Oleh Mohamad Letfee Ahmad
Baru-baru ini, Perancang Bahasa di Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Nor Muhamad Mat Zain memaklumkan bahawa DBP sedang merangka beberapa inisiatif strategik bagi memperkasakan potensi dan kepakaran warga kerjanya yang berbakat dalam bidang penulisan sejajar dengan Pelan Strategik DBP 2026-2030.
Inisiatif DBP untuk memperkasakan potensi dan kepakaran warga kerjanya yang berbakat dalam bidang penulisan merupakan satu langkah strategik dalam usaha memastikan kerelevanan institusi itu sebagai pusat pengembangan bahasa dan sastera negara.
Walau bagaimanapun, kejayaan inisiatif ini tidak seharusnya dilihat pada jumlah hasil penulisan semata-mata. Hal yang lebih penting ialah mutu karya serta kesannya kepada masyarakat.
Di samping itu, karya yang dihasilkan mestilah mampu menyumbang kepada perkembangan bahasa Melayu serta berupaya melahirkan penulis yang berwibawa dan berdaya saing.
Dari perspektif pengurusan bakat, inisiatif yang dicadangkan ini mempunyai beberapa kelebihan.
Jika dilaksanakan, inisiatif ini sudah pasti dapat mengembangkan bakat dalaman DBP dalam bidang pengkaryaan.
DBP mempunyai aset intelektual dalam bidang bahasa, sastera, penerbitan dan penyelidikan.
Selain daripada mahir dalam tugas pentadbiran dan pengurusan bahasa, mereka juga berbakat dalam penulisan kreatif, kewartawanan, kritikan sastera, esei, penyelidikan dan penulisan ilmiah.
Dengan kepakaran yang bernilai ini, DBP akan dapat membina kumpulan karyawan dalaman yang mampu menyumbang kepada khazanah ilmu, bahasa dan kesusasteraan negara.
Inisiatif ini mampu membuka ruang untuk bakat tersebut diketengahkan dan berkembang dalam dunia bahasa dan sastera negara.
Membina Budaya Ilmu dan Kreativiti
Program pembangunan penulis ini mempunyai potensi untuk menghasilkan lebih banyak karya berkualiti dalam pelbagai genre untuk diterbitkan dalam bentuk buku, jurnal, esei, artikel dan bahan digital.
Apabila penulisan diiktiraf sebagai sebahagian daripada pembangunan modal insan, warga kerja DBP akan lebih terdorong untuk membuat penyelidikan dan menghasilkan idea baharu.
Kumpulan pakar DBP ini akan lahir sebagai penulis dan pemikir dalam bidang bahasa, budaya, pendidikan, sejarah, teknologi dan isu kemasyarakatan.
Karya yang dihasilkan oleh karyawan tersebut boleh menjadi manifestasi kepakaran DBP.
Justeru, selain daripada tugas hakiki mereka sebagai pengurus bahasa dan penerbitan, mereka akan turut menjadi penyumbang kepada perkembangan wacana intelektual negara.
Cabaran: Mengganggu Tugas Hakiki
Di sebalik segala kelebihan dari segi perkembangan kerjaya, inisiatif ini mungkin akan mendatangkan kesan negatif kepada karyawan DBP yang mempunyai tanggungjawab mengikut jawatan dan bidang tugas masing-masing.
Tugas menulis memerlukan masa yang panjang untuk membuat penyelidikan selain daripada tumpuan menghasilkan karya.
Jika tidak dirancang dengan teliti, aktiviti penulisan mungkin mengganggu tugas hakiki dan menjejaskan produktiviti warga kerja.
Selain daripada bakat semula jadi dan minat yang mendalam, seorang penulis perlu memiliki kreativiti, disiplin yang tinggi serta menguasai bahasa.
Tidak semua orang mempunyai kecenderungan untuk menjadi penulis. Justeru, program ini tidak wajar dilaksanakan secara menyeluruh atau dijadikan ukuran bagi menilai prestasi pekerja.
Bagaimana Mengukur Prestasi?
Kejayaan program tidak boleh diukur berdasarkan jumlah karya yang dihasilkan.
Jika bilangan penerbitan menjadi ukuran, ada kemungkinan karya diterbitkan hanya untuk memenuhi sasaran kuantiti dan mengabaikan aspek kualiti.
Dalam hal ini, DBP perlu memastikan proses penilaian editorial dan kawalan mutu diberi perhatian utama. Piawaian penilaian itu juga mesti sama dengan apa yang diamalkan untuk penulis luar.
Isu lain yang wajar difikirkan ialah bagaimana sumbangan penulisan warga kerja diberikan pengiktirafan.
Satu prosedur operasi standard perlu dirangka sebagai panduan.
Persoalan yang mungkin menggusarkan sebilangan karyawan dalaman ialah sama ada tugas menulis dianggap sebahagian daripada tugas rasmi, sumbangan profesional atau aktiviti tambahan.
Bagi mengekalkan prestasi karyawan, DBP perlu menyediakan sistem insentif, honorarium, pengiktirafan kerjaya dan peluang peningkatan gred perjawatan.
Terdapat juga kemungkinan berlakunya ketidakseimbangan peluang antara kakitangan yang sudah mempunyai kemahiran menulis dengan mereka yang masih baharu.
Jika ini berlaku, sudah pasti penulis baharu akan hilang keyakinan dan rasa terpinggir.
DBP perlu menyediakan kaedah pemilihan yang telus serta memberi lebih banyak peluang kepada penulis baharu untuk berkembang.
Konflik Kepentingan dan Kebebasan Berkarya
Karyawan DBP mungkin berhadapan sekatan tertentu apabila menulis tentang isu dalaman seperti dasar institusi.
Garis panduan mengenai tatacara karya perlu dirangka.
Panduan itu mesti mampu menyatakan dengan jelas perbezaan antara penulisan rasmi DBP dengan karya kreatif yang agak peribadi sifatnya.
Perkara itu penting bagi memastikan prinsip kebebasan berkarya terjamin dan integriti profesional tetap terpelihara.
Cabaran Teknologi Digital
Kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) telah memaksa penulis menguasai kemahiran baharu untuk mengekalkan daya saing.
Penulis mesti melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran penyelidikan digital, pengesahan fakta, penulisan multimedia dan penggunaan AI secara beretika.
Di samping kemahiran menulis dan menyunting naskhah, setiap karyawan mesti melengkapkan diri dengan teknik berfikir secara kritikal agar dapat melahirkan karya atau manuskrip yang memenuhi keperluan industri penerbitan masa hadapan.
Perkara lain yang perlu diberi perhatian dalam program pembangunan karyawan DBP ialah kaedah pelaksanaannya.
Pendekatan yang paling praktikal ialah melihat potensi semua warga kerja sebagai individu tanpa berharap bahawa mereka akan menjadi penulis.
Setiap individu perlu dibangunkan berdasarkan kecenderungan, kepakaran dan potensi mengikut bidang pilihan masing-masing.
Antara bidang yang dikenal pasti ialah penulisan kreatif yang merangkumi genre novel, cerpen, puisi dan drama; penulisan ilmiah (kajian, makalah dan jurnal); penulisan popular (rencana); penulisan digital (kandungan media sosial, blog, portal dan multimedia); kritikan (kritikan sastera, analisis bahasa dan wacana intelektual) dan penulisan profesional (dokumentasi, laporan dan penerbitan institusi).
Memperkasa Ekosistem Kepengarangan
Bagi memperkukuh budaya menulis serta melahirkan lebih ramai penulis yang berkualiti, berwibawa dan berdaya saing dalam kalangan karyawan DBP, beberapa inisiatif strategik perlu dirangka dan dilaksanakan secara terancang dan berterusan.
Program mentor-menti dengan melibatkan penulis mapan, sasterawan, pakar bahasa dan penggiat penulisan berpengalaman sebagai mentor kepada bakat-bakat baharu perlu diwujudkan.
Dengan pendekatan ini, proses pemindahan ilmu, perkongsian pengalaman, bimbingan teknikal serta pemantapan gaya dan mutu penulisan dapat dilaksanakan secara berstruktur.
Cara ini juga dapat melahirkan generasi penulis baharu yang mempunyai identiti, kreativiti dan jati diri serta memiliki wibawa kepengarangan yang kukuh.
Klinik penulisan hendaklah dianjurkan secara berkala berdasarkan bidang kepakaran, kecenderungan dan genre penulisan tertentu seperti puisi, cerpen, novel, drama, esei, kritikan sastera dan penulisan ilmiah.
Klinik ini perlu dikendalikan oleh tenaga pakar yang berpengalaman bagi memberikan bimbingan secara teori dan praktikal dalam aspek penyelidikan, pembangunan idea, penyuntingan, pemurnian manuskrip dan penerbitan karya.
Penganjuran klinik ini bertujuan meningkatkan kompetensi serta profesionalisme penulis secara berterusan.
Bagi menyokong aktiviti penyelidikan, pengembangan idea dan penghasilan manuskrip berkualiti, satu mekanisme pembiayaan khusus melalui geran penulisan perlu diwujudkan.
Penyaluran geran untuk penulis ini berdasarkan cadangan projek, bidang kepakaran, keaslian idea, potensi penerbitan dan sumbangan karya kepada perkembangan ilmu, bahasa dan sastera.
Pembiayaan ini akan menjadi pemangkin kepada penghasilan karya yang lebih bermutu, berimpak tinggi dan mempunyai nilai intelektual.
DBP juga perlu memperuntukkan masa khusus berkarya agar karyawan dapat melaksanakan tugas menulis tanpa menjejaskan tugas hakiki masing-masing.
Satu jadual kerja yang fleksibel dengan peruntukan waktu penulisan atau tempoh khas untuk penyelidikan dan penghasilan manuskrip boleh dipertimbangkan.
Jadual ini penting bagi memastikan aktiviti penulisan dapat dilaksanakan secara lebih fokus, konsisten dan produktif.
DBP juga perlu menimbangkan sistem pengiktirafan dan insentif profesional bagi menghargai sumbangan, pencapaian serta komitmen individu dalam bidang penulisan.
Pada akhirnya, DBP bukan sekadar perlu terus melaksanakan fungsi asalnya dalam membangunkan industri penerbitan, malah ia juga akan menjadi institusi yang melahirkan pemikiran, mencipta wacana dan membangunkan aset intelektualnya

More Stories
Kelestarian Bandar: Antara Pelan Pembangunan dengan Realiti Banjir
Universiti Bukan Kilang Pekerja, Tetapi Medan Membina Bakat Masa Depan
Kesiapsiagaan Malaysia dan Libya Harungi Ketidaktentuan Geopolitik dan Geoekonomi