Bermula sebagai Pejabat Rekod Awam ketika ditubuhkan pada 1 Disember 1957, Arkib Negara Malaysia (ANM) telah melalui perjalanan yang panjang seiring usia kemerdekaan negara. Salah satu pencapaian terbesarnya ialah projek pendigitalan imej sebagai usaha memelihara khazanah negara.
Hari ini, dengan lebih sebelas juta imej arkib berjaya didigitalkan oleh ANM sehingga hujung tahun lalu, institusi ini membuktikan bahawa pemeliharaan khazanah sejarah bukan sekadar tugas pentadbiran, tetapi satu amanah besar terhadap masa depan negara. Usaha ANM ini dilaksanakan bagi memastikan sejarah negara terus terpelihara, diakses dan difahami oleh generasi kini dan akan datang dalam bentuk yang lebih lestari dan mesra teknologi.
Projek pendigitalan ini telah lama bermula, iaitu seawal tahun 1997 lagi, dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Usaha tersebut melibatkan pelbagai jenis bahan arkib, termasuk fail rasmi kerajaan, bahan audiovisual dan objek yang mempunyai nilai kekal dari sudut sejarah dan perundangan. Projek pendigitalan ini dilaksanakan bagi memastikan kelestarian warisan negara dalam era digital yang kian berkembang pesat.
Bahan audiovisual yang dimiliki oleh ANM merangkumi koleksi rakaman pelbagai peristiwa penting negara, pengkisahan sejarah, wawancara tokoh, konvensyen, bengkel serta seminar yang dirakam dalam pelbagai format seperti gambar, kaset, VHS, piring hitam, CD, DVD dan betacam. Setiap satu daripadanya menyimpan kisah tersendiri tentang perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat. Tanpa proses pendigitalan yang rapi, bahan-bahan ini berisiko rosak dimakan usia atau terjejas akibat faktor persekitaran. Melalui proses pendigitalan bahan daripada format analog kepada digital, bahan sejarah akan lebih mudah diakses oleh rakyat.
Inisiatif yang digerakkan oleh Kementerian Perpaduan Negara menerusi ANM ini memudahkan masyarakat mengakses dokumen dan bahan sejarah dengan lebih mudah dan pantas. Antara medium yang disediakan termasuk portal Online Finding Aid, Pameran Maya, Galeri Maya Negarawan dan segmen Hari Ini Dalam Sejarah. Platform digital ini membolehkan orang ramai mengakses dokumen lama, foto bersejarah dan rakaman penting tanpa perlu hadir secara fizikal ke premis arkib.
Inisiatif ini amat penting dalam konteks masyarakat moden, terutama generasi muda, yang semakin bergantung kepada platform dan teknologi digital untuk mengakses maklumat. Dengan menyediakan akses arkib secara maya, ANM bukan sahaja memelihara sejarah, malah memastikan ia terus relevan dan dekat dengan kehidupan masyarakat masa kini. Sejarah tidak lagi tersimpan secara fizikal semata-mata, tetapi terus terpelihara dalam ruang digital yang boleh dicapai pada bila-bila masa.

Selain pogram pendigitalan, ANM turut melaksanakan pelbagai inisiatif pengembangan bagi mendekatkan sejarah kepada masyarakat. Antara program yang dilaksanakan secara berterusan ialah pameran, forum serta kerjasama pendidikan bersama sekolah dan institusi pengajian tinggi. Inisiatif ini bertujuan menyemai semangat patriotisme, memupuk sikap saling hormat-menghormati dan memperkukuh kefahaman serta muhibah dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
Di samping tu, ANM turut mewujudkan memorial tokoh-tokoh kepemimpinan negara dalam usaha memelihara warisan dan khazanah negara untuk tatapan generasi kini dan akan datang. Antara memorial tersebut ialah Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, Memorial Tun Abdul Razak, Memorial Tun Hussein Onn, Memorial Negarawan, Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Rumah Merdeka, Memorial Tun Abdul Ghafar Baba, Galeria Sri Perdana, Rumah Kelahiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, Pustaka Peringatan P. Ramlee dan Rumah Kelahiran P. Ramlee.
Memorial Tunku Abdul Rahman Putra memberi penghormatan kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selaku Bapa Kemerdekaan, manakala Memorial Tun Abdul Razak dan Memorial Tun Hussein Onn masing-masing memperingati jasa perdana menteri kedua dan ketiga itu dalam membangunkan negara era pascamerdeka. Galeria Sri Perdana pula memaparkan koleksi berkaitan Mahathir Mohamad, sementara Pustaka Peringatan dan Rumah Kelahiran P. Ramlee menyingkap kehidupan serta sumbangan P. Ramlee sebagai seniman agung negara.
Melalui memorial ini, pengunjung berpeluang melihat sendiri koleksi peribadi, dokumen penting dan artifak yang pernah menjadi saksi segala jasa dan sumbangan bakti mereka kepada negara. Pameran sejarah mereka bukan sahaja memberi maklumat, malah menimbulkan rasa penghargaan serta membangkitkan rasa hormat terhadap pengorbanan tokoh terdahulu yang telah meletakkan asas keharmonian dan kemakmuran yang dinikmati oleh rakyat pada hari ini.
Dalam usaha menyemai semangat patriotisme kepada negara dalam kalangan pelajar, ANM turut memperkenalkan Program Arkib@Sekolah yang dilancarkan pada 5 Mei tahun lalu di Sekolah Menengah St. Mary, Sandakan. Program ini yang akan diperluas ke lebih banyak sekolah di seluruh negara pada tahun ini, bertujuan mendekatkan bahan arkib kepada pelajar sekolah agar mereka lebih memahami sejarah negara serta membina jati diri yang kukuh.
Sepanjang pelaksanaannya, pelbagai aktiviti dianjurkan seperti pameran Malaysia Tanah Airku, demonstrasi pemeliharaan bahan arkib, kuiz sejarah, teka silang kata dan aktiviti mengenali tokoh kemerdekaan. Turut diadakan ialah aktiviti berkumpulan seperti Eksplorasi Arkib@Sekolah dan Eksplorasi Negarawan yang memberi peluang kepada pelajar meneroka sejarah secara aktif. Program ini akan menjadikan pembelajaran sejarah sebagai pengalaman yang menarik dan menyeronokkan.
Selain itu, Program Arkib@Komuniti yang dilancarkan di Klang pada 17 Mei tahun lalu juga akan diperluas ke lebih banyak komuniti dan daerah di seluruh negara. Program ini bertujuan menggalakkan pelibatan aktif masyarakat dalam mengesan, mengumpul, mendokumentasi dan memelihara warisan komuniti setempat. Pendekatan dua hala ini diharap dapat menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum untuk bersama-sama menghargai dan memelihara sejarah komuniti mereka.
Usaha tersebut bukan sahaja mampu memelihara khazanah tempatan, malah berpotensi dibangunkan sebagai produk pelancongan pendidikan yang memberi nilai tambah kepada ekonomi setempat. Melalui usaha pendokumentasian sejarah komuniti setempat, identiti dan warisan masyarakat dapat dipelihara dan diperkukuh, di samping menyumbang kepada perpaduan nasional.

More Stories
Thailand’s Land-Bridge Project vs Malaysia’s HSR…
Narsisisme Melayu: Apabila “Aku” Lebih Besar Daripada “Kita”
Akal Budi, Teras Peradaban, Bukan Sekadar Slogan