Mei 19, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

MTEN: Teknologi, Kepelbagaian Biologi dan Masa Depan Negara

Oleh Prof. Dr. Ahmad Ismail,

Era pasca normal menjadikan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) berada di persimpangan penting dalam pembangunan negara. Sebagai badan penasihat ekonomi tertinggi kerajaan, MTEN bertanggungjawab memastikan pembangunan fizikal dan pengurusan sumber asli tidak memusnahkan ekosistem semula jadi dengan pengintegrasian kelestarian alam sekitar ke dalam perancangan ekonomi negara. 

Peranannya tidak lagi terbatas kepada menggerakkan ekonomi semata-mata, tetapi turut memikul tanggungjawab besar memastikan kelestarian alam sekitar dan kepelbagaian biologi yang menjadi identiti Malaysia. Dalam dunia yang digerakkan oleh kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital, cabaran utama ialah bagaimana kita mengimbangi kemajuan teknologi dengan amanah terhadap alam semula jadi. Malaysia, dengan liputan hutan sekitar 54% daripada keluasan tanah, tujuh tapak Ramsar berkeluasan 134,182 hektar, serta rangkaian hutan simpan kekal dan tanah lembap, berpotensi muncul sebagai model dunia dalam pembangunan bersepadu.

Namun, di sebalik potensi itu, ancaman terhadap alam sekitar semakin kritikal. Pencemaran bahan kimia berbahaya meningkat mendadak, dengan sisa klinikal melonjak 43.9% pada tahun 2021 akibat pandemik dan penggunaan PPE (Personal Protective Equipment, Peralatan Pelindung Diri). Kehilangan habitat semula jadi terus berlaku, menjejaskan kepelbagaian biologi di Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) kelas satu dan hutan simpan kekal. Tapak Ramsar seperti Tasek Bera, Sungai Pulai, dan Lower Kinabatangan yang melindungi spesies terancam kini berdepan tekanan hebat daripada aktiviti manusia. MTEN mesti tampil sebagai penyelaras utama, menyatukan MOSTI, KPM, KPT, Jabatan Perhutanan, Jabatan Alam Sekitar, PERHILITAN, Jabatan Perikanan dan NGO agar tindakan tidak bersifat terpisah, tetapi bersepadu dan berkesan.

Dalam konteks pendidikan, STEM, TVET dan CEPA (Communication, Education and Public Awareness) menjadi teras kelestarian. Enrolmen STEM meningkat kepada 50.83% pada 2024, hampir 10% lebih tinggi berbanding 2019, namun masih belum mencapai sasaran 60:40. CEPA pula penting untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap ekosistem semula jadi.

Model pendidikan berasaskan komuniti Orang Asli di kawasan Endau-Rompin, Belum-Temenggor, Taman Negara dan Tasek Bera boleh dijadikan pusat pembelajaran STEM luar bandar berasaskan ekologi, sekali gus melindungi kepelbagaian biologi negara. MOSTI melalui ASM berpeluang menjuarai agenda ini dengan memperkenalkan modul pembelajaran berasaskan ekosistem, menjadikan alam semula jadi sebagai “makmal hidup” untuk anak-anak Orang Asli dan pelajar luar bandar. Ramai felo ASM terdiri daripada profesor bersara yang masih aktif, dan kepakaran mereka amat penting untuk memperkukuh usaha ini.

Integrasi agensi dan wawasan bersama menjadi kunci. Gabungan MTEN dengan MOSTI (melalui ASM), KPM, KPT serta NRES (melalui Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan) mampu membentuk model pembangunan ekonomi hijau dan pendidikan STEM luar bandar. AI dan teknologi digital tidak lagi dilihat sebagai ancaman, tetapi sebagai alat pemuliharaan – digunakan untuk memantau kepelbagaian biologi, mengurus hutan, memulihkan kawasan terosot, mengesan pencemaran, serta membanteras pemburuan haram dan perdagangan hidupan liar.

Malaysia kini berpeluang menonjol sebagai negara model yang mengintegrasikan pembangunan ekonomi, teknologi moden dan kelestarian alam semula jadi. Dengan liputan hutan yang masih tinggi, tapak Ramsar yang meluas, serta peningkatan enrolmen STEM, MTEN boleh memimpin strategi bersepadu antara kementerian dan agensi. Gabungan wawasan ini bukan sahaja melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi melalui TVET, tetapi juga membina masyarakat yang peka terhadap kepelbagaian biologi dan alam sekitar.

MTEN mesti dilihat bukan sekadar badan ekonomi, tetapi sebagai jambatan antara teknologi dan alam semula jadi yang memastikan Malaysia kekal sebagai negara terkaya dengan kepelbagaian biologi, sambil melangkah ke masa depan dengan sains dan teknologi.