Oleh Ahmad Ismail
Sejarah penubuhan Persatuan Pendidikan Malaysia (PERPEMA) pada 5 Januari 1968 di Universiti Malaya adalah titik penting dalam usaha menyatukan suara pendidik negara. Lahir daripada Kongres Pendidikan Kebangsaan pertama, PERPEMA menjadi wadah yang menghimpunkan guru, pensyarah, dan tokoh akademik untuk memperkukuh martabat profesion perguruan. Tokoh-tokoh pendidikan yang terlibat ketika itu melihat keperluan mendesak untuk mewujudkan sebuah badan yang mampu mempengaruhi dasar pendidikan negara dan perlaksanaannya, sekaligus mengangkat peranan pendidik sebagai agen perubahan sosial.
Persatuan Pendidikan Malaysia (PERPEMA) atau Malaysian Association for Education (MAE) diaktifkan secara komprehensif oleh tokoh pendidik ulung Tan Sri Datuk Profesor Dr. Awang Had Salleh sejak tahun 1975. Ketokohan beliau terserlah melalui sumbangan reformasi kurikulum nasional dan kepimpinan universiti tempatan. Kepimpinan persatuan ini kemudiannya diterajui oleh barisan tokoh akademik berwibawa, termasuk pakar pemikir pendidikan Profesor Emeritus Datuk Ibrahim Ahmad Bajunid yang memperjuangkan kesetaraan sistem komprehensif, disusuli oleh Datuk Satinah Syed Saleh yang aktif menyuarakan konsistensi dasar awam serta isu keciciran murid. Kini, perjuangan memartabatkan wacana dasar pendidikan negara diteruskan di bawah kepimpinan Profesor Dato’ Dr. Mohd Majid Konting.
Objektif penubuhan PERPEMA jelas untuk menyatukan pendidik dari pelbagai latar, memperkukuh solidariti, dan menjadi suara yang berwibawa dalam pembangunan dasar pendidikan. Sejak awal, PERPEMA bukan sekadar persatuan, tetapi sebuah institusi yang berfungsi sebagai jambatan antara pendidik dengan kerajaan, serta antara Malaysia dengan dunia. Melalui penyertaan dalam Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan, PERPEMA telah memberi pandangan kritis terhadap reformasi kurikulum, latihan guru, dan pembangunan sekolah. Projek seperti konsep sekolah pintar, serta kempen mengiktiraf jasa guru, membuktikan sumbangan besar PERPEMA dalam membentuk landskap pendidikan negara.
Hari ini, peranan PERPEMA semakin relevan dalam menghadapi cabaran masa depan. Dunia sedang berdepan ketidakstabilan politik, persaingan ekonomi, dan revolusi teknologi. Generasi Z, Alfa, Y, dan Boomer mempunyai keperluan pendidikan yang berbeza, dan PERPEMA perlu menjadi tonggak dalam memberi pandangan berkaitan pembangunan sistem pendidikan yang inklusif dan adaptif. Pendidikan digital, keselamatan siber, keterjaminan makanan, isu-isu alam sekitar serta komunikasi global adalah aspek yang tidak boleh diabaikan. Dalam era kecerdasan buatan (AI) dan persaingan data global, PERPEMA mesti memastikan pendidik Malaysia bersedia melahirkan bakat yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.
Lebih daripada itu, PERPEMA harus memainkan peranan dalam memenuhi Agenda SDG 2030. Pendidikan untuk kelestarian planet, kesihatan awam, dan pemuliharaan kepelbagaian biologi mesti menjadi teras kurikulum. Cabaran pemanasan global, penyakit baharu, bahan kimia baharu muncul, dan kehilangan kepelbagaian biologi menuntut sistem pendidikan yang berorientasikan masa depan. Usaha pemuliharaan ekosistem melalui sasaran 30x30x30, melindungi 30% bumi, laut, dan kepelbagaian biologi menjelang 2030 memerlukan sokongan pendidikan yang kukuh. PERPEMA berpotensi menjadi penggerak utama dalam memastikan Malaysia melahirkan generasi pendidik dan pelajar yang peka terhadap kesihatan planet dan kesejahteraan manusia.
Dalam konteks serantau dan global, PERPEMA telah membina jaringan dengan badan antarabangsa seperti UNESCO, Education International, dan WERA (World Education Research Association). Jaringan ini membuka ruang Malaysia untuk menyumbang kepada agenda pendidikan dunia, sekaligus memperkukuh kedudukan negara sebagai pemain penting dalam wacana pendidikan global. Perancangan masa depan PERPEMA harus menekankan pembangunan bakat negara melalui penyelidikan pendidikan, latihan berterusan, dan integrasi teknologi baharu. Dengan itu, Malaysia bukan sahaja mampu menghadapi cabaran domestik, tetapi juga bersedia menjadi rakan strategik dalam menangani isu global.
Kesimpulannya, PERPEMA adalah lebih daripada sebuah persatuan pendidik. Ia adalah tonggak pemerkasaan pendidikan negara, penghubung antarabangsa, dan pelindung kepentingan pendidik. Dalam dunia yang penuh ketidakpastian, PERPEMA mesti terus berpegang pada objektif asalnya untuk melahirkan bakat dan pakar yang mampu menjaga kesihatan planet, mengekalkan kepelbagaian biologi, dan membina masyarakat yang harmoni. Dengan sejarah lebih setengah abad, PERPEMA telah membuktikan bahawa pendidikan adalah senjata paling ampuh untuk menghadapi cabaran masa depan negara dan dunia.

More Stories
Kesetiaan Seorang Sahabat Dalam Perjuangan: Teladan dari Pengalaman Saifuddin Nasution
Empowering a New Generation of Women Entrepreneurs Through WeBBB
ELMU Rintis Pendidikan Penguatkuasaan Undang-undang di Malaysia