Oleh: Ahmad Ismail
Apabila berbincang tentang persediaan bakat masa hadapan, peluang pekerjaan, dan status ekonomi rakyat, ramai membandingkan Malaysia dengan Singapura yang telah lama membangun meninggalkan Malaysia. Malaysia mesti bersedia untuk menyaingi Singapura, khususnya dalam tren semasa di mana Selat Melaka kembali menjadi tumpuan dunia sebagai laluan perdagangan utama Timur dan Barat. Sejarah lama berulang, dan limpahan perniagaan antarabangsa ini pasti memberi kesan besar kepada ekonomi, alam sekitar, keamanan, serta kesejahteraan rakyat Malaysia. Dalam menghadapi jangkaan tersebut, kualiti sumber manusia dan penguasaan teknologi akan menjadi penentu utama.
Sejarah pembangunan tenaga kerja asing di Singapura dan Malaysia memperlihatkan dua trajektori berbeza tetapi saling berkait. Singapura sejak 1960-an telah beralih daripada buruh kasar kepada tenaga kerja berkemahiran tinggi, manakala Malaysia masih bergelut dengan kebergantungan terhadap buruh murah walaupun sedang memacu agenda automasi. Perbandingan ini penting kerana ia memberi gambaran jelas tentang cabaran yang menanti rakyat Malaysia dalam pasaran kerja masa hadapan.
Singapura kini hanya menerima pekerja asing melalui sistem ketat seperti Employment Pass (EP) yang menapis bakat global dengan kelayakan akademik tinggi. Malaysia pula masih mengekalkan buruh asing dalam sektor 3D (Dirty, Dangerous, Difficult), tetapi dasar semasa menunjukkan usaha untuk mengehadkan kebergantungan ini dan beralih kepada tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor teknologi digital, semikonduktor, dan kecerdasan buatan (AI).
Singapura telah lama melaksanakan strategi pendidikan yang agresif untuk memastikan rakyatnya tidak ditenggelami oleh persaingan global. Pendidikan STEM diperkenalkan sejak sekolah rendah, manakala universiti mereka menawarkan program khusus dalam bidang masa depan seperti AI dan pengkomputeran kuantum. Inisiatif SkillsFuture pula mewajibkan rakyat dewasa melakukan latihan semula dan peningkatan kemahiran secara berkala, memastikan tenaga kerja tempatan sentiasa relevan dengan kehendak industri.
Malaysia, walaupun mempunyai sistem pendidikan yang luas, masih berdepan cabaran dalam memastikan kesinambungan antara sekolah, universiti, dan pasaran kerja. Ramai pelajar selepas SPM masih keliru tentang laluan kerjaya, dan maklumat tentang peluang matrikulasi, politeknik, vokasional, atau perguruan sering kali diberikan terlalu lewat. Perancangan kerjaya sepatutnya bermula sejak peringkat menengah rendah agar pelajar dapat membina kemahiran asas mengikut minat kerjaya mereka.
Alam pekerjaan masa hadapan akan ditentukan oleh penguasaan teknologi digital dan AI. Sektor seperti keselamatan siber, analisis data, bioteknologi, dan kejuruteraan semikonduktor akan menjadi nadi ekonomi global. Malaysia mesti memastikan rakyatnya bukan sahaja mampu bersaing di peringkat tempatan, tetapi juga di pentas antarabangsa.
Jika Singapura telah melangkah jauh dengan kolaborasi universiti dan syarikat teknologi global, Malaysia perlu lebih bersedia. Kongres Pendidikan Bumiputera serta dasar pendidikan nasional mesti diperkukuhkan untuk menyaingi persediaan ini. Tanpa langkah berani, Malaysia akan terus bergantung kepada tenaga asing berkemahiran tinggi, sekali gus mengekalkan jurang gaji dan peluang pekerjaan antara rakyat tempatan dan ekspatriat.
Untuk memastikan rakyat Malaysia bersedia menghadapi alam pekerjaan masa hadapan, beberapa langkah konkrit perlu dilaksanakan. Pertama, pendidikan awal berorientasikan kerjaya mesti diperkenalkan sejak menengah rendah agar pelajar dapat memilih bidang mengikut minat dan potensi. Kedua, penguasaan STEM dan literasi digital seperti pengekodan, analisis data, dan asas AI perlu dijadikan kurikulum wajib di sekolah menengah. Ketiga, program mempelajari kemahiran baharu dan menambahbaik kemahiran sedia ada sepanjang hayat mesti diperluas dengan subsidi kerajaan, memastikan pekerja dewasa tidak ketinggalan dalam era automasi. Keempat, universiti tempatan perlu bekerjasama dengan syarikat teknologi global untuk melahirkan graduan yang sedia industri. Kelima, had siling pekerja asing mesti diperkukuh, dengan penekanan kepada automasi dan mekanisasi dalam sektor pembinaan dan perladangan.
Transformasi tenaga kerja asing di Singapura membuktikan bahawa kejayaan ekonomi masa hadapan bergantung kepada “kekuatan minda” dan bukannya “kekuatan otot”. Malaysia kini berada di persimpangan penting, sama ada terus bergantung kepada buruh murah atau melangkah berani ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan.
Persediaan rakyat Malaysia dalam menghadapi alam pekerjaan masa hadapan bukan sekadar isu pendidikan, tetapi juga isu kelangsungan hidup. Kongres Pendidikan Bumiputera dan dasar negara mesti mengarah kepada mengurangkan kebergantungan kepada tenaga asing dan melahirkan generasi pekerja tempatan yang berdaya saing, berkemahiran tinggi, serta bersedia menghadapi dunia yang semakin mencabar dan penuh ketidaktentuan.

More Stories
TVET di Mercu Pasaran Kerja: Mengubah Pendidikan, Membina Masa Depan Negara
Proclamation of Independence – 1957 and Today…
Correcting Malaysia’s Many Missteps…