Mei 23, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Toleransi Di Peringkat Tertinggi: Islam Sebagai Agama Persekutuan dan Keadilan Sosial

Tindakan secara harmoni dan bijaksana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu pembinaan Masjid Madani di Jalan Masjid India menjadi cerminan kepada satu bentuk toleransi yang paling tinggi dalam sistem bernegara. Dalam konteks Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, keputusan ini bukan sekadar berasaskan hak pemilikan tanah tetapi juga keperluan masyarakat Islam di kawasan tersebut.

Islam Sebagai Agama Persekutuan: Hak dan Keutamaan

Perkara 3(1) jelas menyatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. Ini menunjukkan bahawa walaupun Islam diberi kedudukan istimewa, hak-hak penganut agama lain tetap dihormati. Dalam kes Masjid Madani ini, keputusan Perdana Menteri bukanlah satu bentuk penindasan terhadap agama lain, tetapi menegaskan bahawa pembangunan yang sah perlu diteruskan berdasarkan keperluan umat Islam di kawasan berkenaan.

Sikap toleransi di peringkat tertinggi bermaksud mengutamakan keadilan berasaskan undang-undang, bukan semata-mata tunduk kepada tekanan politik atau kebimbangan naratif antarabangsa yang mungkin diputarbelitkan. Seperti yang diungkapkan oleh seorang netizen, perlu ada persediaan menghadapi potensi fitnah dari media antarabangsa yang mungkin akan cuba menggambarkan keputusan ini secara negatif.

Toleransi Tidak Bererti Mengabaikan Hak Majoriti

Sering kali, dalam usaha menunjukkan keterbukaan dan toleransi, kepentingan majoriti diketepikan atas alasan menjaga keharmonian. Namun, dalam kes ini, Perdana Menteri menunjukkan bahawa prinsip keadilan harus ditegakkan tanpa mengabaikan hak mana-mana pihak.

Beliau bukan sahaja menegaskan hak pemilik tanah tetapi turut menekankan kepentingan perundingan yang baik dengan pihak kuil. Ini mencerminkan prinsip utama Islam dalam urusan sosial—bersikap adil tanpa menzalimi mana-mana pihak. Keputusan ini juga menepis dakwaan bahawa Kerajaan Madani hanya bertindak ‘lembut’ dalam isu-isu berkaitan agama Islam.

Mesej Kepimpinan Tegas dan Berprinsip

Keputusan ini menunjukkan keberanian kepimpinan yang tegas dalam mempertahankan Undang Undang serta hak umat Islam tanpa bertindak zalim kepada pihak lain. Dalam konteks politik, ketegasan ini meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara, terutama dalam isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan keperluan masyarakat Islam.

Seperti yang disebut oleh Perdana Menteri, jika semua aspek telah diperiksa dan hak telah dipastikan, maka tidak perlu tunduk kepada desakan luar yang tidak berasas. Ini adalah bentuk toleransi tertinggi—menghormati hak semua pihak tetapi tidak menggadaikan hak yang sah demi mengelakkan kontroversi.

Menghadapi Cabaran Persepsi Antarabangsa

Seperti yang dibangkitkan oleh Norizan Kamaruddin, media antarabangsa mungkin akan memutarbelitkan isu ini untuk memburukkan Malaysia. Kita tidak boleh menolak kemungkinan bahawa berita mengenai pembinaan masjid ini akan dipersepsikan secara negatif oleh pihak yang berkepentingan. Oleh itu, kerajaan perlu proaktif dalam menangani naratif ini dengan memberikan penerangan yang jelas kepada masyarakat antarabangsa.

Selain itu, umat Islam sendiri perlu bersatu dalam mempertahankan kebenaran, bukannya terpengaruh dengan propaganda yang boleh melemahkan pendirian negara. Sikap apologetik tanpa asas hanya akan membuka ruang kepada lebih banyak tuntutan yang tidak munasabah di masa hadapan.

Kesimpulanya

Keputusan Perdana Menteri untuk meneruskan pembinaan Masjid Madani tanpa tunduk kepada tekanan luar adalah satu contoh bagaimana toleransi di peringkat tertinggi harus berlandaskan prinsip keadilan dan keabsahan undang-undang. Toleransi bukan bermaksud mengalah kepada desakan yang tidak berasas, tetapi memastikan semua pihak mendapat hak mereka secara adil.

Dalam sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, keutamaan kepada keperluan umat Islam tidak seharusnya dipertikaikan, selagi ia dijalankan secara sah dan berlandaskan keadilan. Inilah keseimbangan yang perlu difahami Islam sebagai agama negara dihormati, sementara hak penganut agama lain tetap dijaga dalam semangat kesepakatan dan saling menghormati.

Oleh
Shahbudin Embun
Pengerusi Biro Kepimpinan Dan Pentadbiran Negara MPM