September 29, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Beting Beras Basah: Warisan Raja Melayu, Benteng Alam Sekitar

Oleh: Ahmad Ismail

Beting Beras Basah bukan sekadar hamparan pasir dan lumpur di muara Sungai Perak, Bagan Datuk. Ia adalah simbol sejarah yang mengabadikan kelahiran Kesultanan Perak pada tahun 1528, di samping menjadi benteng ekologi yang melindungi pantai, habitat burung hijrah, dan sumber perikanan. Nilai sejarah dan alam sekitar yang terkandung di sini menjadikan Beting Beras Basah sebagai warisan yang mesti dipelihara untuk generasi masa hadapan.

Menurut catatan rasmi, Sultan Muzaffar Shah I – putera Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka terakhir – mendarat di Beting Beras Basah setelah bahtera baginda tersangkut di beting pasir. Ombak besar yang melanda ketika itu reda setelah baginda melontarkan mahkota ke laut dengan seruan keramat, “Jika sah beta Raja berdaulat, lepaslah sekalian malapetaka.” Sejak itu, Beting Beras Basah menjadi saksi bermulanya daulat Kesultanan Perak.

Tradisi ini terus diabadikan melalui Istiadat Tabal Pusaka, iaitu upacara pertabalan Sultan Perak baharu. Setiap kali pertabalan berlangsung, Sultan dan Raja Perempuan akan menghilir Sungai Perak menuju ke beting ini untuk menjalani ritual adat bersiram dan mencecah kaki ke air, mengikut jejak langkah Sultan pertama. Beting Beras Basah, yang hanya timbul ketika air surut, menjadi lambang kesinambungan sejarah dan adat istiadat Melayu yang unik.

Selain nilai sejarah, kawasan ini adalah ekosistem semula jadi yang kaya dengan kepelbagaian biologi. Dari Oktober hingga April setiap tahun, ribuan burung hijrah antarabangsa singgah di sini untuk mencari makanan dan berehat. Hutan bakau dan dataran lumpur menyediakan kepah, ketam, siput, umpun-umpun, dan anak ikan sebagai sumber tenaga burung migrasi. Pokok bakau pula menjadi tempat perlindungan daripada cuaca ekstrem.

Kepelbagaian spesies burung air, burung kedidi, burung pucung, dan burung helang menjadikan kawasan ini destinasi penting bagi aktiviti pemerhatian burung dan eko-pelancongan. Beting Beras Basah bukan sahaja habitat semula jadi, tetapi juga aset ekonomi nelayan tempatan yang bergantung kepada sumber perikanan di sekitarnya.

Namun, kawasan ini berdepan ancaman serius, seperti hakisan pantai akibat kematian pokok bakau dan ombak kuat, pencerobohan nelayan dan pengutipan kerang serta siput secara berlebihan. Eksploitasi sumber perikanan tanpa kawalan juga memberikan kesan kepada nelayan tempatan. Tambahan lagi peningkatan aktiviti perkapalan di Selat Melaka juga turut memberi kesan kepada hakisan pantai.

Jika tidak ditangani segera, Beting Beras Basah berisiko kehilangan fungsi ekologi dan nilai sejarahnya.

Untuk memastikan kelestarian, beberapa langkah perlu diambil:

  1. Wartakan kawasan perlindungan khas dengan sempadan jelas, meliputi habitat burung hijrah, kawasan pembiakan hidupan laut, dan zon bakau yang secukupnya.
  2. Pemulihan ekosistem bakau melalui penanaman semula dan penubuhan tapak semaian bakau, disertai pemantauan berterusan.
  3. Penyelenggaraan jeti dan kemudahan pelawat agar lawatan lebih selamat dan terkawal.
  4. Program CEPA (Communication, Education, Public Awareness):
    • Lawatan sekolah termasuk dalam modul kurikulum dan ko-kurikulum.
    • Lebih 60 sekolah sekitar Bagan Datuk boleh menjadikan lawatan ini sebagai pendidikan sejarah, moral, dan alam sekitar.
    • Jika setiap minggu ada lawatan sepanjang tahun, kawasan ini akan terus hidup sebagai pusat pendidikan dan pemuliharaan.

Beting Beras Basah memerlukan pentadbiran bersepadu. Satu jawatan kuasa khas di bawah naungan Istana Perak wajar ditubuhkan, melibatkan Perhilitan, Jabatan Perhutanan, Jabatan Perikanan, Jabatan Laut, Tourism Malaysia, dan sektor pertanian. Kerjasama komuniti tempatan dan pakar berkaitan juga penting agar penjagaan kawasan ini berterusan.

Beting Beras Basah adalah warisan yang menghubungkan sejarah Kesultanan Perak dengan kepelbagaian biologi dan ekonomi nelayan tempatan. Ia bukan sahaja tapak bersejarah yang mengabadikan daulat Raja Melayu, tetapi juga benteng ekologi yang melindungi pantai dan habitat burung hijrah. Dengan mengekalkan peninggalan sejarah akan menguatkan Institusi Kesultanan Melayu,

Dengan pewartaan rasmi, pemulihan ekosistem, pendidikan masyarakat, dan pentadbiran bersepadu, Beting Beras Basah boleh kekal sebagai simbol sejarah, pusat pendidikan, dan destinasi eko-pelancongan yang berimpak tinggi. Generasi akan datang berhak mewarisi bukan sekadar cerita sejarah, tetapi juga alam semula jadi yang lestari.