Oleh: Mohamad Letfee Ahmad
Setiap kali menjelang Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, kita mula melihat Jalur Gemilang berkibar di mana-mana.
Tiang lampu, premis perniagaan, bangunan pejabat kerajaan dan swasta, sekolah, kenderaan dan rumah kediaman dihiasi bendera dengan warna merah, putih, biru dan kuning, menjadi wajah negara yang paling mudah dikenali.
Kita kibarkan bendera itu sambil melaungkan “Merdeka!” sambil menyanyikan lagu patriotik. Media sosial pula dipenuhi hantaran bertemakan kemerdekaan.
Namun, di sebalik kemeriahan itu, ada satu perkara yang semakin kerap berlaku dan tidak wajar kita anggap sebagai perkara kecil – Jalur Gemilang dipasang terbalik, dicetak dengan jumlah bucu bintang yang salah, dipaparkan tanpa bulan dan bintang, atau direka bentuk sesuka hati sehingga lari daripada rupa asalnya.
Di sebalik persoalan “siapa yang tersalah pasang bendera?”, apakah sebenarnya yang kita faham tentang semangat kenegaraan?
Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain yang dicelup dengan empat warna untuk memeriahkan suasana hari kebesaran negara. Ia adalah lambang sebuah negara yang lahir daripada sejarah, perjuangan, pengorbanan dan kesepakatan rakyatnya memperjuangkan kemerdekaan.
Sikap sambil lewa terhadap lambang kemegahan negara menunjukkan sejauh mana kesedaran kita terhadap nilai kemederkaan dan jati diri seorang warga.
Memang benar, tidak semua kesilapan terhadap bendera berlaku dengan niat untuk menghina negara. Ada yang berpunca daripada kecuaian, kurang kepekaan, dan mungkin ada yang terlalu mengejar masa, maka aspek ketepatan tidak diberi perhatian.
Tetapi persoalannya ialah, mengapa kesilapan yang sama terus berulang saban tahun?
Kemeriahan sambutan tiada kaitan dengan semangat patriotisme. Kecintaan kepada negara tidak boleh dilihat pada jumlah bendera dikibar.
Hakikatnya, tahap patriotisme bukan diukur berdasarkan aspek fizikal dan luaran semata-mata. Tahap patriotisme merangkumi semua aspek, daripada fizikal, melalui kibaran bendera dan nyanyian lagu patriotik, sehingga semangat spiritual yang melahirkan rasa cinta nan luhur kepada tanah air.
Apa guna memasang ribuan bendera tetapi masih tidak menghormati undang-undang?
Apa guna memakai pakaian bertemakan Malaysia tetapi masih membuang sampah merata-rata?
Apa guna menyanyikan lagu patriotik dengan penuh semangat tetapi pada masa yang sama menyebarkan fitnah dan kebencian terhadap rakyat yang berbeza kaum atau agama?
Apa guna melaungkan “Malaysia Boleh!” tetapi tidak boleh menerima perbezaan pandangan sesama kita?
Kesalahan memasang bendera secara terbalik kerana tidak sengaja atau tanpa sedar, bukan masalah seorang individu pelaku semata-mata.
Jika sebuah syarikat melakukan kesalahan mencetak bendera dengan reka bentuk yang tidak betul, kita bukan sahaja perlu mencari pihak yang cuai, tetapi kita perlu juga menilai mengapa proses semakan begitu lemah.
Jika penganjur majlis melakukan kesalahan memasang bendera dengan cara yang tidak betul, lebih banyak persoalan perlu ditimbulkan kerana pihak yang menganjurkan majlis itu sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat.
Patriotisme tanpa ilmu akhirnya menjadi kosmetik yang hanya mencantikkan wajah tetapi tidak memberi sebarang nilai kepada diri.
31 Ogos bukan sekadar Hari Kebangsaan, 16 September bukan sekadar Hari Malaysia.
Tarikh-tarikh itu mempunyai makna yang lebih besar dalam pembinaan sebuah negara. Tarikh-tarikh itu menjadi asas sejarah pembentukan negara dengan segala kepelbagaian yang menjadi asas komposisi masyarakatnya.
Kemerdekaan bukan hadiah yang jatuh dari langit, sebaliknya ia lahir daripada semangat anak bangsa yang mahu bebas daripada belenggu penjajahan fizikal dan minda. Ini yang perlu difahami oleh generasi muda.
Anak-anak muda perlu memahami hubungan antara simbol negara dengan tanggungjawab sebagai warganegara, bukan sekadar menghafal maksud warna pada bendera, tarikh kemerdekaan atau nama-nama tokoh pejuang negara.
Setiap kali kita mengibarkan Jalur Gemilang, fikirkanlah tanggungjawab yang perlu kita galas sebagai pewaris negara.
Tidak lengkap menghormati Jalur Gemilang jika kita tidak menghormati sesama rakyat. Tidak sempurna mengagungkan kemerdekaan jika kita sendiri tidak mahu bertanggungjawab terhadap negara. Tiada ertinya berbangga menjadi rakyat Malaysia jika kita tidak mahu menjaga keharmonian yang diwariskan kepada kita.
Dalam membicarakan soal kesalahan terhadap bendera negara, janganlah mengambil kesempatan dengan menjadikan setiap kesilapan sebagai alasan untuk menghukum dan mengaibkan.
Janganlah menjadikan media sosial sebagai pentas untuk mengecam tanpa menyediakan ruang untuk memperbaiki keadaan.
Berhati-hatilah ketika menegur. Teguran ada caranya. Teguran yang berhemah dan bersifat mendidik lebih bernilai daripada luahan emosi.
Jika tersalah, ajarkan. Jika tercuai, ingatkan. Namun, lakukanlah dengan penuh hemah. Jangan wujudkan gelanggang baharu untuk bertelagah. Jangan cuba membandingkan siapa lebih bersikap patriotik.
Patriotisme bukan hak eksklusif satu kelompok kaum. Jalur Gemilang bukan milik satu kaum, satu agama atau satu generasi. Jalur Gemilang adalah milik kita semua.
Jadikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sebagai ruang untuk kita mencari titik persamaan.
Dalam sebuah negara yang berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya, semangat kenegaraan bukan sekadar slogan untuk digunakan ketika perarakan sahaja. Semangat kenegaraan ialah jambatan yang menyatukan kita.
Menjelang Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, marilah kita jadikan Jalur Gemilang sebagai simbol jalinan perpaduan bangsa Malaysia yang bermaruah.

More Stories
Syaitan Menyerang dari Empat Arah: Mengapa Imam al-Ghazali Mengajar Kita Melawan dengan Syukur?
Bila Hati Terlalu Bising: Belajar Mendengar di Zaman Serba Dipertontonkan
Kemerdekaan Bukan Rundingan Antara Kaum: Memahami Peranan Raja-Raja Melayu, British Dan Perkembangan Perlembagaan