Oleh: Mohamad Letfee Ahmad
Dalam kehidupan seharian, perselisihan faham, kesilapan dan konflik merupakan perkara biasa. Hal itu sering berlaku tanpa mengira tempat dan waktu. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
Tanpa mengira kedudukan, sama ada dalam keluarga, persahabatan, alam pekerjaan mahupun masyarakat, seseorang pasti pernah melakukan kesalahan atau menjadi pihak yang terluka akibat tindakan orang lain.
Dalam situasi sedemikian, ucapan “maaf” sering dianggap sebagai jalan untuk meredakan ketegangan.
Namun begitu, adakah dengan sekadar menyebut “saya sedia memohon maaf” atau “saya memohon maaf”, sesuatu masalah benar-benar dapat diselesaikan? Hakikatnya, permohonan maaf memang penting, tetapi ucapan itu sahaja tidak semestinya mampu menyelesaikan masalah.
Pertama sekali, terdapat perbezaan yang ketara antara ungkapan “saya sedia memohon maaf” dengan “saya memohon maaf”.
Ungkapan “saya sedia memohon maaf” menunjukkan kesediaan seseorang untuk meminta maaf, tetapi tidak semestinya bermaksud permohonan maaf itu telah dilakukan. Frasa tersebut seolah-olah menggambarkan bahawa seseorang masih berada pada tahap mempertimbangkan atau bersedia untuk berbuat demikian.
Sebaliknya, “saya memohon maaf” merupakan ungkapan yang lebih jelas kerana individu tersebut secara langsung mengakui kesalahan dan memohon keampunan daripada pihak yang terkesan.
Dari sudut bahasa, perbezaan ini mungkin kelihatan kecil tetapi kesannya terhadap hubungan manusia boleh menjadi besar.
Mari kita bayangkan situasi ini. Katakanlah seseorang telah melakukan kesalahan terhadap rakannya. Jika dia berkata, “Saya sedia memohon maaf jika tindakan saya menyinggung perasaan anda”, kenyataan itu mungkin dianggap kurang ikhlas kerana tanggungjawab terhadap kesalahan masih bersyarat.
Sebaliknya, jika dia berkata, “Saya memohon maaf atas tindakan saya. Saya sedar tindakan tersebut telah menyinggung perasaan anda”, orang yang mendengar permohonan maaf itu lebih mudah melihat adanya kesedaran dan kebertanggungjawaban.
Namun demikian, menyebut “saya memohon maaf” juga bukan jaminan bahawa masalah akan terus selesai.
Permohonan maaf tanpa perubahan tingkah laku akan hanya menjadi kata-kata yang boleh dianggap kosong dan tidak membawa sebarang makna.
Individu yang mendengar seseorang yang berkali-kali mengucapkan “maaf”, tetapi tetap mengulangi kesalahan yang sama, akan hilang kepercayaan terhadap pengucap itu.
Oleh itu, permohonan maaf yang tulus perlu disertai dengan pengakuan ikhlas terhadap kesalahan yang dilakukan.
Individu yang meminta maaf perlu menyedari kesalahan yang telah dilakukannya dan kesannya terhadap orang lain.
Misalnya, daripada hanya berkata, “Maaf kalau anda terasa,” seseorang boleh berkata, “Saya minta maaf kerana kata-kata saya tadi terlalu kasar dan telah melukakan perasaan anda.”
Pernyataan kedua lebih bertanggungjawab kerana individu tersebut bukan sahaja telah mengakui kesalahan menyinggung perasaan mangsa, malah turut mengakui bertanggungjawab melakukan perbuatan berkenaan.
Selain daripada itu, seseorang yang benar-benar ingin menyelesaikan masalah perlu bersedia memperbaiki keadaan. Jika kesalahan itu menyebabkan kerugian, dia harus berusaha untuk menggantikannya. Jika tindakannya menyebabkan seseorang kehilangan kepercayaan, dia perlu membina semula kepercayaan tersebut melalui tindakan yang konsisten.
Dalam konteks pekerjaan, misalnya, seorang pekerja yang melakukan kesilapan mungkin perlu mengakui kesalahan, memohon maaf dan kemudian mengambil langkah untuk memastikan kesilapan tersebut tidak berulang. Tindakan susulan inilah yang menjadikan permohonan maaf lebih bermakna.
Dalam sesetengah keadaan pula, pihak yang menerima permohonan maaf mungkin belum bersedia untuk memaafkan. Perkara ini juga perlu dihormati.
Memohon maaf tidak bermaksud seseorang boleh memaksa pihak lain untuk segera melupakan kesalahan atau menganggap ia tidak terjadi.
Luka emosi memerlukan masa untuk pulih, terutama jika kesalahan tersebut melibatkan pengkhianatan, penghinaan atau kehilangan kepercayaan. Oleh sebab itu, seseorang yang benar-benar ikhlas meminta maaf perlu memberikan ruang kepada pihak yang terluka untuk memproses perasaan mereka agar bersedia menerima permohonan maaf.
Pada masa yang sama, permohonan maaf bukan tiket untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab.
Ada individu yang meminta maaf semata-mata kerana ingin menghentikan pertengkaran atau mengelakkan akibat daripada kesalahan yang dilakukan. Mereka mungkin berkata “Saya dah minta maaf, apa lagi yang kamu mahu?”
Permohonan maaf tidak boleh dianggap sebagai lesen untuk menamatkan konflik, sebaliknya ia hanya langkah awal untuk menyelesaikan masalah. Jangan menganggap bahawa masalah akan selesai hanya dengan satu ungkapan “maaf”.
Penyelesaian masalah memerlukan komunikasi dua hala. Bak kata pepatah, “It takes two to tango”.
Pihak yang bersalah perlu bersedia mendengar reaksi dan perasaan pihak yang terkesan. Mereka tidak seharusnya terus mempertahankan diri atau mencari alasan.
Kadangkala, seseorang tidak memerlukan penjelasan yang panjang, sebaliknya hanya mahu perasaannya diakui dan diterima. Sikap mendengar dengan empati dapat membantu kedua-dua pihak memahami punca konflik dan mencari jalan penyelesaian yang lebih baik.
Jelaslah bahawa perkataan “maaf” bukan sekadar ungkapan, tetapi menjadi tanda keberanian untuk mengakui kesilapan, menghormati perasaan orang lain dan berusaha membina semula hubungan yang telah terjejas.

More Stories
Daripada Buruh Murah ke Ekonomi Digital: Persediaan Rakyat Malaysia Menghadapi Alam Pekerjaan Masa Hadapan
TVET di Mercu Pasaran Kerja: Mengubah Pendidikan, Membina Masa Depan Negara
Proclamation of Independence – 1957 and Today…