Aku mengenang seorang sahabat yang kini telah pergi buat selama-lamanya Che Heng. Seorang insan yang jiwanya murni, penuh dedikasi kepada bangsa dan tanah air. Namun, sering kali pemikiran jernihnya disalah tafsir. Dia sering dianggap memandang rendah kepada bangsanya sendiri, walhal niatnya hanya untuk membangkitkan kesedaran dalam hati kita semua. Pemikirannya bagai cahaya, menerangi kegelapan akal yang sering tersesat dalam kebingungan dan kealpaan.

Che Heng, yang aku kenali, adalah seorang pemikir tajam, setiap inci fikirannya tertumpu kepada kepentingan bangsanya, terutamanya berkenaan isu-isu tanah Melayu, ekonomi Bumiputera, dan nasib Orang Asli. Beratus-ratus tulisan lahir dari tangannya, mencerminkan keprihatinannya yang tulus. Setiap pertemuan, setiap mesyuarat, dia hadir tanpa gagal, membawakan ide-ide segar dan strategi yang praktikal. Bukan untuk dirinya, tapi untuk kita semua, agar Melayu tidak terus tenggelam dalam arus perubahan yang sering tidak memihak.

Malam terakhir sebelum dia menghadap Ilahi, Che Heng masih berdedikasi, bersama aku dan beberapa sahabat, berbincang soal masa depan Orang Asli dalam satu sesi Zoom. Beliau begitu tekun sehingga lewat malam, membincangkan bagaimana hak mereka terhadap tanah dapat dipertahankan, bagaimana Melayu dapat menebus kembali Tanah Rezab yang telah hilang. Tidak pernah dia lari daripada tanggungjawabnya. Di setiap kongres, mesyuarat, atau diskusi, suaranya pasti kedengaran, mengutarakan solusi demi kebaikan semua.

Dia bukan sahaja seorang pejuang intelek, tapi juga seorang sahabat yang mulia. Tun Hanif Omar pernah berkata kepada aku, bahawa Che Heng adalah seorang yang amat bijak dan penuh dengan semangat untuk melihat tanah airnya kembali teguh. Pelbagai formula dia rangka untuk kerajaan, namun takdir menentukan, Tuhan lebih menyayanginya.

Aku masih teringat, saat kami berbincang pada suatu Sabtu, duduk sebelah menyebelah. Dia tetap bercakap soal ekonomi Melayu, soal masa depan bangsa, dan bagaimana kita semua harus terus berjuang. Sayangnya, dia tidak sempat bertemu dengan PMX untuk berbincang lebih lanjut. Dia sering mengadu tentang keinginannya untuk berkongsi pandangan, namun masa tidak mengizinkan.

Kehidupan Che Heng adalah bukti bahawa anak Melayu, biar pun dari latar belakang yang serba kekurangan, mampu bangkit jika diberi peluang. Dari seorang anak yatim yang dijaga oleh kakaknya, dia bangkit menjadi seorang jutawan dan CEO syarikat besar dalam dan luar negara. Kisahnya adalah inspirasi buat semua yang mencari harapan dalam pendidikan dan profesionalisme.
Kini, Che Heng telah tiada, dan kita semua merasa kehilangan yang amat besar. Dia meninggalkan kita, tetapi ilmunya, sumbangannya, dan perjuangannya akan terus hidup dalam hati kita. Seorang sahabat yang sukar dicari ganti, seorang pemikir yang tidak pernah letih berjuang untuk kebaikan kita semua.
Che Heng, sahabatku, kau akan selalu aku ingati. Semoga Allah merahmati rohnya dan menempatkannya di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.
Kumpulan tulisan Che Heng di Malay Today yang boleh dibuat buku

Alhamdullilah. A timely true recount and recollection of a MPM Eminent member whose sincerity, dedication and concern for the Bangsa and Nation is proved by his intelligent intervention in his thoughts and though practical options to achieve success for all to strive hard. His memory lives in the history of MPM and other institutions touched by his legacy