Rukun Negara perlu dibina semula sebagai semangat hidup bangsa , bukan sekadar lafaz, slogan atau ritual kenegaraan.
Malaysia sudah mempunyai satu falsafah kebangsaan yang cukup besar untuk menjadi asas pembinaan sebuah negara majmuk. Kita tidak perlu mencipta ideologi baharu. Kita sudah mempunyai Rukun Negara.
Persoalannya, selepas lebih setengah abad, sejauh manakah Rukun Negara benar-benar hidup dalam pemikiran, tindakan dan budaya rakyat Malaysia?
Kita boleh menghafal,
- Kepercayaan kepada Tuhan.
- Kesetiaan kepada Raja dan Negara.
- Keluhuran Perlembagaan.
- Kedaulatan Undang-undang.
- Kesopanan dan Kesusilaan.
Tetapi menghafal belum tentu memahami.
Memahami pula belum tentu menghayati.
Dan menghayati belum tentu membudayakan.
Di sinilah letaknya cabaran terbesar kita.

Rukun Negara tanpa akal untuk memikirkannya dan tanpa budi untuk menghayatinya hanya akan menjadi sesuatu yang kaku.
Ia mungkin dilafazkan dalam perhimpunan sekolah, dicetak pada dinding pejabat kerajaan dan disebut dalam ucapan rasmi, tetapi tidak semestinya mempengaruhi keputusan yang kita buat, bahasa yang kita gunakan, cara kita menghormati perbezaan ataupun bagaimana kita melihat diri kita sebagai warganegara Malaysia.
Akal Memberikan Makna, Budi Menghidupkan Nilai
Rukun Negara tidak seharusnya diajar sebagai lima ayat yang mesti diterima tanpa berfikir.
Ideologi kebangsaan harus difikirkan.
Generasi muda perlu diberikan ruang untuk bertanya, Mengapa kita percaya kepada Tuhan? Apakah makna kesetiaan kepada Raja dan Negara dalam sebuah demokrasi berperlembagaan? Mengapa Perlembagaan perlu dimuliakan? Mengapa undang-undang mesti berdaulat terhadap semua orang? Apakah hubungan antara kesopanan dengan kestabilan masyarakat?
Apabila pertanyaan seperti ini dibenarkan, barulah Rukun Negara memasuki wilayah akal.
Kemudian datang budi.
Budi menjadikan pengetahuan itu perangai. Budi melahirkan adab, timbang rasa, kesederhanaan, malu melakukan kezaliman, menghormati orang lain dan kesedaran bahawa kebebasan kita mempunyai batas apabila ia mula merosakkan kehidupan orang lain.
Akal tanpa budi boleh melahirkan manusia yang pintar tetapi tidak beradab.
Budi tanpa akal pula boleh menjadikan seseorang baik tetapi mudah dimanipulasi.
Negara memerlukan kedua-duanya, akal dan budi.
Inilah yang perlu menjadi roh baharu Rukun Negara.
Defisit Jati Diri Lebih Berbahaya Daripada Defisit Ekonomi
Kita sering bercakap mengenai defisit fiskal, defisit perdagangan, kekurangan pekerja mahir dan kelemahan produktiviti.
Tetapi terdapat satu defisit yang jauh lebih sukar diukur,
defisit jati diri.
- Apakah maknanya menjadi rakyat Malaysia?
- Apakah nilai bersama kita?
- Apakah perkara yang kita sanggup pertahankan bersama walaupun kita berbeza kaum, agama, bahasa dan pandangan politik?
Seseorang boleh mempunyai kad pengenalan Malaysia tetapi secara psikologi tidak mempunyai hubungan yang kuat dengan negaranya.
Inilah keadaan apabila sebuah negara perlahan-lahan boleh kehilangan warganegara tanpa kehilangan penduduk.

Mereka masih tinggal di sini. Mereka masih bekerja di sini. Mereka masih mempunyai pasport Malaysia.
Tetapi rasa kepunyaan, tanggungjawab dan kesetiaan terhadap sebuah kehidupan bersama semakin menipis.
Apabila perkara ini berlaku, perpaduan menjadi rapuh.
Dan apabila perpaduan rapuh, akan sentiasa ada pihak yang cuba take advantage , mengeksploitasi perbezaan kaum, agama, wilayah, kelas ekonomi ataupun fahaman politik untuk mendapatkan keuntungan tertentu.
Perpecahan masyarakat hari ini tidak semestinya bermula dengan senjata.
Ia boleh bermula dengan satu video.
Satu fitnah.
Satu manipulasi algoritma.
Satu isu kaum yang dibesar-besarkan.
Satu naratif bahawa kelompok lain merupakan musuh kita.
Sebab itu pertahanan sebuah negara pada abad ke-21 tidak boleh bergantung kepada kereta kebal, pesawat tempur dan anggota keselamatan semata-mata.
Daripada Hard Defence kepada Social dan Soft Defence
Kita perlu memperluaskan pemahaman mengenai pertahanan negara.
Angkatan Tentera Malaysia mempertahankan wilayah dan kedaulatan negara.
Polis Diraja Malaysia menjaga keselamatan dan ketenteraman.
Tetapi siapa mempertahankan jiwa negara?
Siapa mempertahankan keharmonian antara kaum?
Siapa mempertahankan pemikiran rakyat daripada manipulasi, kebencian, disinformasi dan usaha memecahkan masyarakat?
Di sinilah kita memerlukan konsep social defence, psychological defence dan soft defence.
Singapura memberikan satu contoh yang menarik melalui konsep Total Defence. Pertahanannya kini merangkumi enam dimensi , ketenteraan, awam, ekonomi, sosial, digital dan psikologi. Dalam Social Defence, kepercayaan serta hubungan antara kaum dan agama dianggap sebahagian daripada kekuatan negara, dalam Psychological Defence pula, identiti bersama, daya tahan dan kesediaan mempertahankan cara hidup negara dianggap aset strategik.
Kita tidak perlu meniru Singapura.
Tetapi kita boleh belajar sesuatu daripadanya,
keharmonian rakyat ialah aset keselamatan negara.
Malaysia juga perlu melihat Rukun Negara daripada perspektif ini.
Ia bukan sekadar program perpaduan.
Ia adalah nilai strategik negara.
Harmoni Rakyat Adalah Infrastruktur Negara
Kita mudah melihat lebuh raya, pelabuhan, lapangan terbang, pusat data, grid elektrik dan telekomunikasi sebagai infrastruktur strategik.
Tetapi terdapat satu lagi infrastruktur yang tidak kelihatan,
kepercayaan antara rakyat.
Apabila orang Melayu boleh mempercayai orang Cina, orang Cina mempercayai orang India, orang India mempercayai masyarakat Sabah dan Sarawak, masyarakat bandar memahami masyarakat desa, orang Islam menghormati penganut agama lain dan semua rakyat menghormati kerangka Perlembagaan negara, maka negara mempunyai satu bentuk modal sosial yang amat besar.
Sebaliknya jika kepercayaan ini runtuh, pembangunan ekonomi yang hebat sekalipun boleh menjadi rapuh.
Sebab itu harmoni rakyat adalah vital.
Ia bukan aksesori kepada pembangunan.
Ia merupakan prasyarat pembangunan.
Belajar daripada Pancasila , Ideologi Tidak Boleh Dibiarkan Mati
Indonesia memberikan satu lagi pengalaman yang boleh kita fikirkan.
Pancasila tidak hanya diposisikan sebagai slogan, tetapi terus dibicarakan sebagai falsafah, pandangan hidup dan ideologi negara. Indonesia mempunyai Badan Pembinaan Ideologi Pancasila (BPIP), malah wujud usaha berterusan mengkaji, mentafsir dan menghubungkan nilai Pancasila dengan pembangunan, undang-undang, pendidikan serta cabaran semasa. Dokumen BPIP sendiri menegaskan Pancasila sebagai ideologi yang perlu diterjemahkan daripada prinsip falsafah kepada kehidupan masyarakat dan negara.
Tradisi wacana dan kongres mengenai Pancasila juga memberikan satu pelajaran kepada Malaysia,
ideologi negara tidak sepatutnya takut untuk dibahaskan.
Ia mesti dikaji.
Dikritik secara membina.
Dihuraikan.
Ditafsir berdasarkan zaman.
Dihubungkan dengan ekonomi, teknologi, AI, pendidikan, alam sekitar, geopolitik dan kehidupan generasi baharu.
Malah sejarah lahirnya Pancasila sendiri memperlihatkan proses dialektika intelektual yang besar dalam kalangan pengasas Indonesia sebelum ia menjadi falsafah dasar negara.
Begitu juga Rukun Negara.
Jangan kita jadikannya barang muzium.
Falsafah yang tidak difikirkan akhirnya akan kehilangan makna.
Pengalaman BTN, Jangan Ulang Pendekatan Indoktrinasi
Malaysia mempunyai pengalaman program kenegaraan seperti Biro Tata Negara (BTN).
Tanpa perlu menghidupkan kembali BTN dalam bentuk lamanya, kita harus mengambil pengajaran daripada pengalaman tersebut.
Pembinaan negara tidak boleh kelihatan sebagai indoktrinasi politik.
Jika Rukun Negara dikaitkan dengan parti, kerajaan tertentu ataupun kepentingan kelompok tertentu, ia akan kehilangan sifatnya sebagai milik bersama.
Rukun Negara mesti berada di atas politik kepartian.
Kerajaan boleh berubah.
Perdana Menteri boleh berubah.
Menteri boleh berubah.
Parti pemerintah boleh berubah.
Tetapi asas negara mesti mempunyai kesinambungan.
Sebab itu program penghayatan Rukun Negara baharu tidak boleh menjadi kelas satu hala yang memberitahu peserta apa yang mesti mereka fikir.
Sebaliknya ia mesti melatih mereka bagaimana berfikir sebagai warganegara.
Malaysia Milik Semua Warganegara
Pembudayaan Rukun Negara juga mesti sampai kepada semua bangsa.
Seorang Melayu perlu melihat dirinya sebagai Melayu dan Malaysia.
Seorang Cina Malaysia tidak perlu meninggalkan kebudayaan Cinanya untuk menjadi rakyat Malaysia yang baik.
Begitu juga masyarakat India, Sikh, Orang Asli, Kadazan-Dusun, Bajau, Iban, Bidayuh, Melanau dan ratusan komuniti yang membentuk negara ini.
Kita tidak membina perpaduan dengan menghapuskan identiti.
Kita membina perpaduan dengan meletakkan satu identiti kewarganegaraan bersama di atas kepelbagaian tersebut.
Perbezaan adalah realiti.
Rukun Negara adalah jambatan.
ATM dan PDRM Boleh Menjadi Institusi Pembinaan Negara
Angkatan Tentera dan Polis juga mempunyai potensi besar dalam proses ini , tetapi bukan untuk memaksa ideologi.
Mereka tidak seharusnya digunakan sebagai alat indoktrinasi.
Sebaliknya pengalaman mereka mengenai disiplin, kesetiaan, pengorbanan, keselamatan negara, pengurusan krisis dan kehidupan merentas kaum boleh digunakan dalam pendidikan kewarganegaraan.
Bayangkan anggota tentera, polis, guru, ahli akademik, tokoh masyarakat, veteran, agamawan, ahli sejarah, budayawan dan anak muda duduk dalam satu program bersama membincangkan,
Apakah erti menjadi rakyat Malaysia?
Itulah pembinaan negara.
Bukan ceramah tiga jam di dalam dewan.
Tetapi pengalaman yang meninggalkan kesan kepada jiwa.
Wujudkan Hari Rukun Negara
Sudah tiba masanya Malaysia mempertimbangkan Hari Rukun Negara sebagai sebuah hari penghayatan nasional.
Bukan sekadar satu lagi majlis protokol.
Pada hari tersebut, seluruh negara boleh menjalankan dialog, aktiviti komuniti, forum universiti, simulasi Parlimen, projek khidmat masyarakat, program silang budaya, aktiviti sekolah dan latihan ketahanan sosial.
Sekolah jangan sekadar menyuruh murid melafazkan Rukun Negara.
Tanyakan kepada mereka,
Apakah maksud Kesopanan dan Kesusilaan di TikTok?
Apakah makna Kedaulatan Undang-undang apabila seseorang yang berkuasa melakukan kesalahan?
Apakah makna Kesetiaan kepada Raja dan Negara?
Bagaimana Keluhuran Perlembagaan melindungi kehidupan rakyat yang berbeza latar?
Apabila soalan sebegini mula dibincangkan, Rukun Negara kembali hidup.
Daripada Program kepada Ekosistem
Kelemahan banyak inisiatif nasional ialah kita terlalu gemar melancarkan program.
Ada majlis.
Ada backdrop.
Ada ucapan.
Ada gambar.
Ada laporan.
Kemudian selesai.
Rukun Negara memerlukan sesuatu yang jauh lebih besar , ekosistem pelaksanaan.
Ia mesti bergerak dari tadika hingga universiti, daripada latihan perkhidmatan awam kepada korporat, daripada kampung kepada bandar, daripada masjid, gereja, kuil dan rumah ibadat kepada persatuan penduduk, media, industri kreatif, sukan, ATM, PDRM serta ruang digital.
Filem boleh membawanya.
Drama boleh membawanya.
Permainan digital boleh membawanya.
Podcast boleh membincangkannya.
Universiti boleh mengkajinya.
Sekolah boleh mempraktikkannya.
Komuniti boleh menghidupkannya.
Kerajaan pula mesti memastikan dasar yang dikeluarkan tidak bercanggah dengan semangat yang hendak diajar.
Itulah maksud memperbudayakan Rukun Negara.
Jangan Ukur Berapa Ramai Hadir , Ukur Impaknya
Program Rukun Negara juga memerlukan KPI baharu.
Bukan berapa banyak seminar diadakan.
Bukan berapa ribu peserta hadir.
Bukan berapa juta risalah dicetak.
KPI sebenarnya ialah impak.
Adakah tahap kepercayaan antara kaum meningkat?
Adakah anak muda semakin memahami Perlembagaan?
Adakah kesediaan rakyat membantu masyarakat daripada kaum lain meningkat?
Adakah sentimen kebencian berkurang?
Adakah rakyat lebih kebal terhadap berita palsu yang cuba memainkan sentimen perkauman?
Adakah masyarakat semakin mempunyai rasa kepunyaan terhadap Malaysia?
Kalau jawapannya ya, program itu berjaya.
Kalau kita mengadakan 10,000 program tetapi masyarakat semakin berpecah, kita sebenarnya gagal.
Rukun Negara Sebagai Social Firewall Malaysia
Dalam dunia digital hari ini, kita mempunyai firewall untuk mempertahankan komputer.
Negara juga memerlukan social firewall.
Rukun Negara boleh menjadi firewall tersebut.
Apabila rakyat mempunyai akal budi, sesuatu provokasi tidak mudah membakar mereka.
Apabila muncul berita yang cuba membenci kaum lain, mereka berfikir dahulu.
Apabila politikus memainkan sentimen kaum, mereka menilainya.
Apabila kuasa asing cuba mempengaruhi persepsi masyarakat, rakyat mempunyai jati diri yang cukup kuat untuk menapisnya.
Inilah soft defence yang sebenar.
Kekuatan pertahanan sesebuah negara bukan hanya pada berapa banyak senjata yang dimilikinya tetapi sejauh mana masyarakatnya boleh dipecahkan.
Negara dengan rakyat yang bersatu amat sukar ditundukkan.
Negara dengan rakyat yang saling membenci tidak memerlukan musuh dari luar untuk merosakkannya.
Enough Is Enough
Sudah terlalu lama kita memperlakukan Rukun Negara seperti teks untuk dibaca pada majlis rasmi.
Enough is enough.
Sudah tiba masanya kita berhenti sekadar melafazkannya.
Kita perlu memikirkannya.
Kita perlu membicarakannya.
Kita perlu menghayatinya.
Kita perlu menggerakkannya.
Dan akhirnya kita perlu memperbudayakannya.
Rukun Negara mestilah hadir dalam cara kerajaan menggubal dasar, cara guru mendidik, cara ahli politik berbahas, cara media melaporkan berita, cara korporat menjalankan perniagaan dan cara rakyat berinteraksi sesama sendiri.
Kerana sebuah negara tidak menjadi kukuh hanya dengan undang-undang.
Ia menjadi kukuh apabila rakyat mempunyai nilai bersama.
Malaysia tidak kekurangan dokumen.
Malaysia tidak kekurangan slogan.
Malaysia tidak kekurangan majlis.
Apa yang kita perlukan ialah semangat yang menghidupkan semuanya.
Dan semangat itu ialah akal dan budi.
Akal membolehkan kita memahami mengapa Rukun Negara diperlukan.
Budi menjadikan nilai itu sebahagian daripada diri kita.
Apabila kedua-duanya bersatu, Rukun Negara tidak lagi menjadi lima prinsip yang tergantung di dinding.
Ia menjadi cara kita hidup.
Cara kita bernegara.
Cara kita berbeza tanpa bermusuhan.
Cara kita mempertahankan Malaysia.
Dan akhirnya, cara kita membina sebuah bangsa.
Rukun Negara bukan untuk dihafal semata-mata. Rukun Negara mesti menjadi akal, budi dan jiwa Malaysia.

More Stories
Membumikan Rukun Negara: Daripada Ikrar kepada Jiwa dan Benteng Negara
Sembang Santai MPM 2026: Daripada Wacana Kepada Gagasan Membina Malaysia
Rukun Negara: Membina Nusa, Membina Negara