Oleh Mohamad Letfee Ahmad
Dalam setiap komunikasi, setiap kata-kata dan ucapan sentiasa diukur, dinilai dan dibandingkan.
Sebagai satu bentuk komunikasi yang menggunakan kata-kata, penulisan boleh menyerlahkan kecerdasan dan kepakaran penulis bagi menyampaikan mesej kepada pembaca.
Namun, ada kalanya penulis terlalu memikirkan bagaimana menjadikan tulisan mereka menarik untuk dibaca sehingga terlupa tujuan mereka menulis.
Pada hakikatnya, penulisan ialah satu pekerjaan yang sangat peribadi.
Dalam esei bertajuk Why I Write (1946), penulis novel satira Animal Farm, George Orwell menulis:
Sejak usia yang sangat muda, mungkin ketika berumur lima atau enam tahun, saya sudah tahu bahawa apabila dewasa kelak, saya akan menjadi seorang penulis. Antara usia kira-kira tujuh belas hingga dua puluh empat tahun, saya cuba melupakan hasrat tersebut. Namun, jauh di sudut hati, saya sedar bahawa tindakan itu seolah-olah bertentangan dengan fitrah diri saya yang sebenar, dan lambat-laun saya tetap perlu menerima hakikat bahawa saya harus menulis buku.
Penulisan bertujuan menyampaikan apa yang ada dalam fikiran, menterjemahkan pemikiran dan berkongsi idea dengan orang lain.
Prinsip asas penulisan ialah untuk meluahkan pemikiran, bukan untuk mengagumkan pembaca.
Penulisan bermula daripada pemikiran yang jujur
Setiap penulisan bermula daripada suatu idea, pemerhatian, persoalan, pengalaman atau emosi.
Ada kalanya, penulisan bermula daripada idea yang telah lama terpendam dalam benak fikiran.
Pada waktu yang lain, ia mungkin satu kesedaran mendadak yang memerlukan perhatian.
Walau apa pun sebabnya, penulisan memberikan peluang kepada penulis untuk merakamkan pemikiran tersebut sebelum ia hilang ditelan kesibukan hidup seharian.
Tujuan menulis bukan semestinya untuk menghasilkan sesuatu yang luar biasa. Sebaliknya, ia sekadar menyampaikan sesuatu yang bermakna.
Seseorang yang menulis tentang kehidupan yang biasa, pengalaman yang sukar, kenangan zaman kanak-kanak atau pengajaran daripada kehidupan, tidak memerlukan bahasa atau kata-kata yang indah untuk meningkatkan nilai tulisan.
Sebuah tulisan yang bernilai mesti menyampaikan mesej yang memberi impak kepada pembaca.
Ayat yang ringkas tetapi menggambarkan perasaan sebenar dan ikhlas boleh menjadi lebih berkesan berbanding perenggan panjang yang dipenuhi kosa kata hebat tetapi tidak mempunyai sebarang isi dan makna.
Penulisan yang baik tidak semestinya perlu menonjolkan kehebatan isi atau kata-kata. Ada kalanya, kekuatan sebenar sesebuah penulisan terletak pada kesederhanaannya.
Malangnya, ramai penulis baharu mendekati dunia penulisan dengan beban yang tidak sepatutnya wujud.
Mereka bimbang bahawa tulisan mereka tidak cukup baik.
Mereka bimbang perbendaharaan kata mereka tidak cukup tinggi.
Mereka bimbang ayat yang mereka bina tidak cukup hebat.
Mereka bimbang pembaca tidak akan menganggap idea mereka bijak.
Bentuk suara sendiri
Terdapat penulis yang mungkin menghabiskan banyak masa cuba menjadi seperti penulis berpengalaman yang mereka kagumi.
Akhirnya mereka kecewa apabila gagal menjadi seperti penulis yang mereka minati itu.
Tekanan seperti ini boleh melumpuhkan kreativiti mereka sendiri.
Sebenarnya mereka tidak perlu menjadi seperti orang lain.
Mereka sepatutnya membentuk identiti mereka sendiri.
Penulis mesti membiarkan idea dan pemikiran mengalir secara semula jadi.
Jangan meragui setiap ayat yang ditulis.
Anda tidak perlu menggantikan perkataan biasa dengan istilah yang lebih rumit, yang anda sendiri tidak fahami.
Anda tidak perlu membina ayat yang terlalu panjang dan cuba menjadikan tulisan anda yang biasa seolah-olah mempunyai makna yang luar biasa.
Akibatnya, penulisan anda tidak kelihatan asli dan sukar untuk difahami.
Ironinya, semakin kuat usaha anda untuk mengagumkan pembaca, semakin tinggi risikonya untuk tulisan anda hilang keasliannya.
Pembaca tidak semestinya mencari kehebatan intelektual. Sebaliknya, mereka lebih mengharapkan sesuatu yang dekat dengan kehidupan, mudah difahami dan mempunyai makna.
Bersederhanalah
Penulisan yang ringkas lebih rendah mutunya daripada penulisan dengan bahasa bombastik adalah tanggapan yang salah.
Sesetengah penulis mengaitkan ayat yang panjang dan kosa kata yang rumit dengan kecerdasan. Tanggapan itu jauh daripada kebenaran.
Kadangkala, penulis hanya perlu menggunakan bahasa yang mudah untuk menjelaskan suatu idea yang rumit.
Penulis yang hebat ialah mereka yang tahu dengan tepat kata-kata yang perlu digunakan dan bila harus berhenti.
Kesederhanaan memberikan ruang kepada idea anda untuk berkembang.
Ia menghilangkan gangguan yang tidak perlu dan mendekatkan pembaca kepada mesej sebenar.
Yakinilah kehebatan suara sendiri
Apabila penulis meluahkan sesuatu melalui tulisan, mesej yang ingin disampaikan akan menjadi lebih jelas jika disampaikan melalui gaya sendiri.
Setiap individu mempunyai perspektif tersendiri dalam menafsir dunia di sekitarnya.
Cara kita menafsir sesuatu peristiwa serta menyampaikan idea dan pemikiran dipengaruhi oleh pengalaman, nilai, personaliti dan perspektif kita sendiri.
Penulisan memberikan peluang kepada kita untuk berkongsi keunikan tersebut.
Namun, apabila penulis terlalu obses untuk mengagumkan orang lain, mereka mungkin mula meniru gaya penulisan yang bukan milik mereka.
Mereka mungkin menggunakan ungkapan yang sedang menjadi trend dengan harapan memperoleh pengiktirafan.
Penulis baharu memang sentiasa digalakkan belajar daripada penulis lain.
Membaca pelbagai karya mendedahkan kita kepada teknik, gaya dan perspektif yang berbeza.
Namun, inspirasi sepatutnya membantu kita membentuk identiti kita sendiri, bukan menggantikannya.
Penulisan yang lahir daripada renungan peribadi yang tulen mempunyai sifat semula jadi. Ia memberikan gambaran bahawa penulis sentiasa berusaha membuktikan sesuatu.
Bina hubungan dengan pembaca
Penulisan memberi kita ruang untuk membina hubungan dengan pembaca.
Sebuah catatan peribadi mungkin boleh mengingatkan pembaca tentang pengalaman yang pernah dilalui.
Tulisan tentang usaha mengatasi kesukaran hidup mungkin memberikan semangat kepada pembaca yang sedang menghadapi cabaran serupa.
Pemerhatian ringkas tentang tingkah laku manusia pula mungkin mendorong pembaca menilai semula prinsip kehidupan yang telah lama dipegangnya.
Hubungan seperti inilah antara perkara yang paling bermakna dalam dunia penulisan.
Namun, penulisan boleh kehilangan tujuan sebenarnya apabila keinginan untuk mendapatkan pengiktirafan menjadi motivasi utama.
Tidak salah untuk mengharapkan pembaca menghargai hasil penulisan kita.
Setiap penulis memang perlu berharap tulisan mereka dapat menyentuh hati dan meninggalkan kesan kepada pembaca.
Pengiktirafan dan maklum balas positif juga boleh memberikan dorongan kepada penulis.
Namun, penghargaan sepatutnya menjadi sesuatu yang dialu-alukan, bukannya matlamat utama.
Penulis perlu mempunyai keinginan untuk menulis secara jujur.
Penulis juga perlu sedar bahawa tidak semua orang akan menerima pandangan kita, menghargai perspektif kita atau menafsir kata-kata kita dengan cara yang sama.
Tanggungjawab seorang penulis adalah untuk menyampaikan sesuatu dengan penuh pertimbangan dan kejujuran, bukannya memuaskan hati semua orang.
Penyuntingan memperbaiki penyampaian
Walau apapun tujuan kita menulis, kita tidak boleh mengabaikan aspek penting penulisan, seperti tatabahasa, struktur, ketepatan atau kepentingan penyuntingan yang baik.
Komunikasi akan memberi lebih impak jika ideanya disampai secara tersusun.
Di sinilah penyuntingan manuskrip memainkan peranan.
Penyuntingan bertujuan menjadikan pemikiran kita lebih mudah difahami, bukannya membuatkan kita kelihatan lebih bijak.
Ia sepatutnya mengukuhkan mesej, bukannya menenggelamkannya di sebalik keindahan kosa kata dan hiasan bahasa yang tidak bermakna.
Sebuah karya yang ditulis dengan baik tidak semestinya mengandungi ungkapan yang rumit atau gambaran yang terlalu indah.
Karya yang baik mesti mampu menyampaikan idea secara tersusun, mengembangkan hujah secara logik dan menggunakan bahasa yang sesuai dengan tujuan penulisannya.
Penulis sememangnya perlu berusaha memperbaiki kemahiran mereka. Mereka perlu memperluas perbendaharaan kata, mempelajari prinsip tatabahasa, mencuba pelbagai gaya penulisan dan menerima kritikan yang membina.
Namun, semua penambahbaikan ini sepatutnya meningkatkan keupayaan mereka untuk berkomunikasi, bukannya menjadikan penulisan satu usaha mengejar kesempurnaan.
Luahkan idea
Penulisan membantu kita menemui apa yang sebenarnya kita fikirkan.
Selepas ini, apabila anda duduk untuk menulis, ingatlah bahawa anda tidak mengharapkan sebarang pengiktirafan.
Anda hanya ingin menyampaikan pemikiran dengan sejelas dan seikhlas mungkin.
Biarkan kata-kata anda mencerminkan pemahaman, pengalaman dan perspektif anda sendiri.
Menulislah kerana anda mempunyai sesuatu untuk disampaikan.
Menulislah kerana ada idea yang wajar diterokai.
Menulislah untuk meluahkan idea, bukan untuk mengagumkan sesiapa.
— TAMAT —

More Stories
The Making of PETRONAS
Malaysia Kaya dengan Bangunan, tetapi Miskin dengan Penyelenggaraan
Jangan Jadikan Kitab Tasawuf Pintu Belakang Mengubah Akidah Umat