Mei 22, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Padi Huma: Harapan Baharu di Tengah Krisis Beras

Oleh Prof. Dr. Ahmad Ismail, FASc,

Malaysia kini berada di ambang krisis makanan. Kos baja, racun, dan benih terkawal melonjak, ditambah pula dengan pengurusan air yang tidak menentu, musim kemarau berpanjangan, serta tekanan kartel dan dominasi beras import. Rakyat mula resah kerana makanan ruji negara ini seolah-olah tidak lagi terjamin. Persoalannya, apa akan terjadi jika krisis beras bertembung dengan bencana alam, penyakit berjangkit, atau perang ekonomi global? Jawapannya jelas, negara akan terdedah kepada goncangan yang lebih dahsyat.

Dalam keadaan genting ini, padi huma muncul sebagai harapan baharu. Tanaman tradisional di tanah tinggi dan pinggir hutan ini tidak bergantung kepada sistem pengairan sawah yang kompleks. Ia boleh ditanam di persekitaran rumah, dalam skala kecil, dan digabungkan dengan inovasi moden seperti mesin padi mini bergerak, sistem fertigasi, atau tanaman polibeg.

Kaedah polibeg menjadikan padi huma lebih praktikal kerana varieti ini tidak memerlukan air bertakung seperti padi sawah biasa. Jika dijalankan secara intensif, ia bukan sahaja membantu masyarakat desa, tetapi juga menyokong kestabilan harga beras di bandar.

Pengalaman tanaman padi bukit di Sabah dan Sarawak, termasuk varieti terkenal seperti Beras Bario yang beraroma dan berkualiti tinggi, membuktikan potensi besar padi huma. Dengan teknologi MARDI, pengeluaran Beras Bario di Sarawak meningkat sehingga tiga kali ganda. Begitu juga di Sabah dan komuniti Orang Asli di Semenanjung, hasil tanaman menunjukkan peningkatan signifikan.

Kejayaan ini tidak boleh dipandang ringan. Sabah membangunkan Keningau sebagai hab moden dengan mekanisasi dan skim subsidi pertanian, manakala komuniti Orang Asli mengekalkan padi bukit skala komuniti yang kini diintegrasikan sebagai produk agropelancongan berpendapatan tinggi.

Padi huma berdepan cabaran serangan burung, babi hutan, dan haiwan liar. Namun, teknologi moden seperti jaring, sensor penggera, dan fertigasi boleh digabungkan untuk menjadikannya sumber makanan strategik yang konsisten.

Galakan luar bandar mesti diperkukuh melalui agihan benih percuma, input pertanian, bengkel latihan, dan pemantauan teknik penanaman moden. Wujudkan jaminan pembelian balik oleh koperasi untuk pendapatan petani. Suntik minat masyarakat dengan pertandingan laman padi kreatif serta promosi kisah kejayaan petani di media sosial.

Andaikan padi polibeg matang dalam 100 hari melalui fasa pertumbuhan hingga menuai. Keluarga empat orang memerlukan 26.6kg beras sebulan (320kg setahun). Jika hasil purata 75g beras dalam satu polibeg, sekitar 355 polibeg aktif diperlukan bagi setiap bulan untuk menampung keperluan makanan bulanan keluarga secara sara diri.

Institusi penyelidikan seperti MARDI dan universiti, Jabatan Pertanian, NGO, serta sektor korporat mesti segera berganding bahu. Kajian varieti tanaman, rantaian bekalan, hingga ke peringkat pengeluaran beras mesti dilakukan dengan model yang jelas. FELDA, dengan kawasan tersusun dan berstruktur, boleh menjadi pelopor projek segera ini.

Statistik menunjukkan Malaysia masih bergantung kepada beras import sekitar 30–40% daripada keperluan domestik. Kos pelaksanaan sawah padi semakin meningkat, manakala kartel terus menguasai edaran. Petani kecil semakin terhimpit, dan tanpa intervensi segera, mereka mungkin meninggalkan sektor ini.

Kerajaan pula mesti memperkukuh kawalan terhadap kartel beras dan memastikan harga tidak dimanipulasi. Tanpa kawalan rantaian bekalan, usaha meningkatkan pengeluaran domestik akan sia-sia.

Padi huma bukan sekadar nostalgia pertanian tradisional. Ia adalah simbol daya tahan rakyat dalam menghadapi krisis makanan. Dengan suntikan dana input pertanian, teknologi moden, dan sokongan dasar kerajaan, padi huma boleh menjadi komponen pelengkap penting untuk jaminan makanan sara diri.

Jika digabungkan dengan varieti padi sawah berpotensi tinggi, padi huma mampu menstabilkan harga beras dan menjamin keterjaminan makanan nasional. Jika kita gagal bertindak sekarang, masa depan bekalan beras Malaysia akan terus berada dalam bahaya.