Ogos 29, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Malaysia Perlu Jadi Pembekal Bahan Kandungan Kreatif Dunia

Oleh:  Mohamad Letfee Ahmad

Sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya, sejarah dan warisan, Malaysia menyimpan satu aset penting yang mampu memacu industri kreatif negara, iaitu kekayaan sumber cerita.  Setiap komuniti dan generasi dari seluruh pelosok negara memiliki warisan cerita yang mampu menyentuh emosi manusia sejagat.     

Dalam era ekonomi digital ini, cerita bukan sahaja berfungsi sebagai hiburan semata-mata.  Cerita boleh menjadi produk ekonomi dan diplomasi budaya sesebuah negara. 

Kuasa ekonomi dunia seperti Korea Selatan, Jepun, India, Turkiye, Britain, Perancis dan Amerika Syarikat telah berjaya menterjemah cerita manusia yang kelihatan biasa menjadi kandungan kreatif yang menjana pendapatan melalui harta intelek.

Malaysia juga boleh mencapai pembangunan ekonomi yang serupa.  Apa yang perlu dilakukan hanyalah membangunkan dan mengkomersialkan cerita-cerita milik negara  secara strategik.

Walaupun kecil, Malaysia memiliki banyak khazanah naratif yang masih belum diterokai dan diceritakan kepada dunia.  Kesultanan Melayu Melaka, misalnya, merupakan sebuah pemerintahan yang menjadi pusat perdagangan dunia pada abad ke-15.  Pusat pemerintahan Melaka, dari era Parameswara hingga Sultan Mahmud Shah, mengandungi pelbagai unsur kepimpinan, diplomasi, strategi peperangan, perdagangan antarabangsa dan pertembungan tamadun yang dicemburui oleh kuasa besar ketika itu seperti China, Portugal dan Belanda. 

Kisah Laksamana Hang Tuah lima bersahabat, Bendahara Tun Perak, Sultan Mansur Shah dan tokoh-tokoh lain masih mempunyai nilai kemanusiaan dan kepemimpinan yang tinggi untuk diterjemahkan ke dalam genre filem epik, siri televisyen atau kandungan digital  bertaraf antarabangsa.

Di Kedah, kegemilangan Lembah Bujang yang berusia lebih seribu tahun itu dikagumi oleh negara serantau sebagai antara pusat ketamadunan terawal di Asia Tenggara. Kompleks arkeologi, yang mempunyai nilai sejarah yang tinggi itu, masih menjadi inspirasi kepada pelbagai kandungan kreatif termasuk dokumentari, drama sejarah, animasi dan karya ilmiah. 

Di Borneo pula, sejarah kerajaan awal di Sabah, Sarawak dan Kesultanan Brunei, serta hubungan perdagangan dengan Kepulauan Melayu, China, India, Timur Tengah dan kuasa-kuasa Barat turut menyediakan pelbagai naratif yang masih belum diterokai. 

Begitu juga dengan kisah puluhan etnik seperti Iban, Bidayuh dan Melanau di Sarawak serta Kadazandusun, Bajau dan Murut di Sabah yang kaya dengan warisan legenda, mitos, adat resam dan budaya yang unik.  Semua ini menjadi sumber inspirasi dalam penghasilan kandungan kreatif yang asli serta beridentiti Malaysia.

Perjuangan membebaskan negara daripada belenggu penjajahan juga menyediakan bahan penceritaan menarik yang memaparkan semangat kebangsaan, patriotisme, pengorbanan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.  

Selain daripada itu, tokoh pemimpin yang memainkan peranan penting dalam pembentukan Malaysia masih belum diberikan perhatian sewajarnya dalam karya-karya popular.  Kisah mereka bukan sahaja penting sebagai bahan pendidikan sejarah, malah mampu menyemai rasa cinta kepada negara dalam kalangan generasi muda melalui medium filem, drama, dokumentari dan kandungan digital.

Etnik Orang Asli juga kaya dengan falsafah kehidupan, hubungan manusia dengan alam, nilai kemanusiaan dan warisan adat resam yang unik.  Naratif golongan ini  mempunyai kesitimewaan tersendiri. Perspektif kehidupan mereka jarang diketengahkan kepada pentonton global.  

Pemaparan kisah hidup Orang Asli akan dapat mengubah persepsi sesetengah anggota masyarakat tempatan dan antarabangsa terhadap hak masyarakat pribumi yang sering tercicir daripada arus pemodenan yang dinikmati oleh masyarakat massa.  

Penerbitan bahan kandungan kreatif mengenai Orang Asli, terutama kaum Kanaq di Kampung Selangi, Kota Tinggi, Johor, yang dilaporkan semakin pupus, akan juga memangkin usaha memelihara warisan budaya mereka, sekali gus mengetengahkan warisan itu kepada masyarakat dunia.

Integrasi masyarakat Melayu, Cina, India, Sikh, Baba dan Nyonya, Portugis Melaka, Chetti, etnik Sabah dan Sarawak, Orang Asli serta pelbagai komuniti lain membentuk kelompok masyarakat yang kaya dengan warisan dan budaya yang tidak terdapat pada negara lain.  Hubungan unik ini diterjemahkan melalui asimilasi kepelbagaian budaya dan adat resam  yang mampu melahirkan kandungan kreatif yang bernilai tinggi.

Karya-karya kreatif yang memaparkan keunikan masyarakat Malaysia ini boleh dijadikan bahan promosi bagi memikat pelancong luar melawat negara ini selain digunakan sebagai bahan menarik pengeluar filem antarabangsa melabur atau menjadikan negara ini sebagai lokasi penggambaran.  

Selain filem, pemaparan sambutan perayaan, makanan tradisional, seni persembahan, permainan rakyat, bahasa dan adat resam masyarakat Malaysia boleh menjadi latar penceritaan untuk novel, kandungan media sosial dan pelbagai bentuk harta intelek.

Di samping sejarah dan budaya, negara ini juga mempunyai banyak kisah kejayaan dalam bidang lain seperti sains, teknologi, inovasi dan perubatan.  Kejayaan saintis, jurutera, penyelidik, doktor dan teknologis tempatan boleh diketengahkan kepada pengkarya tempatan dan luar negara.  

Pencapaian tokoh seperti Dr. Thein Swee Lay, iaitu rakyat Malaysia pertama menerima anugerah Breakthrough Prize yang juga digelar sebagai Oscars of Science, serta Prof. Emerita Tan Sri Dr. Mazlan Othman, ahli astrofizik wanita pertama negara, tidak harus menjadi hiasan di rak buku universiti dan bahan pameran arkib sahaja.  

Kisah-kisah mereka perlu ditonjolkan kepada masyarakat dunia melalui medium popular seperti filem atau siri televisyen melalui saluran global seperti Discovery Channel.  

Dalam bidang sukan, Malaysia juga setanding dengan negara-negara lain dalam beberapa acara seperti badminton, lumba basikal dan skuasy.  Komuniti sukan antarabangsa mengagumi tokoh-tokoh sukan negara seperti  Datuk Tan Aik Huang (juara perseorangan all-England, 1966); Datuk Misbun Sidek (juara Terbuka Jerman, Sweden, dan Kanada); Dato’ Seri Lee Chong Wei (juara tiga Kejohanan All-England dan pemenang pingat emas perseorangan dalam tiga Sukan Komanwel); Dato’ Azizulhasni Awang (lumba basikal) dan Datuk Nicol Ann David (skuasy) yang mempunyai nilai perjuangan, disiplin dan ketabahan yang mampu menyentuh hati.  

Perjuangan mereka untuk berada di mercu kejayaan perlu ditonjolkan sebagai sumber inspirasi kepada para pengkarya.

Citra negara akan menjadi aset berharga buat negara apabila disokong oleh ekosistem yang merangkumi keseluruhan rantaian industri kreatif bermula daripada penyelidikan, pendokumentasian bahan, pembangunan dan penulisan manuskrip, pembangunan kandungan buku, filem dan produk digital, pendanaan, latihan bakat, penerbitan, pemasaran, pengedaran serta pelesenan dan perlindungan hak cipta dan harta intelek pada peringkat antarabangsa.

Kejayaan usaha ini bergantung kepada kerjasama semua pemegang taruh termasuk  kerajaan, badan kawal selia industri, institusi pendidikan, badan penyelidikan, penerbit, syarikat produksi, platform penstriman, syarikat teknologi, pelabur serta pertubuhan  dan penggiat industri kreatif.  

Pencipta kandungan seperti penulis, pengkarya, sejarawan, budayawan dan penyelidik juga perlu disokong bagi memastikan mereka dapat menghasilkan kandungan berkualiti, kreatif dan berfakta agar mampu menembusi pasaran antarabangsa.

Masanya sudah tiba bagi Malaysia untuk muncul sebagai sebuah negara pembekal kandungan kreatif dunia.  Permintaan terhadap kandungan tempatan yang asli dan belum dicemari unsur pemodenan, semakin meningkat dalam kalangan penerbit kandungan terutama yang bergiat dalam industri media digital.  

Penonton antarabangsa kini sudah kembali beralih kepada cerita yang mempunyai identiti dan nilai budaya yang kuat. 

Teknologi digital sudah membuka ruang untuk Malaysia meneroka pasaran kreatif sebagai pembekal cerita sama ada melalui kandungan terbitan pengkarya tempatan atau menjual idea kandungan kreatif kepada penerbit luar.  Dengan teknologi yang lebih canggih serta dana pembiayaan yang lebih besar, sudah pasti sumber bahan tempatan akan terhasil sebagai karya bertaraf dunia dan diakses oleh jumlah audiens yang lebih besar.  

Jika agenda ini dapat direalisasikan, Malaysia akan dikenali sebagai sebuah negara yang kaya dengan warisan sejarah dan budaya.  Hal ini sudah pasti akan membentuk identiti, jenama dan legasi yang akan memacu pembangunan ekonomi serta mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa.