Ogos 7, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

ELMU Rintis Pendidikan Penguatkuasaan Undang-undang di Malaysia

Bidang pendidikan tinggi di Malaysia telah menunjukkan perkembangan yang pesat sejak beberapa dekad terakhir.   Ini terbukti dengan penubuhan beberapa universiti baharu  sebagai tambahan kepada 20 universiti awam yang beroperasi di setiap negeri.

Selain daripada universiti penyelidikan iaitu Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia,  Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia, serta universiti komprehensif seperti Universiti Teknologi MARA, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Sarawak, terdapat beberapa universiti yang memfokus kepada disiplin tertentu.  

Misalnya Universiti Pendidikan Sultan Idris tertumpu kepada bidang pendidikan manakala Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dalam aspek pertahanan dan keselamatan negara.  Begitu juga universiti lain yang menawarkan program-program dalam disiplin tertentu seperti tergambar pada nama institusi berkenaan, misalnya, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

Di samping program penyelidikan dan kursus berfokus sedia ada, satu bidang baharu yang semakin diminati oleh para pelajar institusi pengajian tinggi ialah bidang penguatkuasaan undang-undang dan kriminologi yang ditawarkan oleh beberapa universiti, kolej dan kolej universiti melalui Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan atau Fakulti Undang-Undang.

Bidang Penguatkuasaan Undang-undang Muncul Sebagai Bidang Pengajian Baharu

Bidang Penguatkuasaan Undang-undang tidak sepopular bidang lain seperti Kejuruteraan dan Teknologi, Seni Lukis dan Seni Reka, Perniagaan, Perubatan dan Sains Kesihatan, Pertanian, Sains Sosial dan Kemanusiaan, Pendidikan, Undang-undang, Komunikasi dan Pengajian Media, Teknologi Maklumat, dan Perakaunan (sekadar menyebut beberapa contoh).

Sebuah institusi pengajian tempatan, Kolej SMART, disebut oleh pengasasnya, Anand Pon sebagai perintis dalam membangunkan program Diploma Penguatkuasaan dan Kepatuhan (Fakulti Undang-Undang dan Penguatkuasaan) serta Diploma Penyiasatan Korporat (Fakulti Penyiasatan Jenayah). Namun demikian, kolej yang diasaskan pada tahun 2012 itu  masih belum boleh dianggap sebagai kolej penguatkuasaan undang-undang sepenuhnya kerana asas programnya lebih menghampiri undang-undang perniagaan dan korporat, manakala program pengajiannya tidak menyeluruh.

Di luar negara, senarionya juga sama iaitu belum ada universiti yang melaksanakan pengajian sepenuhnya dalam bidang penguatkuasaan undang-undang.

Penulis telah membuat semakan pada senarai universiti terkemuka luar negara dan setakat ini belum menemui sebarang universiti yang fokus dalam bidang penguatkuasaan undang-undang atau kriminologi. 

Amerika Syarikat mempunyai FBI Academy (Quantico, Virginia), John Jay College of Criminal Justice (New York) dan beberapa akademi polis yang bergabung dengan beberapa universiti di negeri-negeri seperti Los Angeles Police Academy. 

Selain itu, tiga universiti menawarkan program berkaitan penguatkuasaan undang-undang dan kriminologi di fakulti masing-masing, seperti berikut:

• University of Cincinnati: School of Criminal Justice
• California State University, Long Beach: School of Criminal Justice
• Florida State University: College of Criminology and Criminal Justice

Dua universiti di Asia turut menawarkan program kepolisan iaitu Korea National Police University (Seoul, Korea Selatan) dan National Police University of Taiwan.

Australia mempunyai sebuah universiti khusus dalam bidang kepolisan iaitu Australian Federal Police College (Canberra) manakala Charles Stuart University menawarkan program penguatkuasaan undang-undang melalui School of Police Studies and Criminal Justice.

Penubuhan Australian Federal Police College agak menarik.  Menurut laman web afp.gov.au, idea penubuhan kolej itu sering dikaitkan dengan peristiwa pengeboman Hotel Hilton di Sydney pada 13 Februari 1978.  

Kejadian yang berlaku semasa Mesyuarat Serantau Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel itu merupakan yang pertama seumpamanya berlaku di negara itu dan telah mendorong pihak berkaitan untuk melaksanakan pelbagai perubahan dalam landskap kepolisan, perisikan, dan keselamatan Komanwel.  Seorang bekas Pesuruhjaya Polis Metropolitan United Kingdom, Sir Robert Marks dilantik untuk menjalankan kajian semula terhadap sumber kepolisan, keselamatan dan antikeganasan badan serantau itu.  

Sebagai tindak balas kepada hasil kajian itu, Akta Polis Persekutuan Australia 1979 (Akta AFP) telah digubal oleh Parlimen negara tersebut. Akta itu mencadangkan pewujudan sebuah agensi Kepolisan Persekutuan yang menggabungkan Polis Komanwel, Polis Wilayah Ibu Kota Australia (ACT Police), dan Biro Narkotik Komanwel yang sedia ada.

AFP memulakan operasinya pada 19 Oktober 1979.  Seorang bekas pegawai kanan di London Metropolitan Police, Sir Colin Woods telah dilantik sebagai Pesuruhjayanya yang pertama. 

ELMU Lahir Sebagai Universiti Penguatkuasaan Undang-Undang Pertama Di Malaysia dan Dunia

Di tengah-tengah kemunculan pelbagai fakulti dan program pengajian penguatkuasaan undang-undang dan kriminologi di negara ini, muncullah sebuah universiti yang memfokuskan pengajiannya dalam bidang penguatkuasaan undang-undang, kepimpinan dan pengurusan.

Universiti yang dinamakan sebagai Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) ditubuhkan di bawah Kumpulan ELMU sebagai sebuah institusi   pendidikan yang menggabungkan kepakaran dan pengalaman golongan akademik, pegawai kerajaan dan pengamal industri bagi membentuk ekosistem Penguatkuasaan Undang-undang, Kepimpinan dan Pengurusan berintegriti dan berwibawa. 

Kekuatan ELMU terletak pada tenaga pakar industri yang berkelayakan dan berpengalaman luas dalam bidang penguatkuasaan undang-undang dan pengurusan krisis.  Barisan pakar tersebut yang diketuai sendiri oleh Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif ELMU, Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed bukan sahaja mempunyai kelayakan khusus dalam bidang masing-masing tetapi turut mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam bidang kepakaran mereka.

Datuk Dr. Kassim sendiri yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kriminologi ialah Felow Higher Education Academy, United Kingdom serta Pensyarah Kanan di Nottingham Trent University, University of Derby dan Birmingham City University.  Bidang kepakaran beliau termasuk Perisikan dan Pengawasan, Jenayah Terancang dan Korporat, Fraud Kastam, Penculikan dan Pelanunan.  Beliau juga merupakan Penasihat Akademik kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia serta turut berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bagi penggal 2026 hingga 2029.

ELMU lahir bagi memenuhi permintaan untuk pendidikan tinggi, kekurangan tempat di universiti awam serta perubahan dalam dasar kerajaan yang memberi ruang untuk pengembangan pendidikan tinggi swasta melalui penawaran program baharu sejajar dengan keperluan semasa negara.

Sebagai sebuah institusi pendidikan yang berkonsepkan penguatkuasaan undang-undang, objektif utama ELMU ialah melahirkan profesional yang kompeten dan berintegriti dalam bidang undang-undang, jenayah, keselamatan awam dan pentadbiran kehakiman.

Bagi memperkukuh peranannya dalam bidang pendidikan dan penyelidikan penguatkuasaan, kepimpinan dan  pengurusan, ELMU telah menjalin kerjasama strategik dengan beberapa jabatan dan agensi penguatkuasaan undang-undang serta institusi pendidikan di dalam dan luar negara.  

Pada peringkat tempatan, antara lain, ELMU telah menandatangani beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Putra Business School, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan Universiti Teknologi MARA.   

Selain itu, ELMU turut menandatangani MoU dengan Jobstore.com bagi memperluas  peluang kerjaya untuk para lulusan.  Dari aspek program peningkatan integriti, profesionalisme dan kebajikan dalam kalangan penguatkuasa undang-undang di negara ini, ELMU melalui ELMU Foundation telah juga menandatangani MoU dengan Yayasan Prihatin SPRM. 
Kesemua kerjasama strategik ELMU dengan institusi-institusi berkenaan bertujuan menyokong pembangunan latihan yang lebih tersusun, berstandard tinggi dan sejajar dengan keperluan semasa negara.  Misalnya, kerjasama ELMU dan MACA dibuat bagi  melaksanakan program latihan untuk pegawai kadet SPRM dengan tujuan melahirkan barisan hadapan generasi baharu dalam usaha memerangi rasuah.

Program latihan tersebut dibangunkan secara komprehensif melalui gabungan komponen akademik dan latihan asas, meliputi aspek tadbir urus, etika, disiplin serta kompetensi operasi. Pendekatan itu memberi penekanan kepada pembangunan pegawai yang bukan sahaja kompeten dari segi teknikal, malah mempunyai asas integriti dan profesionalisme yang kukuh.

Pada peringkat antarabangsa pula, setakat ini ELMU telah menjalin kolaborasi dengan tiga universiti dari Indonesia iaitu Universitas Brawijaya, Universitas Nasional dan Universitas Pembangunan Nasional Veteran Yogyakarta.  Selain itu, ELMU turut menandatangani MoU dengan Special International Risk and Advanced Security Academy, (SIRAS) Denmark, sebuah akademi keselamatan terbesar di Eropah yang menawarkan latihan taktikal dalam hampir setiap aspek berkaitan perlindungan dan keselamatan.

Bagi memperkukuh pembangunan profesional dalam bidang sains forensik, ELMU telah menjalin kolaborasi dengan Persatuan Sains Forensik Malaysia serta Foster & Freeman Ltd., sebuah syarikat terkemuka dari United Kingdom dalam teknologi sains forensik dan pengesahan identiti.

Terkini, ELMU, melalui anak syarikatnya, ELMU TVET Sdn. Bhd. telah memperkenalkan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Berimpak Tinggi bagi program Penyelam Profesional dan Pengendalian Dron yang bertujuan melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu memperkasa sektor ekonomi biru serta meningkatkan daya saing ekonomi negara.

Program ini dirangka bagi memenuhi keperluan industri strategik negara, khususnya sektor maritim, keselamatan perairan, tenaga luar pesisir dan industri selaman profesional selaras dengan matlamat Dasar TVET Negara 2030.  Program tersebut  diharap dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan serta menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi berasaskan kemahiran.  Peserta yang menamatkan latihan berpeluang memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia sebagai pengiktirafan kompetensi kebangsaan, di samping pelbagai sijil profesional mengikut bidang kursus.  

Peserta yang berjaya menjalani latihan dalam kursus Penyelam Profesional akan menerima pensijilan daripada Professional Association of Diving Instructors (PADI), manakala bagi kursus Public Safety Diver (PSD) pula, sijil dikeluarkan oleh International Association of Nitrox and Technical Divers.  Peserta yang berjaya menamatkan latihan pengendalian dron pula akan menerima pensijilan daripada Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) sebagai pengiktirafan pematuhan piawaian penerbangan awam.  Pendekatan pelbagai pensijilan ini memberikan nilai tambah berbanding program TVET konvensional yang lazimnya menawarkan satu bentuk pensijilan sahaja.

Pelengkap Ekosistem Pendidikan Masa Depan

Walaupun baru dua tahun beroperasi, ELMU kini semakin diiktiraf sebagai institusi pendidikan penguatkuasaan yang berwibawa tanpa perlu bersaing dengan universiti lain.  Malah, kehadirannya melengkapkan ekosistem pendidikan  tinggi negara dengan menawarkan program pengajian yang memenuhi keperluan khusus sektor penguatkuasaan.

Melalui pendekatan yang berteraskan latihan profesional, pembangunan kompetensi dan keperluan semasa,  ELMU berpotensi melahirkan tenaga kerja profesional yang memiliki pengetahuan akademik serta bersedia menghadapi cabaran dunia kerjaya. 

Dengan hala tuju yang jelas serta komitmen terhadap kecemerlangan, ELMU dijangka mampu memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan yang menyumbang kepada pembangunan modal insan berkualiti serta menyokong agenda keselamatan dan penguatkuasaan negara pada masa hadapan.