r57 shell c99 shell pendik escort istanbul escort antalya escort
Menjunjung Titah Tuanku: Rukun Negara, Adab Bernegara dan Kedaulatan Institusi Raja Melayu - malay.today
Mei 20, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Menjunjung Titah Tuanku: Rukun Negara, Adab Bernegara dan Kedaulatan Institusi Raja Melayu

Dalam suasana negara yang semakin mencabar dari sudut adab politik, perpaduan masyarakat dan penghormatan terhadap asas pembinaan negara, titah dan kenyataan media Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hadir tepat pada waktunya sebagai peringatan besar kepada seluruh rakyat Malaysia.

Pertubuhan Rumah Melayu merafakkan setinggi-tinggi junjungan kasih serta menyatakan sokongan penuh terhadap titah Baginda berhubung pembinaan Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor dan seruan agar rakyat, khususnya generasi muda serta pemimpin politik, benar-benar memahami, menghayati dan menjunjung prinsip-prinsip Rukun Negara.

Rukun Negara bukan sekadar lafaz rasmi yang diucapkan ketika majlis tertentu. Ia adalah roh kepada pembinaan negara bangsa Malaysia selepas tragedi hitam 13 May 1969 Incident yang meninggalkan luka mendalam kepada negara. Daripada tragedi tersebut lahirlah satu kesedaran nasional bahawa perpaduan, penghormatan terhadap Perlembagaan dan adab hidup bermasyarakat mesti diperkukuhkan demi menjamin keamanan generasi akan datang.

Prinsip-prinsip utama seperti kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada Raja dan negara, keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan bukan sekadar slogan. Ia adalah tiang seri kepada kestabilan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama.

Hari ini, masyarakat semakin menyaksikan budaya politik yang keras, penghinaan terbuka di media sosial serta kecenderungan segelintir pihak mempersoalkan asas-asas penting negara termasuk kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu. Dalam keadaan sebegini, titah Tuanku menjadi peringatan bahawa kebebasan bersuara mesti datang bersama tanggungjawab, adab dan rasa hormat terhadap sistem kenegaraan yang telah memayungi keamanan negara selama ini.

Pertubuhan Rumah Melayu juga menyokong penuh seruan D.Y.M.M. Tuanku agar semua wakil rakyat tanpa mengira parti politik menghayati sendiri semangat Rukun Negara dalam tindakan dan percakapan mereka. Seorang pemimpin bukan sahaja dinilai melalui ideologi politik, tetapi juga melalui akhlak, kebijaksanaan dan kemampuan menjaga keharmonian rakyat.

Kenyataan melampau, sindiran terbuka atau tindakan yang boleh dianggap memperlekeh Institusi Raja Berperlembagaan hanya akan menambah ketegangan rakyat dan menghakis rasa hormat terhadap asas negara. Politik yang matang seharusnya membina perpaduan, bukan menyalakan permusuhan.

Sehubungan itu, Pertubuhan Rumah Melayu berpandangan bahawa mana-mana pihak yang disebut dalam titah Tuanku sewajarnya tampil memohon maaf secara terbuka dan mengambil pendekatan berhemah bagi meredakan keadaan. Dalam budaya Melayu dan ketamadunan negara ini, memohon maaf bukan tanda kelemahan, tetapi lambang kematangan, penghormatan dan tanggungjawab moral.

Institusi Raja-Raja Melayu bukan sekadar simbol adat dan budaya. Ia adalah payung perpaduan rakyat, tonggak kestabilan nasional dan benteng terakhir keluhuran Perlembagaan negara. Dalam sejarah panjang tanah air, Institusi Diraja telah memainkan peranan besar sebagai pelindung agama, penjaga hak rakyat serta pengimbang dalam sistem demokrasi berperlembagaan Malaysia.

Atas sebab itu, sebarang cubaan mempersenda, mempertikai secara melampau atau mencabar kewibawaan institusi tersebut perlu ditangani dengan hikmah tetapi tegas demi memelihara keharmonian negara.

Pertubuhan Rumah Melayu akan terus berdiri teguh di belakang Institusi Raja-Raja Melayu serta menjunjung kedaulatan Tuanku demi agama, bangsa dan negara.

Dalam dunia yang semakin dipenuhi kebisingan politik dan perpecahan sosial, Malaysia memerlukan lebih ramai rakyat yang memahami sejarah negara, menghormati Perlembagaan dan menghayati semangat Rukun Negara secara sebenar, bukan sekadar pada lafaz tetapi dalam tindakan harian.

“Bersatu Memperkasa Warisan, Berdaulat Memelihara Negara.”


Azmi Othman
Presiden
Pertubuhan Rumah Melayu