November 25, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Penutupan BBC Three, BBC Scotland dan Radio 4 Extra:  Isyarat Perubahan Industri Penyiaran Britain dan Serantau

Oleh Mohamad Letfee Ahmad

Satu perkembangan penting berlaku dalam sejarah penyiaran Britain apabila British Broadcasting Corporation (BBC) memutuskan untuk menutup saluran televisyen BBC Three dan BBC Scotland serta Radio 4 Extra menjelang musim bunga tahun hadapan sebagai sebahagian daripada usaha penjimatan sebanyak £500 juta dalam tempoh dua tahun.

Langkah mengubah kaedah siaran ketiga-tiga saluran itu daripada model penyiaran tradisional kepada ekosistem media digital menerusi platform seperti BBC iPlayer dan BBC Sounds mencerminkan kesediaan BBC untuk memenuhi permintaan penonton.

Keputusan ini selaras dengan tuntutan masa depan industri yang terpaksa tunduk kepada realiti penyiaran perkhidmatan awam, kepelbagaian kandungan, peluang pekerjaan dalam industri kreatif serta tanggungjawab institusi penyiaran nasional untuk memenuhi keperluan seluruh lapisan masyarakat.

Perubahan strategi BBC

BBC kini berhadapan tekanan kewangan yang semakin ketara, termasuk kemerosotan hasil pendapatan dan peningkatan kos penerbitan serta pengedaran kandungan siaran.

Menurut laporan berkenaan, BBC kehilangan kira-kira 30 peratus hasil pendapatan dalam tempoh sedekad.

Situasi tersebut memaksa pengurusan  membuat pilihan bagi memastikan operasi dan penghasilan kandungan utama dapat diteruskan.

Langkah penyusunan semula ini bukan perubahan kecil.  Selain daripada penjimatan £500 juta dalam tempoh dua tahun, jumlah jawatan juga akan berkurangan antara 1,800 hingga 2,000 jawatan.

Menurut bekas Pengerusi ITV, Sir Peter Bazalgette, penutupan saluran hanyalah sebahagian daripada strategi utama untuk mengurangkan perbelanjaan, termasuk kos pengedaran dan pengurusan operasi.

“Langkah itu sebagai pakej penjimatan yang munasabah kerana BBC cuba melindungi perbelanjaan untuk kandungan sambil mengurangkan kos penyampaian,” katanya.

Pandangan ini mempunyai asas ekonomi yang jelas. Dalam landskap media hari ini, jika sebahagian besar audiens sudah beralih kepada kaedah penstriman, mengekalkan banyak saluran linear dengan jadual siaran tersendiri mungkin tidak lagi memberikan pulangan yang setimpal.

Walau bagaimanapun, penjimatan tidak semestinya meningkatkan keberkesanan secara automatik.

Persoalan sebenarnya ialah sama ada mutu, kepelbagaian kandungan dan kebebasan editorial kandungan BBC mampu dikekalkan selepas struktur penyiaran tersebut diubah.

Peralihan digital: Peluang atau risiko?

BBC Three mempunyai sejarah tersendiri dalam landskap penyiaran Britain. Saluran yang menyasarkan penonton muda itu pernah menghasilkan beberapa kandungan popular seperti Fleabag, Normal People dan Gavin & Stacey.

Penutupan saluran televisyen linear itu tidak  bermakna jenamanya akan lenyap begitu sahaja.

BBC merancang meneruskan penyiaran program melalui iPlayer serta YouTube.

Namun demikian,  peralihan digital bukan sesuatu yang mudah.

Saluran itu pernah bertukar menjadi perkhidmatan dalam talian sepenuhnya pada 2016 sebelum kembali sebagai saluran televisyen pada 2022.

Namun, BBC perlu berpijak kepada realiti.  Keputusan untuk kembali kepada model dalam talian merupakan langkah paling strategik.  

 Organisasi penyiaran awam itu terpaksa menerima hakikat bahawa menentukan keseimbangan antara keperluan penonton, kos operasi dengan nilai strategik saluran tradisional adalah sesuatu yang amat sukar.

Kelebihan utama platform digital ialah fleksibiliti.  Penonton tidak perlu menunggu waktu siaran tertentu dan boleh memilih kandungan mengikut kesesuaian masa.

Penerbit juga mempunyai ruang untuk menghasilkan program yang lebih khusus bagi kelompok audiens tertentu tanpa perlu terikat dengan jadual siaran harian.

Namun, terdapat risiko bahawa kandungan akan semakin bergantung pada algoritma, populariti dan jumlah tontonan.

Program yang mempunyai nilai pendidikan, kebudayaan atau kepentingan awam tetapi kurang menarik perhatian audiens muda mungkin menjejaskan jumlah tontonan.

Implikasi kepada penyiaran awam 

Penutupan BBC Scotland mempunyai kesan yang lebih besar kerana saluran itu diwujudkan untuk mengetengahkan identiti, budaya, politik dan kehidupan masyarakat Scotland.

Saluran yang mula bersiaran pada 2019 itu menyediakan program berita, sukan, dokumentari dan hiburan yang memberi tumpuan kepada perspektif masyarakat Scotland.

Walaupun kandungannya akan terus tersedia di iPlayer dan sebahagiannya disiarkan melalui BBC One serta BBC Two di Scotland, kehilangan saluran khusus boleh menjejaskan keterlihatan kandungan tempatan.

Lebih membimbangkan, penutupan saluran tersebut akan menyebabkan program Reporting Scotland: News at Seven ditamatkan.

Isunya bukan sama ada penonton masih boleh mencari kandungan berkenaan dalam talian. Persoalan yang lebih besar ialah sama ada masyarakat Scotland akan terus menikmati ruang penyiaran yang konsisten untuk mengetengahkan isu dan perspektif mereka sendiri.

Isu yang sama juga berlaku kepada Radio 4 Extra. Walaupun kebanyakan kandungannya terdiri daripada bahan arkib seperti drama, komedi dan dokumentari, saluran itu memainkan peranan dalam memelihara khazanah penyiaran BBC.

Walaupun perpindahan sebahagian kandungannya ke BBC Sounds membuka ruang untuk memperluas akses digital, ini tidak semestinya menjamin penggunaan kandungan arkib secara meluas.

Penyiaran perkhidmatan awam mempunyai tanggungjawab yang lebih besar daripada mengejar jumlah penonton. Ia perlu menyediakan kandungan yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat dan memelihara warisan budaya.  

Di samping itu, ia juga perlu memastikan golongan yang kurang mendapat perhatian pasaran komersial tidak terpinggir.

Kesan terhadap industri penyiaran

Pengurangan sehingga 2,000 jawatan dijangka memberi kesan kepada pekerja dalam pelbagai bidang, termasuk penerbitan, kewartawanan, teknikal, pengurusan dan sokongan produksi.

Penutupan saluran turut menjejaskan rantaian ekonomi industri kreatif.  Syarikat produksi bebas, pengarah, penulis skrip, pelakon, juruteknik serta pekerja bebas yang bergantung pada pembekalan program kepada BBC akan menerima kesan ekonomi yang paling besar.

Peluang untuk bakat baharu membina pengalaman dan mendapatkan pembiayaan mungkin semakin terhad.

Kebimbangan terhadap perkembangan ini wajar diberi perhatian. 

Langkah pengurangan kos boleh mengorbankan ekosistem tenaga kerja dan keupayaan penghasilan kandungan berkualiti.

Pada masa yang sama, perubahan ini boleh mempercepatkan kemunculan model produksi baharu yang berteraskan kandungan digital, siri pendek, dokumentari khusus dan kerjasama dengan platform penstriman.

Syarikat produksi yang mampu menyesuaikan diri berpotensi mendapat peluang baharu, tetapi persaingan untuk mendapatkan perhatian penonton juga akan menjadi lebih sengit.

Pengajaran kepada industri penyiaran Malaysia dan Asia Tenggara

Perkembangan di Britain mempunyai kaitan langsung dengan industri penyiaran serantau, termasuk Malaysia.

Walaupun struktur pembiayaan, pasaran dan kawal selia penyiaran di rantau ini berbeza, perubahan tabiat penonton berlaku dalam trend yang hampir sama.

Gaya hidup audiens semakin dipengaruhi oleh platform media sosial termasuk YouTube, Netflix, TikTok dan pelbagai perkhidmatan penstriman untuk mendapatkan hiburan, berita serta kandungan khusus.

Golongan muda tidak lagi menganggap saluran televisyen sebagai sumber utama kandungan.

Kecenderungan memilih program berdasarkan minat, kemudahan akses dan cadangan platform digital memberikan tekanan kepada penyiar tradisional seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3 dan penyedia kandungan lain untuk memperkukuh strategi digital masing-masing.

Namun, transformasi digital hadir dengan cabaran yang lebih besar.  Selain daripada memindahkan program televisyen ke internet, penyiar tempatan perlu membangunkan strategi penghasilan dan pengedaran kandungan yang sesuai dengan tabiat baharu pengguna.

Stesen TV perlu memperkukuh aplikasi penstriman, menyediakan kandungan atas permintaan, memanfaatkan media sosial dan membangunkan program yang relevan kepada kelompok penonton khusus.

Walau bagaimanapun, penyiar awam dan swasta mempunyai tanggungjawab yang berbeza.

RTM, misalnya, mempunyai tanggungjawab untuk menyampaikan maklumat, pendidikan dan kandungan kenegaraan kepada masyarakat pelbagai kaum.  Justeru, keputusan mengurangkan saluran atau mengalihkan kandungan sepenuhnya ke platform digital perlu mengambil kira akses pelbagai golongan seperti warga emas, penduduk luar bandar dan mereka yang mempunyai keterbatasan capaian internet.

Rantau Asia Tenggara masih berhadapan isu keterangkuman digital.

Tidak semua masyarakat mempunyai akses internet berkelajuan tinggi atau kemampuan melanggan pelbagai perkhidmatan penstriman.

Penyiar awam yang terlalu cepat meninggalkan platform tradisional akan menghadapi risiko kehilangan audiens.   

Sebilangan anggota masyarakat akan kehilangan akses kepada kandungan yang sepatutnya menjadi hak mereka.

Bagi penyiar di rantau Asia Tenggara, masa hadapan penyiaran bukan lagi ditentukan oleh berapa banyak saluran yang dimiliki, tetapi sejauh mana masyarakat dapat mengakses kandungan berkualiti.