Tapi, jarang sekali orang Melayu suarakan keresahannya terhadap kementerian diterajui dikalangan bangsanya sendiri, walhal, prestasi sesetengah kementerian atau agensi pusat, yang menjaga kepentingan bangsa, sekadar melepaskan batok di tangga saja.

Ye, kementerian atau agensi itu berperanan seperti biasa, digerakkan oleh jentera pentadbiran yang sekadar menjalankan tugas harian atau tugas routine masing-masing. Dari aspek manfaat politik kepada orang Melayu, semacam tidak ketara, atau dalam bahasa kasarnya, tiada siapa yang peduli.
Tiada siapa peduli buat sekian lamanya TERAJU ibarat hidup segan, mati tak mahu. Kadang-kala secara tetiba, terdengar agensi itu nak buat itu dan ini. Dah berusia lebih 15 tahun, tak sekalipun agensi itu hasilkan Kad Laporan Tahunan prestasinya membantu komuniti usahawan bumiputera.
Tiada siapa peduli bila Talent Corp dipindahkan ke Kementerian Sumber Manusia, sebagai agensi pembangunan kerjaya, walhal, perbadanan ini adalah kembar-tiga (bersama Ekuinas dan MTAB) yang Kerajaan BN tubuhkan semasa melancarkan RMK-10, pada Julai 2010. Ia bagi menjayakan teras pembangunan kerjaya, agenda bumiputera.
Tiada siapa berani menegur Ekuinas yang fungsinya tersasar jauh dari matlamat asal penubuhannya, iaitu, untuk meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera, terutama dalam pasaran ekuiti.
Kepada merka yang masih ingat, Ekuinas diperbadankan bagi mengendalikan pemilikan ekuiti bumiputera, manakala Talent Corp pula bagi meningkatkan penguasaan bumiputera dalam kerjaya berprofail tinggi. TERAJU pula diperbadankan apabila Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) yang kemudiannya dijenamakan sebagai Majlis Agenda Bumiputera (MAB), merasakan sebuah Sekretariat Tetap menyamai PEMANDU wajar ditubuhkan sebagai Sekretariat Tetap kepada MAB. Akan tetapi pengurusan TERAJU merasakan yang ia adalah sebuah agensi pusat pembangunan agenda bumiputera. Hatta, tiadalah TERAJU berurusan dengan semua kementerian, semua kerajaan negeri dan semua agensi dalam memastikan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan dan dimanfaatkan sepenuhnya.
Itu sebabnya hingga kini agenda bumiputera hanya indah di atas kertas saja. Bumiputera sendiri pun tak peduli akan agendanya. Entah berapa ramai dikalangan kita yang mengetahui hak-hak kita sepertimana terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Keadaan lebih parah di kementerian-kementerian diterajui samada dikalangan pemimpin DAP atau sekutu politik mereka dalam Pakatan Harapan.
Contohnya, tiada siapa ambil peduli bila Kementerian Kesihatan (MoH) diperkudakan oleh orang lain bagi menghalalkan program kepakaran bidang perubatan oleh kolej-kolej swasta luar negara, dalam usaha mereka meramaikan pakar perubatan dikalangan mereka.
Sudah tentulah tiada pemimpin, malah penjawat awam Melayu ambil peduli nasib pemain industri dikalangan orang Melayu dalam sektor perkapalan, maritim dan logistik, kerana menterinya tidak pernah dikalangan orang Melayu.
Begitulah juga nasih pemain industri Melayu dalam sektor penerbangan dan pengangkutan udara, yang kini kian lenyap, sekadar bermegah dengan MAB dan Airod semata-mata.
Secara kebetulan, baru-baru ini, semasa bercuti bersama keluarga ke selatan Tanahair, saya berkesempatan berjumpa dan bersembang dengan rakan dan taulan dalam dua bidang perindustrian. Keresahan mereka, sekalipun dalam dua dunia bisnes berlainan, adalah sama.
Satu kumpulan ini cuak bila mereka dapati tidak ramai dikalangan kita ambil peduli isu pemilikan tanah orang Melayu di luar bandar kian terhakis dan perlahan-lahan kuasa ekonomi desa dalam sektor tanaman perladangan, terlepas dari tangan orang Melayu, sekalipun kedua-dua kementerian ini, MPIC dan KKLW diterajui oleh orang Melayu.
Ramai anak-anak Melayu berilmu dan berpengalaman tinggi, komited untuk bangkitkan kembali bidang pertanian komersil, di desa. Pun begitu, banyak ranjau mereka terpaksa redah. Semakin banyak tanah-tanah milik orang Melayu rancak tergadai dan terlepas ke tangan orang lain. Dalam industri minyak sawit misalnya, jika pun ada usahawan Melayu yang kendalikan Pusat Pembelian Buah Sawit (Pusat Timbang, kata bahasa orang kampong), dari mana mereka nak dapatkan belian FFB?
Dalam pada itu mereka juga terpaksa bersaing dengan beberapa Pusat Timbang yang pada namanya dimiliki koperasi agensi kerajaan, hakikatnya lesen-lesen itu dipajakkan kepada orang lain.
Nak dapatkan kerjasama pelbagai agensi pengupaya yang ditadbir-urus anak bangsa sendiri pun liat.
Jom ajak pemimpin Melayu dan penjawat awam bangsa kita sama-sama turun padang dan lihat sendiri dengan mata kepala kita, apa yang terjadi di bawah sana.
InshaAllah, bulan depan, MPM akan adakan sidang mejabulat di lapangan, di Pusat Timbang milik anak Melayu, di Machap, Johor, bagi membolehkan rakan-rakan di MPM mendengar dan melihat sendiri sejauh mana kebenaran yang mengatakan ekonomi desa pun orang Melayu sudah tak mampu kuasai.
Kumpulan kedua ini pula ialah dikalangan rakan-rakan kita yang ceburi industri perkapalan, maritim dan logistik.
Dengar katanya, hampir kesemua agensi pengupaya yang berkaitan ditadbir-urus oleh anak bangsa Melayu. Jika demikian, apa ranjau yang menyukarkan mereka untuk menjadi usahawan terbilang?
MPM ingin mendengar sendiri kenapa susah sangat penjawat awam Melayu hendak mengupayakan bisnes dikalangan orang Melayu. Atau kementerian berkaitan yang menjadi ranjaunya. Atau usahawan anak bangsa itu sendiri yang diragui kredibilitinya. Atau, entah ada cerita-cerita lain yang tersembunyi.
Sudah acapkali MPM dengar rintihan sedemikian. Jom bersama melihat dan mendengar sendiri realti di lapangan.
Jika ada pemberita, wakil pemimpin politik, wakil TERAJU dan para pegawai kementerian yang ingin turut sama, MPM amat mengalu-alukan.
Sudah acapkali orang Melayu cuak bila pemimpin DAP bergerak cergas laksanakan beberapa agenda yang orang Melayu lihat ada kepentinagn politik kepada bangsa mereka. Itulah suara-suara lantang yang kedengaran, misalnya, bila KPKT tegar akan bentangkan semula RUU PSB di Sidang Parlimen akan datang.
Jelas sekali, sesama kita orang Melayu, budaya kebersamaan minda dikalangan kita, sudah amat asing bagi kita.
Jelas sekali, kita tidak pernah ambil iktibar dari pengalaman kehilangan kuasa politik, sekalipun kita kuasai demografi.
Kita hanya tersedar dan rasa insaf, bila kedudukan kita ibarat ‘nyawa-nyawa ikan’.
Terkini, komuniti ekonomi orang Melayu amat bergantung harap kepada YBM MITI menaungi mereka, bilamana KUSKOP buat pertama kalinya diterajui pemimpin DAP. Setakat ini belum terdengar agenda politik orang Melayu di MITI, bagi manfaatkan usahawan Melayu yang pastinya akan semakin ramai ingin beralih naungan dari KUSKOP ke MITI.
InshaAllah, selepas dua sidang mejabluat di lapangan itu nanti, MPM akan buat satu sidang Perkara 153 bagi kaitkan kesemua kementerian dan agensi yang dimaksudkan itu.
Hendaknya Tahun Baru 2026 lebih bermakna kepada orang Melayu, sekalipun kuasa politiknya kian tidak menentu.
Dato Dr Hasan Mad
Setiausaha Agung MPM
27 Disember 2025

More Stories
Jati Diri Alam Semula Jadi Malaysia: Warisan yang Perlu Dipertahankan
Political Disharmony and Fragmentation As We Approach GE16…
Titah Sultan Bukan Suara Biasa: Derhaka Pada Hikmah, Buruk Padahnya