Oleh Prof. Dr. Ahmad Ismail
Isu kualiti siswazah dan kebolehpasaran mereka terus menjadi perdebatan masyarakat. Setiap kali statistik pengangguran siswazah diumumkan, persoalan yang sama akan dibangkitkan: mengapa ramai siswazah tidak bekerja dalam bidang yang dipelajari? Adakah universiti gagal menyediakan mereka untuk alam pekerjaan? Atau adakah pasaran pekerjaan tidak mampu menawarkan peluang yang sesuai dengan kelayakan mereka? Persoalan ini perlu dijawab secara objektif agar masyarakat tidak terus terperangkap dalam persepsi yang sempit.
Pertama, kita harus memahami bahawa tujuan utama pendidikan universiti bukan sekadar menghasilkan individu yang memperoleh pekerjaan selepas bergraduasi. Universiti diwujudkan untuk membangunkan insan berilmu, berfikiran kritikal, mempunyai nilai kepimpinan, berupaya membuat keputusan serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan dunia.
Dalam era ekonomi yang bergerak pantas, pekerjaan yang wujud hari ini mungkin berubah atau hilang dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Justeru, graduan perlu dibekalkan dengan ilmu, kemahiran dan kebolehan beradaptasi, bukannya hanya dilatih untuk satu pekerjaan tertentu.
Persepsi bahawa siswazah yang bekerja di luar bidang pengajian telah gagal, sebenarnya perlu diperbetulkan. Banyak kemahiran yang dipelajari di universiti bersifat universal dan boleh diaplikasikan dalam pelbagai sektor.
Seorang siswazah biologi mungkin berjaya dalam bidang pengurusan, siswazah kejuruteraan mungkin cemerlang dalam sektor kewangan, manakala siswazah sains sosial boleh menjadi usahawan yang berjaya. Yang penting bukanlah padanan satu-satu antara ijazah dengan pekerjaan, tetapi keupayaan menggunakan ilmu, kemahiran analisis dan pengalaman yang diperoleh untuk menyelesaikan masalah dunia sebenar.
Dalam masa yang sama, kita tidak boleh menafikan bahawa terdapat cabaran dalam pasaran pekerjaan. Ada yang berpendapat peluang pekerjaan di Malaysia terhad. Namun realitinya, negara masih menerima kemasukan tenaga kerja asing bagi sektor tertentu dan ramai juga profesional luar negara yang bekerja secara fizikal atau dalam talian dengan organisasi di Malaysia. Ini menunjukkan peluang pekerjaan sebenarnya wujud, tetapi persaingan semakin sengit dan majikan semakin selektif dalam memilih bakat terbaik.
Oleh itu, persoalan sebenar ialah sama ada siswazah mempunyai ciri-ciri yang dicari oleh industri. Majikan hari ini bukan sekadar menilai keputusan peperiksaan. Mereka mencari individu yang mampu berkomunikasi dengan baik, bekerja dalam pasukan, memimpin projek, menyelesaikan masalah dan menyesuaikan diri dengan teknologi baharu. Kemahiran insaniah menjadi sama penting dengan pencapaian akademik. Dalam keadaan ini, siswazah yang pasif dan hanya mengharapkan sijil akademik semata-mata akan berdepan cabaran yang lebih besar.
Persediaan untuk kerjaya sebenarnya perlu bermula sejak di bangku sekolah. Pelajar perlu dibimbing mengenal pasti minat, bakat dan kecenderungan mereka lebih awal. Apabila memasuki universiti, mereka sepatutnya sudah mempunyai gambaran yang lebih jelas mengenai bidang ilmu yang diminati dan peluang kerjaya yang ingin diceburi. Dengan hala tuju yang jelas, mereka dapat memanfaatkan sepenuhnya pengalaman pembelajaran di universiti.
Hakikatnya, universiti telah menyediakan pelbagai ruang untuk pembangunan bakat. Selain kursus teras dan kursus pilihan, mahasiswa didedahkan kepada aktiviti kokurikulum, latihan industri, khidmat masyarakat, projek penyelidikan, program mobiliti dan aktiviti kepimpinan. Semua ini bertujuan meningkatkan keyakinan diri, pengalaman lapangan dan kemahiran berinteraksi dengan masyarakat. Pengalaman sedemikian sering menjadi nilai tambah yang membezakan siswazah biasa dengan siswazah yang benar-benar bersedia untuk memasuki alam pekerjaan.
Satu lagi pendekatan yang wajar diberi perhatian ialah pendedahan mahasiswa kepada tokoh akademik dan profesional terkemuka. Universiti mempunyai ramai profesor yang diiktiraf pada peringkat global, termasuk kelompok saintis dan sarjana terbaik dunia. Malangnya, kehadiran mereka sering hanya diketahui melalui papan kenyataan atau media sosial. Sudah tiba masanya universiti menjadikan sesi interaksi antara mahasiswa dengan profesor bertaraf dunia sebagai program bulanan di fakulti atau kolej kediaman. Pendedahan secara langsung kepada tokoh-tokoh ini mampu membuka perspektif baharu, membina keyakinan dan menjadi sumber inspirasi kepada mahasiswa dalam merancang masa depan mereka.
Akhirnya, kejayaan siswazah tidak harus diukur semata-mata melalui pekerjaan pertama yang diperoleh selepas tamat pengajian. Ukuran sebenar ialah sejauh mana mereka mampu berkembang, memimpin, menyesuaikan diri dan menyumbang kepada masyarakat sepanjang perjalanan kerjaya. Universiti bukan kilang yang menghasilkan pekerja mengikut tempahan industri, tetapi institusi yang membentuk bakat, pemikiran dan kepimpinan masa depan negara. Jika falsafah ini difahami dengan betul, kita akan melihat siswazah bukan sebagai pencari kerja, tetapi sebagai pencipta peluang dan peneraju perubahan.

More Stories
Kesiapsiagaan Malaysia dan Libya Harungi Ketidaktentuan Geopolitik dan Geoekonomi
Pembangunan Bakat dan Kemahiran Untuk Libya Siapsiaga Tarik Pelaburan
CDM 2024: Construction Safety Must Begin Before the First Worker Arrives