Ogos 22, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Membumikan Rukun Negara: Daripada Ikrar kepada Jiwa dan Benteng Negara

Rukun Negara tidak cukup sekadar dihafal. Ia mesti difikirkan, dihayati, diamalkan dan akhirnya menjadi budaya kehidupan rakyat Malaysia.

Lebih lima dekad selepas Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970, sudah tiba masanya kita bertanya dengan jujur, sejauh manakah lima prinsip yang kita lafazkan itu benar-benar hidup dalam jiwa rakyat?

Kita mengenali lima prinsipnya, Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan. Tetapi Rukun Negara sebenarnya lebih besar daripada lima baris yang sering dibaca ketika perhimpunan.

Bahagian awal Rukun Negara sendiri menggariskan cita-cita untuk mencapai perpaduan yang lebih erat, memelihara cara hidup demokratik, mewujudkan masyarakat yang adil, bersikap liberal terhadap kepelbagaian tradisi kebudayaan dan membina masyarakat progresif berasaskan sains serta teknologi.

Maknanya, Rukun Negara ialah falsafah pembinaan negara.

Persoalannya sekarang bukan sama ada rakyat boleh menghafalnya.

Persoalannya ialah sama ada kita mampu membumikannya.

Kekuatan Negara Bukan Tentera Semata-mata

Apabila kita bercakap mengenai keselamatan negara, pemikiran kita biasanya segera tertumpu kepada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, aset pertahanan, sempadan, kapal perang, pesawat tempur dan keupayaan perisikan.

Semua itu penting.

Namun sebuah negara tidak akan menjadi kuat hanya kerana mempunyai tentera yang kuat.

Negara juga memerlukan rakyat yang mempunyai jiwa yang kuat.

Apakah gunanya mempunyai sistem pertahanan yang canggih sekiranya rakyatnya saling mencurigai?

Apakah gunanya sempadan negara dikawal ketat sekiranya masyarakat di dalamnya berpecah mengikut kaum, agama, kelas sosial dan fahaman politik?

Apakah ertinya memiliki kedaulatan wilayah sekiranya generasi muda semakin hilang rasa memiliki terhadap negara sendiri?

Ancaman kepada sesebuah negara pada abad ke-21 bukan sahaja datang dalam bentuk peluru dan kereta kebal. Ia juga datang melalui berita palsu, manipulasi digital, politik kebencian, ekstremisme, ketegangan kaum, hilangnya kepercayaan kepada institusi serta perang psikologi yang mampu memecahkan masyarakat dari dalam.

Sebab itulah kita perlu melihat Rukun Negara sebagai sebahagian daripada social defence atau pertahanan sosial Malaysia.

Singapura, misalnya, tidak melihat pertahanan sebagai urusan tentera semata-mata. Kerangka Total Defence mereka kini merangkumi pertahanan ketenteraan, awam, ekonomi, sosial, digital dan psikologi. National Service pula bukan hanya membina keupayaan ketenteraan, tetapi turut dikaitkan dengan pembentukan identiti nasional dan hubungan antara rakyat daripada latar belakang berbeza.

Malaysia tidak semestinya meniru Singapura.

Tetapi kita harus memahami prinsipnya:

mempertahankan negara adalah tanggung jawab seluruh masyarakat.

Dalam konteks Malaysia, Rukun Negara sepatutnya menjadi antara tiang utama pertahanan sosial dan psikologi kita.

Titah Yang di-Pertuan Agong Harus Menjadi Wake-Up Call

Pada 1 Jun 2026, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memberikan peringatan yang sangat jelas mengenai kedudukan Rukun Negara.

Baginda bertitah bahawa mereka yang tidak mahu mengikuti prinsip Rukun Negara tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia. Lebih penting, Baginda menyeru supaya Rukun Negara dijadikan amalan dan garis panduan kehidupan rakyat, bukan sekadar sesuatu yang dilafazkan.

Titah ini harus menjadi wake-up call kepada kita semua.

Selepas lebih 50 tahun, mungkin masalah kita bukan kekurangan program.

Kita mempunyai kempen.

Kita mempunyai seminar.

Kita mempunyai sambutan.

Kita mempunyai poster.

Kita mempunyai Kelab Rukun Negara di sekolah dan Sekretariat Rukun Negara di institusi pengajian tinggi. Malah sistem sedia ada sudah menekankan pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan pengamalan Rukun Negara.

Tetapi persoalannya ialah: apakah impaknya?

Jika selepas puluhan tahun rakyat masih mudah dipisahkan melalui isu kaum dan agama, maka kita perlu berani menilai semula kaedah pelaksanaannya.

Kita tidak boleh terus mengukur kejayaan dengan berapa banyak seminar dianjurkan, berapa ramai peserta hadir atau berapa banyak poster dicetak.

Kita mesti mengukur perubahan manusia.

Adakah toleransi meningkat?

Adakah interaksi antara kaum meningkat?

Adakah kefahaman Perlembagaan bertambah?

Adakah rakyat lebih menghormati undang-undang?

Adakah bahasa politik kita semakin beradab?

Adakah generasi muda mempunyai rasa kepunyaan yang lebih kuat terhadap Malaysia?

Itulah KPI sebenar Rukun Negara.

Belajar daripada Pancasila Indonesia

Kita juga boleh melihat pengalaman Indonesia.

Rukun Negara dan Pancasila lahir daripada sejarah yang berbeza, tetapi kedua-duanya mempunyai tujuan besar yang hampir serupa, menyediakan asas nilai kepada sebuah negara majmuk.

Apa yang menarik ialah Pancasila terus menjadi bahan pemikiran, penyelidikan dan perbahasan intelektual.

Pada September 2024, misalnya, Kongres Pancasila XII berlangsung di Universitas Gadjah Mada dengan perbincangan mengenai konsep republik, moral, etika dan bagaimana Pancasila diterjemahkan dalam penyelenggaraan negara. Ia bukan sekadar majlis membaca lima sila, tetapi ruang membahaskan bagaimana falsafah negara harus berfungsi dalam realiti semasa.

Di sinilah Malaysia boleh belajar sesuatu.

Ideologi atau falsafah negara mesti terus difikirkan.

Rukun Negara tidak boleh dibekukan pada tahun 1970.

Kita perlu bertanya bagaimana Kedaulatan Undang-undang berfungsi dalam zaman kecerdasan buatan.

Bagaimana Kesopanan dan Kesusilaan diterapkan dalam media sosial.

Bagaimana Kesetiaan kepada Raja dan Negara difahami oleh generasi global yang bekerja merentas sempadan.

Bagaimana Keluhuran Perlembagaan diterangkan kepada seorang remaja berusia 16 tahun.

Dan bagaimana Kepercayaan kepada Tuhan diterjemahkan kepada masyarakat berbilang agama tanpa menjadikan agama sebagai sumber persengketaan.

Inilah maksud membumikan Rukun Negara.

Polisi Tidak Boleh Bertukar Setiap Kali Menteri Bertukar

Salah satu masalah pembangunan negara ialah terlalu banyak dasar bergantung kepada individu.

Menteri bertukar, penekanan berubah.

Kerajaan bertukar, slogan bertukar.

Pentadbiran bertukar, keutamaan bertukar.

Sedangkan pembinaan bangsa memerlukan masa puluhan tahun.

Rukun Negara tidak boleh menjadi projek seorang menteri atau sebuah kementerian.

Ia mesti menjadi agenda negara merentas kerajaan dan generasi.

Kerana Rukun Negara bukan milik kerajaan.

Rukun Negara milik Malaysia.

Sebab itulah kita memerlukan suatu ekosistem pelaksanaan Rukun Negara yang mempunyai kesinambungan institusi, ukuran impak dan penyertaan seluruh masyarakat.

Jangan Jadikan Sekolah Vernakular Pulau Budaya

Perdebatan mengenai sekolah vernakular juga perlu dilihat daripada sudut yang lebih matang.

Saya tidak berpandangan bahawa anak-anak Melayu perlu dihalang daripada memasuki sekolah vernakular.

Sebaliknya, kita perlu memastikan budaya kebangsaan dan Rukun Negara hadir dengan lebih kuat di semua aliran sekolah.

Anak Melayu yang belajar di SJKC tidak seharusnya kehilangan jati dirinya.

Anak Cina yang belajar di sekolah kebangsaan tidak seharusnya kehilangan warisan budayanya.

Anak India yang berada di SJKT tidak seharusnya merasa dirinya berada di pinggir identiti nasional.

Kita tidak perlu menghapuskan kepelbagaian untuk melahirkan perpaduan.

Yang perlu kita bina ialah akar kebangsaan yang sama di tengah-tengah kepelbagaian itu.

Bahasa, budaya dan tradisi boleh berbeza, tetapi pada akhirnya mereka mesti melihat diri mereka sebagai rakyat Malaysia yang berkongsi negara, Perlembagaan, institusi dan masa depan yang sama.

Rukun Negara harus masuk ke semua sekolah bukan sebagai hafalan tambahan, tetapi melalui pengalaman, projek silang budaya, perkhidmatan masyarakat, sejarah tempatan, debat Perlembagaan, lawatan institusi negara, program bersama sekolah berlainan aliran dan kegiatan kemasyarakatan.

Dasar kokurikulum negara sendiri sebenarnya sudah menyediakan ruang untuk aktiviti yang memperkukuh perpaduan, ketatanegaraan, kerja masyarakat dan nilai murni.

Yang diperlukan ialah memperhebat dan mengukurnya.

Daripada Program Bermusim kepada Pembudayaan

Jika kita benar-benar mahu membumikan Rukun Negara, saya mencadangkan beberapa langkah yang lebih struktural:

  1. Menubuhkan Majlis Rukun Negara sebagai badan strategik nasional yang memantau penghayatan Rukun Negara merentas kementerian, sekolah, universiti, sektor korporat dan masyarakat.
  2. Mengadakan Hari Rukun Negara sebagai hari penghayatan nasional, bukan sekadar membaca ikrar, tetapi melakukan aktiviti silang budaya, khidmat masyarakat, dialog generasi dan program kenegaraan di seluruh negara.
  3. Memperkukuh Kelab Rukun Negara dan Sekretariat Rukun Negara yang sudah wujud dengan modul experiential, bukannya aktiviti bersifat seremonial semata-mata.
  4. Mewujudkan Indeks Penghayatan Rukun Negara bagi mengukur tahap kepercayaan antara kaum, kefahaman Perlembagaan, identiti nasional, kesukarelawanan, toleransi dan rasa kepunyaan kepada negara.
  5. Mengadakan Kongres Rukun Negara secara berkala, melibatkan universiti secara bergilir-gilir, sebagaimana Pancasila terus dibincangkan dalam dunia akademik Indonesia. Setiap prinsip Rukun Negara harus menjadi bahan penyelidikan, perbahasan dan pengembangan pemikiran.
  6. Menjadikan Rukun Negara sebahagian daripada pertahanan sosial negara, termasuk pendidikan menghadapi disinformasi, ekstremisme, provokasi perkauman, ancaman digital dan peperangan psikologi.
  7. Membawa penghayatan Rukun Negara ke tempat kerja dan komuniti, termasuk perkhidmatan awam, GLC, syarikat swasta, persatuan penduduk, NGO dan badan profesional. Pembinaan bangsa tidak berhenti selepas seseorang meninggalkan sekolah.
  8. Mengukur impak, bukan jumlah program. Peruntukan kerajaan mesti dikaitkan kepada hasil, perubahan sikap, peningkatan interaksi antara komuniti dan pengukuhan identiti nasional.

Inilah ekosistem yang kita perlukan.

Kesetiaan kepada Raja dan Negara Bukan Kesetiaan Membuta Tuli

Prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara juga perlu difahami bersama-sama dengan dua prinsip selepasnya, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.

Ketiga-tiganya tidak boleh dipisahkan.

Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan.

Maka kesetiaan kepada Raja berjalan bersama penghormatan terhadap Perlembagaan, sementara institusi-institusi negara sendiri berfungsi dalam kerangka Perlembagaan dan undang-undang.

Itulah keindahan Rukun Negara.

Ia tidak meminta rakyat memilih antara institusi Raja, Perlembagaan atau undang-undang.

Sebaliknya semuanya saling menguatkan.

Raja menjadi payung negara.

Perlembagaan menjadi kerangka negara.

Undang-undang menjaga tertib negara.

Dan rakyat menjadi jiwa kepada negara.

Pemimpin Juga Mesti Menghayati Rukun Negara

Kita juga tidak boleh meminta rakyat mengamalkan Rukun Negara sedangkan pemimpin sendiri setiap hari bertikam lidah, menghina, memprovokasi dan mempermainkan isu kaum, agama serta institusi Raja untuk mendapatkan sokongan politik.

Rukun Negara bukan hanya untuk murid sekolah.

Ia juga untuk Ahli Parlimen.

Ia untuk menteri.

Ia untuk penjawat awam.

Ia untuk ahli perniagaan.

Ia untuk tokoh masyarakat.

Ia untuk semua yang memegang pengaruh dan kuasa.

Yang di-Pertuan Agong sendiri pada Jun 2026 mengingatkan pemimpin politik supaya menjaga adab dan tutur kata serta mengelakkan provokasi mengenai isu sensitif berkaitan raja, bangsa dan agama.

MUBARAK sebagai wadah bekas wakil rakyat juga mempunyai ruang besar untuk memainkan peranan moral, menasihati generasi pemimpin hari ini supaya perbezaan politik tidak berubah menjadi permusuhan yang merosakkan negara.

Kita boleh berbeza parti.

Kita boleh berbeza pandangan.

Kita boleh berdebat dengan keras.

Tetapi apabila kepentingan negara dipertaruhkan, mesti ada satu garis yang tidak kita langgar.

Itulah akal budi bernegara.

Rukun Negara Sebagai Benteng Negara

Israel mempunyai pengalaman komuniti kibbutz yang sejak awal dibangunkan berasaskan kehidupan komuniti, tanggungjawab bersama dan solidariti sosial, walaupun bentuknya telah banyak berubah mengikut zaman.

Singapura mempunyai National Service dan Total Defence.

Indonesia membangunkan Pancasila sebagai falsafah negara dan terus membahaskannya melalui institusi akademik.

Malaysia mempunyai sesuatu yang sebenarnya sangat bernilai:

Rukun Negara.

Masalahnya bukan kita tidak mempunyai falsafah negara.

Masalahnya ialah kita belum cukup bersungguh-sungguh menghidupkannya.

Rukun Negara sepatutnya menjadi soft defence Malaysia, benteng yang hidup dalam pemikiran rakyat sebelum negara memerlukan benteng fizikalnya.

Kerana tentera boleh mempertahankan sempadan.

Polis boleh mempertahankan keamanan.

Undang-undang boleh menghukum pelanggaran.

Tetapi hanya rakyat yang mempunyai jati diri, akal budi dan rasa kepunyaan mampu mempertahankan jiwa sebuah negara.

Dari Hafalan kepada Kehidupan

Sudah tiba masanya kita berhenti menganggap kejayaan Rukun Negara berlaku apabila seluruh dewan mampu membacanya dengan lancar.

Itu baru permulaan.

Kejayaan sebenar ialah apabila seorang rakyat menghormati jirannya yang berlainan agama kerana Kesopanan dan Kesusilaan.

Apabila seorang pemimpin tidak menyalahgunakan kuasa kerana memahami Kedaulatan Undang-undang.

Apabila rakyat mempertahankan Perlembagaan walaupun sesuatu keputusan tidak memihak kepada kelompoknya kerana memahami Keluhuran Perlembagaan.

Apabila kita mempertahankan institusi Raja sebagai sebahagian daripada sistem Raja Berperlembagaan kerana memahami Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Dan apabila nilai ketuhanan membentuk manusia yang amanah, adil dan berakhlak melalui Kepercayaan kepada Tuhan.

Ketika itulah Rukun Negara tidak lagi berada pada dinding sekolah.

Ia berada dalam jiwa manusia.

Malaysia sedang memasuki zaman yang jauh lebih mencabar. Perang masa depan mungkin tidak bermula dengan tembakan. Ia mungkin bermula dengan satu video palsu, satu fitnah, satu provokasi kaum atau satu naratif yang berjaya memecahkan kepercayaan sesama rakyat.

Apabila rakyat telah berpecah, musuh tidak lagi perlu memecahkan negara dari luar.

Kerana itu tugas tersebut telah kita lakukan sendiri dari dalam.

Sebab itulah usaha Membumikan Rukun Negara bukan program sampingan.

Ia adalah agenda keselamatan negara.

Ia adalah agenda pendidikan.

Ia adalah agenda pembinaan bangsa.

Ia adalah agenda survival Malaysia.

Rukun Negara bukan sekadar ikrar.

Rukun Negara ialah benteng negara.

Bukan untuk dihafal semata-mata.

Tetapi untuk difikirkan, dihayati, diperbudayakan dan dijadikan cara hidup seluruh rakyat Malaysia.