Oleh Ahmad Ismail,
Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) telah lama digerakkan dengan pelbagai dasar, namun realiti kehidupan majoriti orang Melayu masih jauh daripada sejahtera. Pendidikan teknikal dan peluang pekerjaan memang wujud, tetapi pendapatan yang diperoleh masih rendah – sekadar cukup untuk “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.” Inilah paradoks perjuangan Melayu yang belum selesai.

Masalah utama bukan sekadar kurang ilmu, tetapi struktur ekonomi yang tidak dikawal. Dalam pertanian misalnya, daripada benih, membajak sawah, baja hingga pemasaran padi, semuanya dikuasai pihak luar. Begitu juga dengan getah dan sawit. Petani Melayu hanya menjadi pelaksana, bukan pengawal rantaian nilai. Dalam perkhidmatan pula, kemahiran ada tetapi modal tiada. Kos sara hidup yang meningkat menjerat keluarga dalam hutang berpanjangan.
Agensi seperti MARA, GIATMARA, IKM dan UiTM menyediakan bantuan latihan dan kewangan, tetapi sering tidak sistematik. Latihan berterusan, pemantauan berkesan dan penyesuaian dengan cabaran semasa, seperti AI dan IoT, amat diperlukan. Ada yang berjaya, tetapi terlalu sedikit untuk dijadikan contoh. Kita tidak boleh sekadar mengangkat beberapa ikon sebagai lambang kejayaan, sedangkan majoriti masih bergelut di bawah.
Budaya membandingkan dengan legenda masa lalu juga menjerat. Seperti bola sepak, kita masih mengagungkan nama-nama besar seperti Mokhtar Dahari, R. Arumugam, Santok Sigh atau Soh Chin Aun, tetapi bola sepak negara tidak pernah benar-benar maju. Begitu juga dalam ekonomi: kita kagum dengan segelintir usahawan berjaya, tetapi gagal membina sistem yang melahirkan ribuan lagi. Tanpa strategi kepimpinan yang jelas, orang Melayu terus terperangkap dalam retorik.
KEB mesti dikaji semula dengan teliti dari segi perlaksanaannya serta menyemak kepimpinan program. Pencapaian akademik semata-mata tidak cukup jika hanya membawa kepada gaji rendah dan hutang tinggi. Pembahagian kategori B40 dan M40 juga perlu diteliti semula. Walaupun pendapatan berbeza, beban perbelanjaan hampir sama. Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) harus digunakan untuk menganalisis pendapatan, perbelanjaan dan hutang isi rumah Melayu. Daripada analisis ini, barulah lahir cadangan perancangan ekonomi yang realistik untuk golongan rendah, sederhana dan usahawan berpotensi.
Berdasarkan laporan Graduates Statistics 2024 dan Bumiputera Statistics 2025, jumlah graduan mencecah 5.98 juta dengan 4.98 juta berstatus bekerja. Majoriti graduan Bumiputera diserap ke sektor swasta, khususnya perkhidmatan dan pembuatan, walaupun isu ketidaksepadanan kemahiran masih tinggi. Sektor awam pula kekal sebagai pilihan utama kerana menawarkan kestabilan kerjaya. Menariknya, sekitar 6.5% hingga 7.2% graduan Bumiputera memilih untuk bekerja sendiri atau terlibat dalam ekonomi gig.
Peningkatan penglibatan rakyat tempatan dan asing dalam kerja teknikal seperti pendawaian elektrik, paip, dan penyaman udara menandakan fasa baharu ekonomi gig berasaskan kemahiran. Permintaan segera melalui platform digital mendorong pengguna mencari juruteknik tanpa kontraktor besar, manakala kadar upah kompetitif menarik lebih ramai pekerja. Namun, persaingan sengit tercetus apabila pekerja asing menawarkan harga murah, menekan juruteknik tempatan.
Corak ini jelas menunjukkan graduan Bumiputera semakin berani mencuba, namun dasar sokongan mesti diperkasa agar mereka bukan sekadar bertahan, tetapi mampu melonjak ke tahap lebih tinggi. Agensi seperti MARA mesti memainkan peranan lebih besar, bukan sekadar memberi pinjaman atau kursus, tetapi membina ekosistem usahawan Bumiputera yang berdaya saing dengan akses pasaran, teknologi dan jaringan antarabangsa.
Perjuangan Melayu masih belum selesai. Retorik kongres tidak boleh lagi menjadi alasan. Yang diperlukan ialah tindakan berani, strategi sistematik dan keberanian politik untuk membebaskan orang Melayu daripada belenggu ekonomi yang menekan. Jika tidak, bangsa ini akan terus berada di tahap “kais pagi makan pagi,” sedangkan bangsa lain melangkah jauh ke hadapan. Perjuangan mesti diteruskan – bukan dengan slogan, tetapi dengan pelaksanaan nyata.

More Stories
Sambutan Hari Guru Menuntut Latihan Pengajaran Terbaik untuk Guru Sains dalam Membina Minat STEM dan TVET
Bumiputera Tidak Perlukan “Tongkat” Selamanya, Tetapi Mereka Perlukan Tangga Untuk Keluar Dari Kemiskinan
Peranan Galakan Bertanya dalam Mencetuskan Minat Persediaan Awal