Mei 23, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Projek Warisan KL: Menyuntik Jiwa Baharu ke dalam Nadi Kuala Lumpur

Pada 25 April 2025, satu lembaran baharu bakal dilakar dalam sejarah pembangunan Kuala Lumpur apabila YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Projek Warisan KL, di bawah inisiatif Warisan Ibu Kota Malaysia MADANI. Projek ini bukan sekadar usaha memulihara struktur fizikal kota, tetapi satu ikhtiar membangkitkan kembali jati diri dan semangat Kuala Lumpur sebagai ibu kota yang hidup, berbudaya dan inklusif.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, projek ini merupakan simbol kepada usaha memulihkan jiwa kota, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan berasaskan nilai, adab dan peradaban. Dalam erti kata lain, Kuala Lumpur tidak lagi sekadar diukur melalui pencakar langit atau projek mega, tetapi dinilai melalui keupayaannya menyentuh kehidupan rakyat dan memperkukuh nilai bersama.

Membina Masa Depan Tanpa Melupakan Akar

Tunku Nashrul menegaskan bahawa Warisan KL adalah manifestasi prinsip pembangunan yang inklusif dan bermakna, membina masa depan tanpa meminggirkan akar budaya dan sejarah. Ia bukan sekadar menyelamatkan tapak bersejarah, tetapi lebih penting adalah menyemai rasa cinta rakyat kepada warisan budaya yang telah membentuk identiti kita sebagai sebuah bangsa.

Beliau turut menyatakan bahawa usaha kerajaan dalam memulihara tapak warisan ini adalah pelaburan strategik jangka panjang, bukan sahaja dari segi pelancongan, tetapi juga dari segi pembentukan sahsiah rakyat dan kesedaran sejarah. Ini selaras dengan pendekatan kerajaan yang tidak akan mengambil ringan terhadap sebarang mercu tanda bersejarah yang mempunyai nilai signifikan terhadap pembangunan negara.

Meredakan Tekanan, Menyatukan Hati Rakyat

Kita maklum bahawa dalam bulan Ramadan yang lalu, warga kota sedang menghadapi pelbagai cabaran, daripada tekanan kos sara hidup, kesesakan harian, hinggalah kepada kegusaran sosial. Dalam suasana yang mencabar ini, pelancaran Projek Warisan KL diharap menjadi suntikan moral dan spiritual kepada rakyat. Ia memberi isyarat bahawa kerajaan peduli, bukan sahaja terhadap fizikal kota, tetapi juga terhadap kesejahteraan jiwa rakyatnya.

Lebih daripada itu, projek ini juga diharap dapat menjadi titik temu untuk menyatukan hati pelbagai kaum di Kuala Lumpur, kota yang menjadi lambang kepelbagaian Malaysia. Dengan menekankan nilai budaya, sejarah dan jati diri bersama, inisiatif ini membuka ruang kepada seluruh rakyat, Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak dan lain-lain, untuk bersama-sama menghargai warisan dan merasai kebersamaan dalam membina masa depan.

Warisan KL & Akta Pembaharuan Bandar: Mesej yang Lebih Luas

Pelancaran Projek Warisan KL turut berlaku dalam konteks lebih besar—penggubalan dan pelaksanaan Akta Pembaharuan Bandar (Urban Renewal Act) yang sedang dirangka kerajaan. Akta ini bertujuan menangani pembangunan semula kawasan usang dan terbiar di bandar secara menyeluruh, adil dan bersepadu.

Dengan ini, Projek Warisan KL boleh menjadi model rintis kepada pendekatan pembaharuan bandar yang bukan sahaja bersifat fizikal tetapi turut mengambil kira aspek warisan, budaya, dan hak komuniti asal. Ia memberi mesej bahawa pembangunan semula tidak harus bermakna pengusiran atau penghakisan identiti. Sebaliknya, ia boleh menjadi satu proses yang menyembuhkan kota, menyatukan rakyat dan membina semula makna bersama.

Kuala Lumpur: Kota Milik Semua

Projek Warisan KL turut menghimpunkan pelbagai rakan strategik, termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Think City, Khazanah Nasional, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta pemain seni dan budaya tanah air. Semuanya berganding bahu untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai kota milik semua, bukan sahaja sebagai tempat tinggal dan bekerja, tetapi juga sebagai lambang penyatuan jiwa rakyat Malaysia yang berbilang latar.

Inilah wajah baharu Kuala Lumpur, sebuah kota yang membangun dengan akal dan jiwa, memelihara warisan sambil melangkah ke hadapan dengan yakin. Warisan KL bukan sekadar projek, tetapi satu naratif tentang siapa kita, dari, mana kita datang, dan ke mana kita mahu pergi bersama.