September 29, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Buli:  Masalah Yang Tak Akan Selesai?

Kita terlalu lama menukar nama keganasan supaya bunyinya lebih sedap — ragging, senioriti, orientasi, “ajar junior”, toughening-up. Akhirnya perkara yang salah menjadi biasa. Dan apabila tragedi berlaku, kita terkejut seolah-olah ia datang tanpa amaran.

Oleh Zuflin Nazli

Lebih 30 jam saya “berkelana” dalam satu perjalanan yang jauh dan agak lama sebelum akhirnya sampai ke destinasi. Apabila telefon kembali mendapat talian dan semua hubungan bersambung semula, berderetan mesej masuk. Ada yang saya baca, ada yang saya jawab, tak kurang juga yang terus saya padam.

Di celah semuanya, seorang kawan menghantar satu berita dan meminta saya menulis tentang ragging.

Saya buka pautan yang dikongsikan.

Another death.

Kali ini seorang budak sekolah – Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14 tahun. Baru Tingkatan Dua.

Saya tenung gambar arwah agak lama. Masih muda… Sayangnya.

Pada umur 14 tahun, seorang anak semuda ini sepatutnya tengah galak bermain, memikirkan hal tentang sekolah, bersukan petang-petang dengan kawan dan menghitung bila cuti seterusnya untuk pulang ke rumah. Bukan wajahnya berada dalam berita kematian dengan ucapan takziah dan al-Fatihah.

Berita seperti ini memang break many hearts.

Setakat 26 September, polis telah merakam keterangan 21 individu termasuk pelajar, guru dan ibu bapa mangsa. Seorang pelajar Tingkatan Empat berusia 16 tahun direman enam hari bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Ketua Polis Negeri Sembilan turut menegaskan bahawa punca kematian belum dapat ditentukan sementara keputusan ujian lanjut masih ditunggu. 

Jadi untuk kes Muhammad Idlan, biarlah polis, forensik dan akhirnya proses undang-undang menentukan apa sebenarnya yang berlaku.

Saya tidak mahu menjadi hakim MEDSOS.

Tetapi ada satu perkara yang saya rasa patut kita “jerit” kuat-kuat : Budaya buli di sekolah dan asrama bukan isu baharu.

Saya pernah berada dalam sistem itu

Saya bekas pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) dari 1986 hingga 1990.

Saya masuk pada tahun 1986, seorang budak kecil yang berada jauh daripada keluarga – sendirian dan antara yang paling kecil dari segi saiz fizikal. Jadi apabila orang bercakap tentang buli, saya faham sakit dan peritnya. Saya bukan sekadar membaca teori psikologi atau laporan media. Saya pernah menjadi junior dalam ekosistem sekolah berasrama yang sangat kuat budaya senioritinya.

Zaman kami dahulu pun ada physical contact. Ada tekanan mental. Ada humiliation. Ada intimidation.

Ada senior yang sangat baik, menjaga junior seperti adik sendiri. Mereka inilah senior yang sampai sekarang kita hormati.

Tetapi jangan juga kita tipu diri.

Ada yang apabila naik menjadi “senior”, junior boleh bertukar menjadi hamba abdi dan punching bag untuk melepaskan perasaan.

Itu real.

Sebab itu saya sedikit ‘geli’ dan ‘geli hati’ apabila orang terlalu romantik dengan zaman dahulu.

“Budak dulu kuat.”

“Budak dulu tak lembik.”

“Dulu lagi teruk, kami okay saja.”

Betul ka?

Kalau tahun 1986 sudah ada smartphone, TikTok, Instagram dan kumpulan WhatsApp ibu bapa, saya rasa masyarakat mungkin jauh lebih terkejut melihat apa yang berlaku dalam sesetengah dorm, tandas, belakang blok atau selepas lights-off.

Bezanya satu sahaja.

Dulu tak ada kamera.

Banyak perkara berlaku, kemudian hilang bersama malam.

Hari ini satu video 20 saat boleh dirakam pukul 11 malam dan sebelum Subuh satu Malaysia sudah melihatnya.

Sebab itu apabila orang berkata, “Budak sekarang makin ganas,” saya tidak berani terus bersetuju.

Mungkin.

Tetapi mungkin juga keganasan itu sudah lama ada.

Kita cuma baru mempunyai kamera dan MEDSOS untuk melihatnya.

Kita yang menjadikannya normal

Masalah lebih besar ialah masyarakat kita sendiri sudah terlalu lama menaturalisasikan budaya ini.

“Biasalah budak hostel.”

“Senior nak ajar junior.”

“Dulu aku kena lagi teruk.”

“Bagi dia jadi lelaki.”

“Kalau benda macam ni pun tak tahan, macam mana nak hidup?”

Pada saya, ayat-ayat begini sudah lama patut dimasukkan ke dalam muzium, dikunci pintunya dan jangan bagi keluar lagi.

Kenapa penderitaan kita dahulu perlu menjadi syarat supaya generasi selepas kita turut menderita?

Kalau dulu kita kena tampar, adakah itu memberi kita hak untuk menampar junior?

Kalau dulu kita dihina, adakah penghinaan itu tiba-tiba menjadi legacy yang perlu diteruskan?

Kita kena jelas.

Discipline bukan abuse.

Leadership bukan domination.

Dan seniority bukan lesen untuk menyentuh anak orang sesuka hati.

Kalau seorang junior melanggar peraturan, ada sistem disiplin.

Laporkan.

Hang senior ka, prefect ka, ketua dorm ka, kapten ka – hang bukan polis, bukan hakim dan bukan warden.

Angka tidak menipu — tetapi angka juga tidak menceritakan semuanya

Dalam kira-kira sedekad lalu, pola kes buli sekolah turun naik, tetapi masalah itu tidak pernah benar-benar hilang. Pada 2016, Kementerian Pendidikan memaklumkan jumlah kes berada sekitar 3,000, berbanding kira-kira 4,000 pada 2014. Semasa tempoh kawalan pergerakan pada 2021, hanya 326 kes direkodkan — angka yang mesti dibaca dalam konteks sekolah yang lama tidak beroperasi seperti biasa. Pada 2022 jumlahnya kembali kepada 3,887. 

Selepas itu peningkatannya menjadi lebih jelas. Rekod Parlimen menunjukkan 6,528 kes pada 2023 dan 7,681 kes pada 2024. Daripada jumlah 2024 itu, 5,689 kes berlaku di sekolah menengah. Bagi 2025 pula, KPM merekodkan 2,889 kes, termasuk 2,149 di sekolah menengah. KPM sendiri menjelaskan bahawa peningkatan perekodan pada 2024 juga berkait dengan tahap kesedaran dan pematuhan pelaporan yang lebih baik. 

Jadi jangan ambil semua nombor itu dan buat satu graf cantik tanpa memahami konteks.

Tetapi satu benda cukup jelas:

Buli tak pernah pergi ke mana-mana, Ianya kekal tinggal di sekolah dan Asmara dari dulu sehingga hari ini.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2022 pula mendapati 8.6 peratus remaja Malaysia berumur 13 hingga 17 tahun melaporkan pernah dibuli sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 30 hari sebelumnya. 

Dan itu yang dilaporkan.

Yang diam?

Yang takut?

Yang kena tampar tetapi kata terlanggar locker?

Yang duit selalu hilang tapi kata tercicir?

Yang telefon mak malam-malam dan apabila ditanya, “Okay tak sekolah?” hanya menjawab:

“Okay…”

Mereka berada dalam statistik mana?

Dalam dunia pekerjaan saya, keadaan begini kadang-kadang saya panggil Watermelon Syndrome – di luar semuanya hijau, nampak cantik dan terkawal. Bila dibelah, di dalam sudah merah.

Under-reporting bukan fenomena pelik dalam mana-mana sistem.

Sekolah juga tidak kebal daripadanya.

Malah bapa saudara Muhammad Idlan memberitahu media bahawa Allahyarham seorang yang pendiam dan setiap kali ditanya, dia sering mengatakan semuanya “okay” di sekolah. 

Dua perkataan itu tiba-tiba menjadi sangat berat.

Berapa banyak lagi nama kita mahu hafal?

Negara ini sebenarnya sudah berkali-kali mendapat amaran.

Pada 2004, Muhammad Farid Ibrahim, seorang pelajar Tingkatan Empat di sebuah sekolah agama di Negeri Sembilan, meninggal dunia selepas diserang senior di asrama. Lapan pelajar kemudian didakwa atas pembunuhannya. 

Pada 2010, institusi yang cukup dekat di hati saya sendiri – MTD,  dikejutkan dengan kematian Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri, 16 tahun, selepas dakwaan beliau dibuli dan didera senior. Seorang pelajar kemudiannya disingkir dan empat lagi digantung sementara siasatan dilakukan. 

Pada 2017 kita mengenali nama Zulfarhan Osman Zulkarnain. Kes penderaan terhadap kadet UPNM itu melalui perjalanan mahkamah bertahun-tahun.

Pada 2024, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17 tahun, meninggal dunia dalam kes di Kolej Vokasional Lahad Datu. Pada Ogos 2025, Mahkamah Tinggi mendapati 13 pelajar bersalah atas pembunuhannya. 

Kemudian kita mengikuti kes Zara Qairina Mahathir. Inkuiri mengenai kematiannya masih berjalan, jadi kita tidak patut mendahului dapatan koroner. Namun pada Julai lalu, seorang pakar psikologi kanak-kanak memberi keterangan bahawa penilaiannya menemui bukti buli verbal dan siber terhadap Zara, walaupun tiada bukti buli fizikal ditemukan dalam penilaian tersebut. 

Dan kini Muhammad Idlan Fareeq.

Semua kes ini tidak sama. Fakta, pertuduhan, bukti dan kedudukan undang-undangnya berbeza.

Tetapi ia cukup untuk membuat kita bertanya:

Berapa banyak lagi nama anak-anak ini mahu kita hafal sebelum sistem benar-benar berubah?

Pembuli tidak dilahirkan dengan label “pembuli”

Psikologi pembuli pula jauh lebih kompleks daripada sekadar mengatakan dia “budak nakal”.

Ada yang mencari dominance.

Ada yang mahu status dalam kelompok.

Ada yang seronok apabila orang takut kepadanya.

Dan ada yang pernah melalui penderaan sama sewaktu menjadi junior.

Kemudian apabila dia naik senior:

“Tahun lepas senior buat kat aku.”

“Tahun ni turn aku buat kat junior.”

Nah.

Abuse diwariskan macam saka ‘Tok Nenek’ – bukan melalui darah, tetapi melalui budaya.

Penyelidikan terhadap lebih 15,000 peserta mendapati pelaku buli boleh memperoleh peningkatan populariti dalam kelompok rakan sebaya walaupun pada masa yang sama lebih mudah ditolak oleh sebahagian rakan lain. Kajian lain pula menunjukkan empati yang lebih rendah berkait dengan perlakuan buli, dan perlakuan buli yang berterusan juga boleh menghakis empati. 

Dalam bahasa mudah, kalau seorang senior herdik junior lalu sepuluh orang kawannya ketawa, dia mendapat reward.

Kalau dia memberi arahan dan semua menurut, dia rasa berkuasa.

Kalau dia pukul dan orang takut, dia belajar satu perkara:

Power feels good.

Sebab itu pembuli jarang hidup seorang diri.

Selalunya ada orang yang melihat.

Ada yang ketawa.

Ada yang menggalakkan.

Ada yang tahu.

Dan ramai yang diam.

Lebam hilang. Memori belum tentu

Mangsa pula membawa cerita yang berbeza.

Lebam mungkin hilang dalam beberapa hari.

Luka akan sembuh.

Tetapi fear, humiliation dan rasa tidak berdaya kadang-kadang boleh menetap dalam kepala jauh lebih lama.

Kajian sistematik dan longitudinal memang menunjukkan pengalaman dibuli berkait dengan peningkatan risiko masalah seperti anxiety, depression dan pelbagai kesukaran psikososial, walaupun kesannya tidak sama bagi setiap individu dan ramai mangsa juga mempunyai daya tahan yang baik. 

Sebab itu saya faham apabila ada orang berumur 53 tahun masih ingat siapa yang buli dia ketika berumur 13 tahun.

Bilik mana.

Malam apa.

Siapa tampar.

Siapa gelak.

Badan membesar dan mungkin semakin melebar.

Tetapi memori tak semestinya ikut hilang.

Pesan saya kepada anak-anak

Semua anak saya pernah membesar di sekolah berasrama.

Ada yang menjadi ketua pengawas. Ada yang memegang tanggungjawab sebagai ketua dorm.

Antara pesan yang saya ulang kepada mereka sangat simple:

“Never ever touch anyone, for whatever reason.”

Kalau junior salah, report.

Kalau ada masalah disiplin, serahkan kepada orang yang diberikan autoriti.

Dan saya tambah satu lagi:

“Kalau orang touch hang, bagitau Papa. Jangan settle sendiri. Papa akan deal.”

Memang ada beberapa kejadian, terutama ketika mereka junior, saya masuk campur dan selesaikan dengan cara saya.

Saya bertanya.

Saya hubungi pihak berkenaan.

Saya masuk campur apabila perlu.

Bukan kerana saya mahu membesarkan anak yang lembik.

Saya cuma tidak mahu anak saya belajar bahawa satu-satunya jawapan kepada violence ialah violence.

Anak kita masuk asrama untuk belajar berdikari.

Bukan untuk kita outsource keselamatan mereka kepada seorang senior Tingkatan Lima.

Orang dewasa juga kena tengok cermin

Dalam kes buli, jangan salahkan budak semata-mata.

Orang dewasa pun kena tengok cermin.

Pentadbir mungkin terlepas pandang.

PIBG mungkin terlalu sibuk dengan keputusan peperiksaan, program, kutipan dan pembangunan sekolah.

Warden mungkin mempunyai roster yang cukup cantik di atas kertas.

Tetapi soalan sebenar ialah:

Rondaan itu betul-betul dibuat atau tidak?

Apa yang berlaku dalam dorm selepas lights-off?

Siapa tahu senior mana yang terlalu dominan?

Kalau junior membuat laporan, adakah identitinya benar-benar selamat?

Ini bukan persoalan saya seorang. Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang meneliti isu buli pada 2025 sendiri menyatakan garis panduan KPM yang wujud sejak 2023 belum dilaksanakan sepenuhnya. Jawatankuasa itu mengesyorkan antaranya perlindungan identiti pengadu, Jawatankuasa Khas Anti-Buli di sekolah, polisi perlindungan kanak-kanak, pemantauan PIBG, penambahan kaunselor serta penelitian semula sistem warden dan kawasan blind spot di sekolah berasrama. 

Jadi persoalan tentang sistem bukan tuduhan liar.

Ia memang persoalan yang negara sendiri sedang bergelut untuk menjawab.

Dalam dunia pekerjaan saya – OSH, kematian jarang datang tanpa amaran atau signal.

Dalam OSH kita faham satu prinsip mudah:

Kematian jarang muncul tanpa amaran.

Sebelum major accident, biasanya ada weak signals.

Buli pun sama.

Budak yang tiba-tiba tidak mahu kembali ke hostel.

Prestasi pelajaran merosot.

Duit hilang berkali-kali.

Anggota badan lebam dan jawapannya standard – “jatuh, terlanggar locker, terkena bucu katil”.

Takut kepada seorang senior tertentu.

Minta pindah dorm.

Minta tukar sekolah.

Tiba-tiba menjadi pendiam.

Itu semua weak signals.

Kalau tiada siapa bertanya soalan kedua selepas budak menjawab, “Saya jatuh,” maka kita mungkin sedang melepaskan satu signal.

Kalau kita hanya mula menyiasat selepas ambulans masuk melalui pintu pagar sekolah, itu bukan prevention.

Itu post-mortem management.

“Jangan jadi kaki report”

Satu lagi budaya yang sudah lama patut kita buang ialah:

“Jangan jadi kaki report.”

Kalau mesin rosak, kita report.

Kalau nampak pencuri, kita report.

Kalau ada kebakaran, kita report.

Tetapi apabila seorang budak kena pukul dalam dorm, kita kata:

“Settle sendiri-sendiri.”

Apa benda ini?

Budak 13 atau 14 tahun tidak sepatutnya dipaksa menjadi hero seorang diri.

Orang dewasa yang sepatutnya menjadi sistem pertahanan mereka.

Jangan gunakan nostalgia sebagai sanitiser

Kepada bekas-bekas budak asrama macam saya, kita juga kena jujur.

Saya bangga menjadi budak MTD.

Banyak perkara baik di sana membentuk saya sehingga hari ini – disiplin, brotherhood, resilience dan rasa tanggungjawab.

Tetapi sayang kepada alma mater tidak bermaksud saya perlu mempertahankan semua benda yang pernah berlaku di dalamnya.

Kalau salah, saya akan kata salah.

Kalau abuse, jangan beri nama sedap seperti ragging.

Jangan panggil “legacy continues” seolah-olah setiap tradisi yang sudah berusia 50 tahun wajib diwariskan.

Brotherhood tanpa dignity boleh bertukar menjadi gangsterism.

Discipline tanpa boundaries boleh menjadi abuse.

Seniority tanpa accountability boleh bertukar menjadi power trip.

Dan saya juga rasa dunia hiburan perlu sedikit muhasabah.

Beberapa tahun lalu kita ghairah dengan cerita tentang “High Council”, “Kapla”, hierarki senior dan dunia samseng sekolah. Drama Projek: High Council sendiri mencetuskan perbincangan luas kerana jalan ceritanya begitu dekat dengan budaya fraterniti yang memang pernah wujud di sesetengah sekolah. 

Saya tidak mengatakan sebuah drama menyebabkan seorang budak menjadi pembuli. Itu terlalu mudah dan tidak ada asas untuk membuat kesimpulan sebegitu.

Tetapi penerbit juga jangan pura-pura tidak faham kuasa visual.

Kalau keganasan sekolah, kuasa senior dan watak samseng dibungkus terlalu cool, heroik dan aspirational, kita berhak bertanya apakah mesej yang sampai kepada penonton remaja.

Fiksyen boleh menceritakan realiti gelap.

Tetapi jangan sampai keganasan dijual sebagai identiti yang patut dikagumi.

Entah sampai bila

Entah sampai bila buli akan terus berjalan.

Mungkin selagi kita masih berkata:

“Biasalah.”

Mungkin selagi sekolah lebih takut nama sekolah rosak daripada takut seorang budak rosak.

Mungkin selagi seorang ibu atau bapa lebih cepat berkata, “Anak saya baik di rumah,” daripada bertanya:

“Apa sebenarnya anak aku buat kepada anak orang?”

Mungkin selagi kita mempunyai polisi yang cantik tetapi implementation-nya bocor.

Dan mungkin selagi kita hanya marah apabila keluar satu lagi gambar seorang budak dengan tulisan Al-Fatihah.

Untuk Muhammad Idlan, biarlah siasatan menentukan apa sebenarnya berlaku dan siapa yang perlu dipertanggungjawabkan. Kementerian Pendidikan juga telah mengarahkan Jemaah Nazir menjalankan audit segera bagi meneliti aspek keselamatan serta pematuhan tatacara sekolah berkenaan. 

Tetapi selepas semuanya selesai nanti, jangan cuma tanya:

“Siapa buat?”

Tanya juga:

Siapa tahu?

Siapa nampak?

Siapa diam?

Dan yang paling penting – 

Siapa sepatutnya menjaga?

Sebab kalau kita sekadar menghukum seorang pelaku tetapi tidak mengubah budaya dan sistem yang memberi ruang kepada perbuatan itu, kita sebenarnya belum menyelesaikan apa-apa.

Kita cuma sedang menunggu.

Menunggu nama seterusnya.

Al-Fatihah buat Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq bin Shahril.

Anak orang dihantar ke sekolah untuk dididik, dibentuk dan dijaga.

Bukan untuk diuji berapa banyak kesakitan yang mampu mereka tanggung.