Ogos 10, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

TVET Perkukuh Kewibawaan Penguat kuasa Undang-undang

Suatu ketika dahulu, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) hanyalah pilihan kedua.  Jika gagal memasuki universiti awam atau swasta, TVET menjadi laluan alternatif.  Namun demikian, persepsi itu kini sudah berubah.  

TVET kini berdiri sebagai laluan kerjaya yang semakin diyakini, serta mendapat tempat dalam landskap pendidikan negara.

Kenapa perubahan sikap ini berlaku? Jawapannya mudah sahaja.  Dunia pekerjaan lebih memerlukan kemahiran daripada kelulusan akademik semata-mata.

Dunia pekerjaan yang berasaskan teknologi memerlukan individu yang cekap melaksanakan kerja, mahir menggunakan peralatan dan mampu menyelesaikan masalah secara praktikal.  Inilah kelebihan lulusan TVET berbanding siswazah yang hanya memiliki kelulusan akademik.

Statistik kebolehpasaran graduan TVET yang mencecah 94.5 peratus tahun lalu jelas membuktikan bahawa laluan ini telah menjadi pilihan utama. Malah, dengan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif, graduan berkemahiran tinggi kini menikmati gaji yang lebih kompetitif.  Mereka tidak hanya membawa pulang sijil, tetapi juga keyakinan dan kebolehan sebenar.

Perkembangan pesat dalam ekonomi global memerlukan tenaga kerja berkemahiran khusus. TVET tampil sebagai inisiatif paling praktikal untuk melahirkan tenaga kerja yang benar-benar memenuhi keperluan industri, bukan sekadar mahir berteori, tetapi terus boleh turun padang melaksanakan kerja secara praktikal.

Kursus Penyelam Profesional dan Pengendalian Dron

Menyedari keperluan mendesak terhadap tenaga mahir dalam sektor strategik negara, Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) melalui anak syarikatnya ELMU TVET Sdn. Bhd. mengambil langkah proaktif memperkenalkan Program TVET Berimpak Tinggi 2026.

Untuk permulaan, dua kursus unik diperkenalkan, iaitu Penyelam Profesional dan Pengendalian Dron. Mungkin kedengaran luar biasa, tetapi hakikatnya kedua-dua bidang ini sangat diperlukan dalam industri masa kini.

Penyelam Profesional bukan sekadar menyelam untuk rekreasi. Peserta dilatih secara menyeluruh merangkumi teori selaman, prosedur keselamatan, penggunaan peralatan industri, pemeriksaan struktur marin hinggalah pematuhan piawaian antarabangsa.

Latihan ini membuka peluang dalam sektor maritim, minyak dan gas, keselamatan serta pemantauan sumber laut, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi biru negara.

Menariknya, peserta bukan sahaja menerima Sijil Kemahiran Malaysia, malah turut mendapat pensijilan antarabangsa daripada Professional Association of Diving Instructors (PADI), manakala  peserta kursus Public Safety Diver pula menerima sijil daripada International Association of Nitrox and Technical Divers (IANTD).  Ini memberi kelebihan besar kepada peserta untuk menembusi pasaran kerja global.

Begitu juga dengan Pengendalian Dron yang selama ini hanya dilihat sekadar hobi semata-mata.  Dron kini banyak digunakan dalam kerja-kerja pemetaan, pemantauan pesisir pantai, pertanian pintar, pengurusan bencana dan banyak lagi.

Dalam kursus ini, peserta didedahkan kepada aspek perundangan penerbangan, keselamatan operasi, asas aerodinamik serta aplikasi industri.

Lebih penting, peserta akan menerima pensijilan daripada Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) selain Sijil Kemahiran Malaysia.  Pengiktirafan ini memastikan mereka memenuhi piawaian penerbangan awam dan meningkatkan keyakinan majikan terhadap kompetensi mereka.

Nilai tambah pensijilan pelbagai badan profesional ini menjadikan kedua-dua program ini lebih kukuh berbanding TVET konvensional yang lazimnya menawarkan satu sijil sahaja.

Kedua-dua program ini dibangunkan berasaskan pendekatan kompetensi menyeluruh. Maknanya, peserta bukan hanya belajar teori di bilik kuliah, tetapi menjalani latihan amali intensif dalam suasana yang hampir sama dengan persekitaran industri sebenar.

Pendekatan ini memastikan setiap peserta benar-benar bersedia sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Bagi memastikan lebih ramai belia mendapat peluang menyertai program berimpak tinggi ini, ELMU turut bekerjasama dengan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dalam menyediakan kemudahan pembiayaan latihan.  Ini bermakna, faktor perbelanjaan bukan lagi penghalang bagi membina masa depan. Sokongan ini penting bagi membuka akses kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi untuk menimba ilmu dan kemahiran yang diperlukan oleh industri.

TVET dan Aspirasi 2030

Usaha ini selari dengan Dasar TVET Negara 2030 yang menekankan latihan berasaskan industri, pengiktirafan kompetensi dan peningkatan kebolehpasaran tenaga mahir.

Hakikatnya, industri hari ini tidak lagi menilai seseorang berdasarkan kelayakan akademik semata-mata. Kemahiran teknikal, kecekapan operasi dan kebolehan menyelesaikan masalah menjadi ukuran utama.  TVET memenuhi keperluan ini dengan pendekatan yang praktikal dan berfokus.

Namun kejayaan TVET tidak boleh digalas oleh institusi latihan sahaja. Ia memerlukan sinergi kukuh antara institusi, industri dan pembuat dasar. Pelaburan dalam teknologi terkini serta pensijilan yang diiktiraf akan menjadi pemangkin utama.

Menjelang 2030, TVET berpotensi menjadi platform masa depan yang benar-benar mampan bagi menjadikan Malaysia sebagai hab bakat teknikal yang dihormati di rantau ini.

Yang jelas, TVET hari ini merupakan laluan berani untuk para belia yang mengimpikan kerjaya yang mencabar dan berdaya saing bagi membina masa depan yang cemerlang.