Mei 23, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Masjid: Simbol Kesatuan, Ilmu, dan Kebangkitan Umat

Masjid bukan sekadar tempat sujud bagi umat Islam, tetapi lambang kesatuan, ilmu, dan kebangkitan ummah. Perkataan masjid (مسجد) berasal daripada akar kata sajada (سجد), yang bermaksud sujud melambangkan rasa rendah diri, kepatuhan, dan penghambaan sepenuhnya kepada Allah SWT. Lebih daripada itu, masjid menyatukan umat Islam dari pelbagai latar belakang dalam satu akidah dan keimanan yang sama, mengukuhkan perpaduan dan keharmonian masyarakat.

Membangun dan Memakmurkan Masjid

Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang membina masjid kerana mengharapkan reda Allah, Allah akan membina untuknya sebuah rumah di syurga.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Malah, dalam riwayat lain, Baginda SAW menyatakan bahawa sesiapa yang membangun masjid, walaupun sebesar tempat burung bertelur, akan diberi balasan sebuah rumah di syurga. Ini menunjukkan betapa besarnya ganjaran membangun rumah Allah, lebih-lebih lagi jika ia memberi keselesaan kepada ribuan jemaah, dihiasi seni bina yang indah, dan menyediakan suasana ibadah yang khusyuk.

Allah SWT berfirman:

“Hanyasanya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, maka adalah diharapkan mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk.”

(Surah At-Taubah: 18)

Memakmurkan masjid bukan hanya dalam aspek fizikal membaik pulih, menghias, dan menjaga kebersihan tetapi juga dari segi amal ibadah dan aktiviti ilmu.

Masjid Sebagai Pusat Ilmu dan Dakwah

Sejak zaman Rasulullah SAW, masjid berfungsi sebagai pusat pembelajaran dan pembangunan masyarakat. Dr. Yusuf Al-Qaradawi menegaskan bahawa masjid bukan hanya tempat solat, tetapi juga pusat ilmu, dakwah, kebajikan, kesihatan, dan pertemuan ummah. Masjid zaman Nabi SAW menjadi tempat:

• Mengajar ilmu agama dan menghidupkan majlis ilmu.

• Memberi pertolongan kepada fakir miskin.

• Mengurus hal ehwal jihad dan peperangan.

• Mengatur pertemuan dengan diplomat asing.

• Menyebarkan maklumat penting kepada masyarakat.

Justeru, mengimarahkan masjid hari ini harus merangkumi pelbagai program yang membangun jiwa dan intelektual umat Islam, seperti:

• Pengajian pondok moden dan tahfiz Al-Quran.

• Daurah ilmu dalam bidang tauhid, fiqh, dan tasawuf.

• Kesenian Islam, termasuk hadrah, nasyid, maulid, dan berzanji.

• Program kepimpinan belia Muslim.

• Kempen ekonomi dan keusahawanan berasaskan prinsip Islam.

• Pensijilan Fardu Ain untuk masyarakat setempat.

Namun, masjid perlu dijauhkan daripada unsur perpecahan dan kepentingan politik kepartian yang boleh mencetuskan konflik dalam masyarakat.

Masjid Sebagai Pusat Sosial dan Pembangunan Masyarakat

Pada zaman Rasulullah SAW, masjid juga berperanan sebagai pusat sosial dan kebudayaan. Saidatina Aisyah RA pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW membawanya ke masjid untuk menyaksikan persembahan seni mempertahankan diri oleh para sahabat dari Habsyah pada hari raya. Ini menunjukkan bahawa masjid bukan hanya tempat ibadah tetapi juga ruang bagi aktiviti sihat yang mengukuhkan ukhuwah dalam masyarakat.

Masjid yang diurus dengan baik akan menjadi pusat pembangunan insan dan kebangkitan ummah, seiring dengan aspirasi Kerajaan Madani yang menekankan nilai keilmuan, perpaduan, dan kesejahteraan sosial.

Masjid Tuminah Hamidi: Lambang Keindahan dan Keunggulan Pengurusan

Baru-baru ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, telah merasmikan Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk, Perak. Masjid indah ini, yang berdiri megah di tepian Sungai Perak, dibina dengan dana Yayasan Al-Falah dan Yayasan Akal Budi, mengambil nama ibu bapa YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Masjid ini berkeluasan 8,870 meter persegi, mampu menampung 5,000 jemaah, dan menelan kos sebanyak RM53 juta sejak pembinaannya pada tahun 2017 hingga siap pada pertengahan 2023. Keunikan senibinanya yang terapung menjadikannya destinasi tarikan pelancongan baharu, sementara sistem pengurusan yang cekap bakal menjadikannya model masjid di bawah konsep Kerajaan Madani.

Masjid sebagai Tiang Kekuatan Ummah

Masjid bukan sekadar bangunan untuk solat, tetapi institusi yang menggerakkan ilmu, perpaduan, dan kebangkitan Islam. Ia adalah pusat ibadah, pembelajaran, kebajikan, dan pembangunan sosial yang mencontohi sunnah Rasulullah SAW.

Keutamaan kini adalah memastikan masjid diimarahkan dengan pengisian yang berkualiti, mengukuhkan peranannya dalam masyarakat, dan mengekalkan kesuciannya sebagai rumah Allah. Dengan pengurusan yang amanah dan berwawasan, masjid akan terus menjadi simbol perpaduan nasional dan kebangkitan ummah.

Seperti dalam bait pantun:

Pergi ke masjid cepat-cepat,

Dalam saf biarlah rapat,

Baru mesra sesama masyarakat,

Dari masjid belajar muafakat.