Oktober 8, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

MPM akan wujudkan Gerakan Merekayasa Rukun Negara

Oleh Sdr Samsudin Awang, KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu (MPM) akan mewujudkan Gerakan Merekayasa Rukun…

Oleh: Samsudin Awang

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu (MPM) akan mewujudkan Gerakan Merekayasa Rukun Negara (GMRN) sebagai gerakan nasional untuk membantu kerajaan merekayasa usahanya yang sekian lama mendidik rakyat agar menghayati dan memperkasakan prinsip Rukun Negara sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penubuhan GMRN juga adalah sebagai menyahut titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menegaskan bahawa “individu tidak mahu ikut prinsip Rukun Negara tidak layak digelar warganegara”.

Begitu juga dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan supaya ahli politik Wong Siew Ki dan Ronnie Liu agar menghayati makna sebenar Rukun Negara sebelum mereka membuat sebarang kenyataan berkaitan penternakan babi di Negeri Selangor.

Pasukan pemikir MPM bakal memulakan gerak kerja GMRN dalam masa terdekat ini memandangkan isu kebiadaban pihak tertentu terhadap prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan semakin meruncing ketika ini sehingga tahap memaksa pihak istana sendiri mengeluarkan titah amaran.

Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hasan Mad bercakap pada Majlis Sembang Santai MPM 2026.

Ia bukan sahaja memberi gambaran tidak baik kepada generasi muda rakyat Malaysia, malahan turut memberi persepsi negatif oleh negara jiran seperti Indonesia dan Singapura terhadap perpaduan rakyat Malaysia ketika ini.

Tambahan pula, perbandingan semangat patrotisme dalam kalangan rakyat Singapura terhadap Singapore National Pledge dan rakyat Indonesia terhadap Falsafah Pancasila mendapati mereka jauh lebih menghayatinya dan menterjemahkannya dalam kehidupan berbanding penghayatan rakyat Malaysia terhadap prinsip Rukun Negara.

Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hasan Mad berkata, GMRN akan dianggotai pemikir-pemikir intelektual Melayu dari kalangan ahli profesional dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, undang-undang, ekonomi, keagamaan, geopolitik, kenegaraan, keselamatan dan ketenteraan.

“Objektif utama adalah untuk merekayasa dan memperkasakan semula penghayatan rakyat dan kerajaan terhadap lima prinsip Rukun Negara yang dilihat sudah semakin diabaikan selepas lebih 50 tahun ia diwujudkan.

“Ia jelas dapat dilihat melalui pencabulan terhadap semangat perpaduan pelbagai kaum serta hilangnya rasa hormat terhadap institusi Raja Melayu”, katanya.

Beliau menambah, ketika ini, prinsip Rukun Negara hanya terpampang sebagai slogan atau hiasan patriotik di sekolah-sekolah dan juga sebagai lafaz ikrar untuk kakitangan kerajaan.

Namun, katanya lagi, ia bertahap kosmetik sahaja tanpa ada sebarang impak yang mendalam dalam jiwa rakyat dan pemimpin.

“Walaupun kerajaan mempunyai kementerian yang khusus untuk melaksana tanggungjawab Rukun Negara iaitu Kementerian Perpaduan Negara, namun sehingga kini masih belum kelihatan impaknya terhadap rakyat kerana kadar jenayah berkaitan hantaran jelik terhadap Raja-raja Melayu, terus meningkat.

“Begitu juga dengan kes membabitkan perpaduan kaum sehingga ada kaum tertentu yang dengan sewenangnya menceroboh tanah kerajaan untuk membina kuil haram tanpa rasa bersalah dan menghormati kaum lain khususnya masyarakat Islam,” katanya.

Beliau menjelaskan perkara tersebut pada program Majlis Sembang Santai MPM 2026 yang diadakan di Wisma MPM Kuala Lumpur.

Majlis itu dihadiri 46 tokoh pemikir Melayu yang berkongsi pandangan untuk memperkasakan Rukun Negara dan pada masa sama melindungi hak keistimewaan orang melayu sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kesemua tokoh yang hadir bersetuju untuk melaksanakan program GMRN tersebut melalui pendekatan terhadap generasi muda melalui teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) dan interaksi media sosial seperti TikTok.

Sesi sembang intelektual berkenaan dikendalikan oleh Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman bersama Mejar Jeneral (B) Datuk Yusri Anwar manakala pengerusi program adalah Datuk Salamon Selamat selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemandu MPM.

Dapatan daripada sesi berkenaan akan dikemukakan kepada kerajaan dalam masa terdekat ini sebelum MPM memulakan gerak kerja melalui aktiviti pada peringkat pendidikan murid sekolah, kesedaran awam dan analisis intelektual pada peringkat institusi pengajian tinggi awam.