Mei 23, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Majlis Perundingan Melayu: Menyemarakkan Ketokohan Bangsa

Oleh Ahmad Ismail FASc,

Bangsa Melayu sebagai bangsa majoriti di Malaysia mesti terus melangkah dengan semangat yang berakar pada agama, budaya, dan sejarah perjuangan. Walaupun Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB), Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dan Rancangan Malaysia (RMK) telah membuka ruang, penguasaan Melayu dalam bidang profesional, ekonomi dan kepimpinan antarabangsa masih belum mencapai tahap dominan. Ramai Melayu berada di peringkat pelaksana, tetapi tidak cukup ramai yang menjadi pemimpin pemikiran, penggerak ekonomi, atau tokoh berpengaruh di pentas dunia. Inilah cabaran besar yang mesti ditangani dengan strategi jitu dan bersepadu.

Sebenarnya, ramai tokoh Melayu telah menonjol dalam pelbagai bidang, ekonomi, pendidikan, agama Islam, sains dan teknologi, serta alam sekitar. Mereka aktif di dalam negara dan di peringkat antarabangsa, namun tidak ditampilkan secara konsisten oleh negara atau badan sukarela Melayu. Media yang dipenuhi penulis Melayu juga jarang mengetengahkan tokoh bangsa sendiri. Misalnya dalam bidang alam sekitar, Malaysia sebagai salah satu negara paling kaya dengan kepelbagaian biologi sepatutnya menonjolkan pakar-pakar Melayu setiap bulan, bertepatan dengan sambutan antarabangsa seperti Hari Hidupan Liar Sedunia, Hari Perhutanan Antarabangsa atau Hari Kepelbagaian Biologi Sedunia. Tokoh-tokoh ini boleh menjadi inspirasi kepada generasi muda, membuktikan bahawa kepakaran Melayu bukan sekadar dalam politik, tetapi juga dalam ilmu dan perjuangan menjaga alam.

Usahawan Melayu yang berjaya membina empayar perniagaan bertaraf global, tokoh ekonomi yang dihormati, pakar ekologi yang dirujuk kerajaan, serta pemimpin berpengaruh di pentas antarabangsa perlu diangkat sebagai model. Masyarakat Melayu mesti melihat bahawa pengaruh bangsa datang daripada pelbagai dimensi, ilmu, ekonomi, budaya dan kepimpinan global, bukan hanya politik semata-mata.

Namun, masalah utama ialah budaya selesa dengan kuasa politik tanpa diterjemahkan kepada penguasaan ekonomi dan profesionalisme. Ramai pakar Melayu tidak membina jaringan antarabangsa, dan kelemahan dalam penjenamaan menyebabkan kepakaran mereka tidak dikenali dunia. Pendidikan pula masih menekankan pencapaian akademik semata-mata, bukan melahirkan pemimpin pemikiran yang mampu menguasai naratif global. Penyelesaian mesti berasaskan beberapa langkah: memperkukuh keusahawanan strategik, melahirkan lebih ramai pemilik syarikat teknologi dan industri kreatif; menjenamakan tokoh Melayu berwibawa dalam media antarabangsa; mereformasi pendidikan untuk menekankan kepimpinan, inovasi dan komunikasi global; serta menampilkan Islam dan budaya Melayu sebagai sumber nilai universal yang membawa keadilan, keseimbangan alam dan keharmonian masyarakat.

Di sinilah peranan Majlis Perundingan Melayu (MPM) menjadi penting. Majlis ini mesti terus berfungsi sebagai badan pengiktirafan dan penggerak tokoh Melayu dalam pelbagai bidang, ekonomi, alam sekitar, sains dan teknologi, seni, serta kepimpinan global. Dengan dana mencukupi dan kesungguhan yang jelas, MPM boleh melaksanakan strategi penjenamaan tokoh Melayu secara sistematik. Usaha ini boleh dilakukan melalui kerjasama dengan kerajaan, korporat, dan NGO untuk memastikan tokoh-tokoh Melayu bukan sahaja dikenali di dalam negara, tetapi juga dipromosikan di pentas antarabangsa. Strategi ini boleh merangkumi penajaan penyertaan tokoh Melayu dalam forum global, penerbitan karya dalam jurnal antarabangsa, penghasilan dokumentari dan media digital, serta pembinaan jaringan dengan institusi dunia seperti UNESCO, UNEP dan badan korporat multinasional.

Bangsa Melayu mesti bergerak daripada politik dominan kepada pengaruh multidimensi. Dengan strategi penjenamaan tokoh, penguasaan ekonomi, dan keterhubungan antarabangsa, Melayu akan terus dihormati sebagai bangsa yang memimpin bukan sahaja Malaysia, tetapi juga memberi sumbangan bermakna kepada dunia. Inilah jalan untuk memastikan kestabilan politik, keharmonian negara, dan kelangsungan ketokohan Melayu sebagai bangsa yang berdaulat dan berpengaruh.