajaan.
Lebih kurang kami ada jawapannya. Pun begitu, kami mengandaikan jikalah ada, wakil dari institusi Islam dan institusi kewangan Islam, sertai sembang kami itu, tentunya dapat didengar pandangan mereka mengenai dua persoalan itu dan komen terhadap andaian kami.
Andaian pertama ialah instrumen wakaf yang dipromosikan di Malaysia ada terlalu banyak versi. Setiap versi itu dipengaruhi kuat oleh institusi Islam di sesebuah negeri. Keadaan ini menyebabkan tiada keseragaman dalam amalguna dan pembangunan instrumen wakaf di negara ini. Pada hemat kami, inilah cabaran dihadapi oleh sesama institusi Islam dan institusi kewangan Islam, dalam usaha kita memajukan dan memanfaatkan instrumen wakaf.
Andaian bagi persoalan kedua ialah keseragaman ilmu dan keupayaan pengurusan dikalangan institusi kewangan Islam, mengurus harta endowmen atau harta wakaf, dalam skala sebesar itu. Setakat ini belum ada yang dapat dijadikan model untuk digunapakai.
Berbanding dengan institusi kewangan atau yayasan yang mentadbirurus dana atau harta endowmen, ada banyak cerita kejayaan yang boleh digunapakai. Lagi pun, institusi seperti yayasan GLC yang mentadbirurus harta atau dana endowmen, juga ada Panel Syariah yang membimbing mereka akan tatacara pengurusan harta atau dana endowmen, mengikut syariah Islam. .
Andaikata andaian kami itu sahih, maknanya, institusi agama Islam yang diterajui MAIN di setiap negeri dan institusi pengurusan kewangan Islam, ada tugas besar menanti mereka, iaitu, mampukah mereka berperanan sebagai institusi muamalat setara dan sehebat yayasan yang mengurus dana endowmen, dengan kecekapan tahap tinggi, dan yang Islamik.
Andaikata tugas besar ini tidak segera disambut oleh mereka, kami khuatir instrumen wakaf akan kekal sukar untuk berkembang dan berperanan sebagai tunggak sektor ketiga (sektor ijtima’I) kewangan Islam.

More Stories
Belanjawan 2027: Peruntukan Perlembagaan Yang Diabaikan
What Our Boomers Failed, and Our Gen Zs Have to Pay For
The Love of the Marvellous and the Disbelief of the True