Oktober 11, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Penterjemah Sebagai Penjaga Makna

Oleh:  Mohamad Letfee Ahmad

Bersempena dengan Hari Terjemahan Antarabangsa 2026 yang diraikan pada 30 September lalu,  Persekutuan Penterjemah Antarabangsa (International Federation of Translators – FIT) telah memilih ‘Kepelbagaian Linguistik dan Hak Bahasa’ (Linguistic Diversity and Language Rights) sebagai tema sambutan dan ‘Kuasa untuk Difahami’  (The Power of  Being Understood) sebagai subtema.

Jika dilihat pada situasi semasa industri penterjemahan dunia, tema ini sangat tepat kerana ia membawa perbincangan tentang  persoalan yang lebih besar daripada sekadar menukar bahasa sumber kepada bahasa sasaran.  Dalam konteks ini, tema tersebut memberi penekanan kepada peranan penterjemahan, interpretasi dan terminologi sebagai asas kepada keterangkuman bahasa dan kepelbagaian lingustik serta hak bahasa.

Bahasa adalah sebahagian daripada identiti, budaya, sejarah dan maruah manusia.  Apabila sesuatu bahasa terpinggir, seluruh sistem masyarakat  akan terhapus.  

Kepelbagaian linguistik perlu dilihat sebagai unsur yang memperkaya tamadun masyarakat.  Sebagai contoh, dalam masyarakat berbilang bahasa seperti Malaysia, kewujudan bahasa Melayu bersama-sama bahasa masyarakat lain mencerminkan warisan dan kepelbagaian budaya.

Hak untuk Difahami

Hak bahasa bukan hanya dalam konteks penggunaan sesuatu bahasa.  Hak ini juga menyentuh hak untuk menerima maklumat dan perkhidmatan dalam bahasa yang dapat difahami.

Bayangkan seseorang yang menghadapi kesukaran untuk memahami dokumen penting seperti dokumen mahkamah, arahan perubatan, borang kerajaan atau maklumat kecemasan.  Dalam hal ini, walaupun maklumat itu telah disampaikan, penerima maklumat masih belum mendapat akses kepada maklumat tersebut kerana dia tidak memahaminya.

Di sinilah penterjemahan berperanan sebagai jambatan antara hak yang diiktiraf dengan hak untuk dinikmati.  Jelas bahawa akses kepada maklumat, keadilan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan awam sebagai antara perkara yang berkait dengan hak bahasa.

Peranan penterjemah, jurubahasa dan pakar terminologi dalam ekosistem bahasa sangat penting.  Penterjemah mampu mengurangkan jurang bahasa dengan memudahkan pemahaman terhadap bahasa sumber.  

Namun tugas penterjemah bukan sekadar mencari perkataan yang sama daripada satu bahasa kepada bahasa yang lain.  Mereka perlu juga memahami konteks, budaya, nada, maksud dan kesan sesuatu perkataan.

Satu perkataan mungkin mempunyai makna yang berbeza dan pelbagai mengikut budaya.  Satu istilah undang-undang, sastera, diplomasi, perubatan atau kewartawanan, misalnya, tidak semestinya mempunyai padanan tepat dalam bahasa lain.  Terjemahan yang baik bukan hanya memastikan “apa yang dikatakan” diterjemahkan, tetapi memastikan “apa yang dimaksudkan” turut difahami.

Dalam konteks Malaysia yang berbilang bangsa, bahasa dan budaya, isu bahasa rasmi, bahasa kedua atau bahasa vernakular tidak harus menjadi penghalang kepada sesuatu kaum untuk rasa terpinggir atau kehilangan hak untuk menerima maklumat.  Dalam hal ini, sentimen terhadap taraf sesuatu bahasa perlu dihapuskan.  

Persoalannya, bukan bahasa mana yang lebih penting atau sebaliknya, tetapi, bagaimana kita memastikan kepelbagaian bahasa menjadi jambatan, bukannya tembok pemisah.

Namun demikian, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetap penting kerana ia merupakan bahasa penyatuan.   Pada masa yang sama, bahasa-bahasa lain turut membawa khazanah budaya, kesusasteraan, pemikiran dan warisan komuniti masing-masing.

Penterjemahan membolehkan karya daripada satu bahasa sumber memasuki ruang makna yang lain apabila ia diterjemahkan ke bahasa sasaran.  Dengan itu, sebuah novel, puisi, kajian, cerita rakyat atau pengalaman sesuatu komuniti tidak terkurung dalam pagar budaya sesuatu kaum sahaja.

Penterjemahan menjadi jambatan yang menghubungkan satu baris makna dengan baris makna yang lain.  Apabila seseorang memahami sesuatu melalui hasil penterjemahan, dia bukan sekadar memasuki ruang pemahaman tetapi, yang lebih penting, dia sudah boleh menyertai ruang maklumat dan mengambil bahagian secara aktif.  Hal ini sering kita lihat pada persidangan antarabangsa yang disertai oleh perwakilan daripada pelbagai latar bahasa. 

Apabila sesuatu bahasa diterjemahkan, yang dipindahkan bukan hanya perkataan, malah turut melibatkan pemindahan budaya, pengalaman, pemikiran dan identiti manusia merentasi sempadan bahasa.

Bagaimana pula dengan AI?

Dalam era teknologi digital ini, penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam tugas penterjemahan telah mempercepatkan komunikasi rentas bahasa.  Namun, bukan semua bahasa di dunia ini mempunyai sumber digital yang banyak.  Kemajuan teknologi dilihat tidak setara.  Jurang antara bahasa dominan dengan bahasa pinggiran amat luas.

Tidak dinafikan bahawa AI boleh mempercepat proses penterjemahan, tetapi kelajuan yang tidak terkawal akan menjejaskan mutu terjemahan.  Penterjemahan oleh enjin digital biasanya akan mengabaikan ketepatan makna, konteks dan budaya.

Penggunaan AI dalam penterjemahan turut membabitkan isu etika, privasi dan hak cipta.  Penterjemahan dokumen menggunakan teknologi AI akan mendedahkan maklumat sulit seperti data peribadi, maklumat kewangan, rekod organisasi atau dokumen perniagaan kepada pihak ketiga.  

Oleh itu, proses penterjemahan menggunakan AI mesti dilakukan dengan mengambil kira kawalan keselamatan dan perlindungan data yang sesuai.  

Selain itu, penterjemahan yang dijana oleh AI akan menimbulkan pertikaian mengenai harta intelek dan hak cipta.  Pemain industri seperti penerbit buku, agensi terjemahan, penulis dan penterjemah  memerlukan garis panduan yang jelas supaya penggunaan AI tidak menjejaskan kerahsiaan maklumat, harta intelek, hak cipta dan tanggungjawab profesional.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa AI telah membawa banyak perubahan kepada industri penterjemahan dari segi kecekapan, produktiviti, kos dan kaedah kerja.  Teknologi ini juga telah mengubah ekosistem penterjemahan dengan memperkenalkan kaedah yang lebih inovatif dalam tugas terjemahan.  

Walaupun terdapat kebimbangan bahawa AI akan mengambil alih tugas penterjemah, industri ini masih memerlukan sentuhan manusia kerana hanya kepakaran manusia sahaja yang mampu menghasilkan terjemahan yang cekap, tepat dan sesuai dengan konteks.