Saya mengenali sosok ini sejak dia masih bersekolah menengah. Nurul Izzah Anwar seorang anak kepada reformasi, yang membesar dalam ribut politik, diwarnai air mata perjuangan, dan menjadi saksi bagaimana ayahnya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, memperjuangkan keadilan di kala dunia seperti menutup mata. Kini, selepas 26 tahun, bapanya menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10, dan Nurul Izzah muncul sebagai tokoh pemikir muda yang matang, tajam, dan relevan. Beliau kini diiktiraf dunia sebagai antara 30 pemimpin masa depan dunia satu pencapaian yang tidak berlaku dalam ruang kosong.
Dari khemah perjuangan ke ruang dewan intelektual
Nurul Izzah mula menyertai perjuangan Parti Keadilan Nasional (kemudiannya PKR) sejak tahun 1999 ketika usianya masih muda. Namun, bukan hanya kerana ayahnya dipenjarakan, tetapi kerana keyakinan kepada prinsip keadilan dan reformasi. Dia menyaksikan sendiri bagaimana khemah-khemah didirikan, risalah diedar, dan laungan “Lawan tetap lawan” bergema di jalanan. Semangat inilah yang membentuk dirinya bukan sekadar aktivis, tetapi juga seorang pemikir bangsa.
Dalam sesi perkongsiannya yang saya ikuti beberapa kali, Nurul Izzah banyak menyentuh soal akar perjuangan bahawa kita tidak boleh melupakan pengorbanan reformis awal. “Kita perlu menghargai keperitan reformis yang memacak khemah, ditangkap, dipukul… dan sekarang, hasil perjuangan itu sedang membuahkan hasil,” katanya penuh keinsafan.

Politik Kekitaan, Bukan Machiavellian
Satu coretan penting dalam ucapannya ialah kisah pertemuan beliau dan ibunya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah, dengan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi. Pak Lah, walau dari parti lawan, tetap mengambil pendekatan ihsan berbicara tentang rawatan untuk Anwar, dan memberi nasihat agar politik Malaysia tidak terjerumus dalam politik Machiavellian. Kata Nurul Izzah, “Pak Lah percaya pada politik kekitaan. Politik empati. Politik nilai.”
Ucapan ini begitu relevan dalam lanskap politik hari ini. Ketika dunia melihat kemusnahan yang berlaku di Palestin akibat ketamakan dan kezaliman, Nurul Izzah mengingatkan, “Jika kita tidak berwaspada, perkara yang sama boleh berlaku kepada kita.” Beliau mengajak kita untuk memperkukuh nilai politik yang berpaksikan keinsanan.
Politik Rakyat, Bukan Sekadar Agenda Parti
Apa yang paling menyentuh hati saya ialah kesedaran Nurul Izzah bahawa perjuangan politik bukan sekadar untuk memartabatkan parti, tetapi untuk rakyat. “PKR perlu keluar dari kerangka fikir sempit agenda parti. Kita perlu mendengar dan memahami denyut nadi rakyat,” katanya. Ini bukan retorik politik, tetapi satu seruan pembaharuan dalam pendekatan berparti, yang meletakkan rakyat sebagai pemegang saham utama dalam demokrasi.
Mengurus Harapan, Merancang Masa Depan
Nurul Izzah juga berkongsi pengalamannya bersama Datuk Seri Saifuddin Nasution dalam rundingan pengagihan kerusi, satu tugas rumit dan penuh cabaran. Ia memerlukan kesabaran, ketajaman strategi, dan kematangan untuk meletakkan parti di landasan yang stabil dan bersatu. Dalam konteks Mesyuarat Agung PKR yang bakal tiba, Nurul Izzah percaya bahawa barisan kepimpinan baru PKR perlu memiliki keupayaan untuk merancang hala tuju parti dan negara secara menyeluruh.
Beliau juga memberi pujian terhadap usaha keras PMX dalam membawa masuk pelabur ke Malaysia. Lawatan Premier China ke Malaysia, menurutnya, mempunyai signifikan besar, apatah lagi Malaysia menjadi negara pertama dilawati selepas isu tarif dengan Amerika Syarikat. “Mengapa Malaysia? Kerana keyakinan kepada kestabilan dan nilai strategik yang kita miliki,” katanya penuh yakin.
Dari Harapan ke Realiti – Seorang Pemimpin Dalam Pembikinan
Ramai yang mula melihat Nurul Izzah bukan hanya sebagai anak kepada Perdana Menteri, tetapi sebagai pemimpin masa depan negara. Beliau bukan sahaja memiliki pengalaman panjang dalam politik, tetapi lebih penting, mempunyai pemikiran yang tajam dan berakar kepada prinsip. Dalam usianya yang masih muda, beliau telah memikul peranan penting dalam membentuk naratif politik baru, berasaskan integriti, empati, dan keberanian moral.
Saya, secara peribadi, telah menjangkakan beliau mempunyai potensi besar untuk berada di Putrajaya satu hari nanti. Kini, dunia pun mula melihat sinar itu.
Penutup
Dari kepahaman saya terhadap perjalanan Nurul Izzah sejak zaman sekolah hingga ke hari ini bukan untuk memuja, tetapi untuk menyatakan yang benar. Dalam dirinya tersimpan warisan perjuangan dan keupayaan untuk mencorak masa depan. Jika politik Malaysia mahu bangkit dengan wajah baru yang jujur, berani, dan strategik maka kita perlukan pemimpin seperti Nurul Izzah. Dan Malaysia, kini, lebih dekat kepada perubahan itu daripada yang kita sangkakan.


More Stories
Padi Huma: Harapan Baharu di Tengah Krisis Beras
Menjunjung Titah Tuanku: Rukun Negara, Adab Bernegara dan Kedaulatan Institusi Raja Melayu
Melayu: Biar Berbeza Parti, Tetapi Tujuan Kita Satu