Oktober 5, 2025

malay.today

New Norm New Thinking

Himpunan Solidariti Rakyat Tolak RUU URA: Pendirian Tegas MPM

Sabtu, 4 Oktober 2025 – Kuala Lumpur menyaksikan satu lagi detik penting suara rakyat apabila Himpunan Solidariti Rakyat diadakan di hadapan SOGO bagi menyatakan penolakan terhadap Rang Undang-Undang URA. Majlis Perundingan Melayu (MPM) turut hadir memberi sokongan penuh, sekali gus mempertegas pendiriannya menolak RUU tersebut.

Sehari sebelumnya, pada Jumaat 3 Oktober, MPM telah diundang ke Konvensyen RUU URA anjuran UMNO di WTC sebagai salah seorang pembentang. Dalam sesi tersebut, jelas kelihatan bahawa deraf sedia ada RUU URA ditolak secara menyeluruh oleh semua pembentang, termasuklah MPM.

Isu Maruah, Kedaulatan dan Agenda Tersirat

Dalam ucapannya di hadapan ribuan peserta himpunan, MPM menegaskan bahawa penolakan terhadap URA bukan sekadar soal pembangunan. Bagi MPM, agenda tersirat di sebalik RUU ini adalah usaha pihak cauvinis dalam kerajaan, bersama sekutu mereka dalam sektor ekonomi, untuk menguasai tanah rakyat.

MPM turut mengaitkan perjuangan rakyat Palestin di Gaza yang mempertahankan tanah air mereka meskipun bermandi darah, dengan perjuangan rakyat Malaysia menolak URA. Tanah, tegas MPM, adalah maruah dan kedaulatan bangsa. Walaupun penolakan di Malaysia belum sampai ke tahap pertumpahan darah, prinsip mempertahankan hak milik tanah tetap sama.

Bukti Keikhlasan: Selamatkan Projek “Mayat”

MPM mencabar kerajaan dan pemaju untuk membuktikan keikhlasan mereka. Jika benar RUU URA bermotifkan pembangunan, selesaikan terlebih dahulu projek-projek terbengkalai yang kini menjadi “projek mayat” seperti Plaza Rakyat dan Grand Hyatt oleh Duta Yap. Kegagalan menghidupkan kembali projek-projek ini menunjukkan bahawa tumpuan sebenar bukan pada kepentingan rakyat, tetapi pada agenda tersirat untuk mengambilalih hartanah persendirian melalui saluran undang-undang.

Memorandum MPM: Tidak Dipedulikan

Sebagai institusi pemikir bangsa, MPM telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas untuk meneliti deraf RUU URA. Hasil kajian itu telah didokumenkan dalam sebuah Memorandum yang dihantar kepada Ketua Pengarah PLANMalaysia dan Perdana Menteri. Malangnya, tiada sebarang respon diberikan.

Memorandum tersebut menegaskan bahawa pra-syarat sokongan MPM terhadap URA ialah kemasukan dua perkara penting dalam Preamble RUU:

  1. Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan – jaminan hak dan kepentingan bumiputera.
  2. Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan – jaminan kerajaan untuk melindungi hak milik harta semua rakyat Malaysia.

Namun, apabila cadangan ini tidak diendahkan, ia membawa maksud jelas – kerajaan tidak berminat menerima usul MPM. Seperti yang ditegaskan oleh Setiausaha Agung MPM, “Checkmate, Game Over.”

Penolakan Muktamad

Dengan itu, MPM secara rasmi menolak RUU URA dalam bentuk deraf yang telah dicetak, walaupun kerajaan mungkin berusaha “bulldoze” kelulusan di Dewan Rakyat, diperakui Dewan Negara, dan akhirnya diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Himpunan pada petang Sabtu ini bukan sekadar simbolik, tetapi manifestasi suara rakyat yang menolak kezaliman dan penindasan terhadap hak pemilikan tanah. Seperti yang ditegaskan oleh MPM, perjuangan ini adalah soal maruah, kedaulatan, dan tanggungjawab generasi kini untuk mempertahankan hak tanah warisan bangsa.

Dato’ Dr Hasan Mad

Setiausaha Agung MPM

Sabtu, 4 Oktober 2025