Mei 16, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Sambutan Hari Guru Menuntut Latihan Pengajaran Terbaik untuk Guru Sains dalam Membina Minat STEM dan TVET

Oleh Ahmad Ismail,

Setiap kali tibanya Hari Guru, kita bukan sekadar meraikan jasa dan pengorbanan insan bergelar pendidik. Lebih daripada itu, ia menjadi cermin untuk menilai sejauh mana sistem pendidikan kita benar-benar bergerak ke hadapan.

Tahun demi tahun, tema sambutan Hari Guru yang dipilih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membawa mesej besar: “Guru Insani Pemangkin Generasi MADANI” (2023), “Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI” (2024), “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan” (2025), dan kini, tahun 2026, “Guru Bitara Nadi Negara”.

Tema-tema ini jelas menekankan peranan guru sebagai nadi pembangunan insan, penggerak reformasi, dan pemacu aspirasi negara. Namun, persoalan kritikal ialah sejauh mana pencapaian tema-tema ini telah diukur dan dibuktikan. Tanpa penilaian yang teliti, sambutan Hari Guru hanya tinggal slogan.

Dalam era pasca normal yang sarat dengan cabaran teknologi maklumat, kecerdasan buatan (AI), dan Internet of Things (IoT), pendidikan STEM dan TVET mesti diperkasakan segera. Guru sains menjadi tunjang utama dalam usaha ini. Mereka bukan sekadar menyampaikan fakta biologi, fizik, atau kimia, tetapi membina minat, rasa ingin tahu, dan keyakinan pelajar bahawa sains adalah jalan masa depan.

Latihan pengajaran terbaik untuk guru sains dan matematiik perlu menekankan tiga perkara utama: penguasaan ilmu asas kukuh dalam sains dan matematik agar konsep sukar dapat dijelaskan dengan mudah; kemahiran pedagogi moden yang mampu menarik minat pelajar melalui set induksi dan pengenalan yang relevan dengan kehidupan seharian; serta kreativiti dalam reka bentuk aktiviti, misalnya eksperimen mudah yang mengaitkan teori dengan kerjaya masa depan. Guru pelatih juga mesti dilatih untuk menjalankan kajian tindakan, kajian kecil dalam kelas bagi memahami latar belakang pelajar dan menyesuaikan kaedah pengajaran.

Isu besar yang sering timbul ialah siapa yang layak menilai guru pelatih. Pensyarah pendidikan mempunyai kelebihan menilai aspek pedagogi, manakala pakar bidang sains menilai ketepatan fakta dan aplikasi ilmu. Model antarabangsa seperti di Finland dan Singapura menunjukkan bahawa penilaian holistik adalah kunci: gabungan pedagogi, kandungan, dan inovasi teknologi. Justeru, sistem penilaian terbaik di Malaysia mestilah kolaboratif, melibatkan pensyarah pendidikan dan pakar bidang secara bersama.

Latihan pengajaran juga mesti menekankan struktur asas yang konsisten. Set induksi berfungsi membangkitkan minat dengan soalan provokatif atau demonstrasi ringkas. Pengenalan pula menjelaskan objektif pembelajaran dengan jelas, manakala penegasan mengaitkan topik dengan kehidupan seharian atau kerjaya. Penilaian boleh dilakukan melalui kuiz, eksperimen, atau perbincangan untuk mengukur kefahaman pelajar. Akhir sekali, refleksi melalui action research membolehkan guru menilai keberkesanan kaedah dan menyesuaikan strategi untuk kelas seterusnya.

Konflik generasi antara guru senior dan guru baharu juga perlu dilihat sebagai peluang. Guru senior sering menekankan disiplin dan kaedah tradisional, manakala guru generasi baharu lebih cenderung kepada pendekatan interaktif dan teknologi. Gabungan pengalaman guru lama dengan inovasi guru muda boleh menghasilkan kaedah pengajaran yang lebih mantap. Cabaran besar kini ialah penggunaan IT dan AI. Guru pelatih perlu mahir menggunakan platform digital, simulasi sains, dan aplikasi AI untuk memperkayakan pembelajaran. Namun, mereka juga mesti berhati-hati agar teknologi tidak menggantikan interaksi manusia yang membina nilai dan semangat.

Penilaian latihan mengajar pula perlu berfokus kepada pelajar: adakah mereka lebih berminat dan faham selepas sesi? Ia mesti menggabungkan pedagogi dan kandungan, mengambil kira inovasi teknologi, serta menekankan refleksi guru pelatih melalui laporan action research. Latihan pengajaran terbaik untuk guru sains bukan sekadar menguji pengetahuan, tetapi membina keupayaan menghidupkan minat STEM dan TVET dalam kalangan pelajar. Dengan penilaian holistik, gabungan pengalaman senior dan inovasi generasi baharu, serta penggunaan teknologi yang bijak, guru pelatih akan mampu melahirkan generasi pelajar yang melihat sains sebagai mudah, berguna, dan relevan dengan masa depan mereka.

Hari Guru tahun ini harus menjadi titik tolak: daripada sekadar slogan kepada tindakan nyata. Guru bitara bukan hanya nadi negara, tetapi juga pencetus minat dan harapan baharu dalam dunia STEM dan TVET.