Oleh: Mohamad Letfee Ahmad
Malaysia kini berhadapan dengan usaha menyeimbangkan akses kepada ilmu dengan perlindungan terhadap isu hak cipta dan harta intelek.
Penerbitan digital, pembelajaran tanpa sempadan dan isu hak cipta kini sudah melepasi aspek perundangan.
Perkara ini telah berkembang menjadi agenda strategik yang menentukan kelangsungan ekonomi kreatif, pembangunan ilmu dan daya saing sesebuah negara.
Inilah topik perbincangan utama pada Kongres Penerbit Antarabangsa Ke-35 di ibu negara pada bulan Julai lalu.
Kongres yang menghimpunkan lebih 500 penerbit, pakar hak cipta, penggubal dasar dan pemimpin industri dari seluruh dunia itu telah membuka ruang kepada perbincangan mengenai masa depan penerbitan, hak cipta, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Seiring dengan kongres tersebut, Pusat Hak Reprografi Malaysia (Malaysia Reprographic Rights Centre – MARC) telah menganjurkan satu Perbincangan Meja Bulat mengenai Pelesenan Hak Cipta Pendidikan.
Perbincangan tersebut menghimpunkan wakil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), World Intellectual Property Organisation (WIPO), International Federation of Reproduction Rights Organisations (IFRRO), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), International Publishers Association (IPA), Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) serta pelbagai organisasi industri, penulis dan penerbit. Perbincangan ini memperlihatkan usaha bersepadu pelbagai pihak untuk menyelesaikan isu hak cipta dalam sektor pendidikan secara lebih berkesan.
Pembangunan kreativiti dan inovasi negara meletakkan agenda perlindungan hak cipta sebagai asas yang penting.
Karya intelektual mempunyai nilai budaya dan menjadi aset ekonomi yang menjana peluang pekerjaan, pelaburan dan pembangunan industri kreatif. Oleh sebab itu, sistem hak cipta menjadi prasyarat yang penting bagi memastikan pengkarya terus menerima pengiktirafan dan perlindungan yang sewajarnya.
Kemunculan teknologi AI, platform digital dan pembelajaran dalam talian telah membawa banyak perubahan dalam sistem hak cipta di seluruh dunia.
Banyak negara kini telah mula beralih daripada pendekatan penguatkuasaan kepada sistem pelesenan yang lebih bersepadu.
Sistem pelesenan itu bukan sahaja membolehkan bahan hak cipta digunakan secara sah, malah turut memastikan penulis dan penerbit menerima pampasan yang adil. Di samping melindungi pengkarya, hak cipta turut menjadi pemangkin kepada kelangsungan industri penerbitan.
Proses penyelidikan, penulisan, penyuntingan dan penerbitan buku, jurnal atau bahan pendidikan memerlukan pelaburan yang besar.
Pulangan pelaburan menjadi semakin sukar diperoleh apabila bahan tersebut disalin atau diedarkan tanpa kebenaran. Hal ini juga turut menjejaskan kemampuan penerbit menghasilkan bahan ilmiah yang berkualiti pada masa hadapan.
Antara penyelesaian yang paling praktikal ialah melaksanakan konsep pengurusan hak secara kolektif.
Pelbagai negara telah berjaya membangunkan sistem pelesenan yang membolehkan institusi pendidikan memperoleh kebenaran untuk menyalin bahan secara sah tanpa perlu berunding dengan setiap pemegang hak cipta.
Melalui kaedah ini, pengguna boleh mendapat akses kepada bahan pembelajaran dengan mudah, manakala royalti diagihkan secara telus kepada penulis dan penerbit.
Dalam landskap pendidikan moden yang bergantung kepada akses pantas ke pelbagai sumber pembelajaran, pendekatan sedemikian menjadi semakin relevan.
Dalam konteks ini, MARC sedang memperluas program kesedaran bagi memperkukuh kerjasama dengan institusi pendidikan, penerbit dan pemilik hak cipta. Kaedah ini membuktikan bahawa pendidikan dan kerjasama lebih berkesan daripada tindakan penguatkuasaan.
Dalam hal ini, dua institusi yang terlibat secara langsung dalam isu perlindungan hak cipta ialah KPM dan KPT. Kedua-dua kementerian ini sedang berhadapan dengan cabaran melindungi hak cipta terhadap buku terbitan masing-masing, di samping memenuhi keperluan pembelajaran yang semakin fleksibel dan berorientasikan digital.
Selain daripada memudahkan akses kepada bahan pembelajaran, pengiktirafan terhadap hak cipta wajar diberi perhatian serius. Hal ini perlu dilakukan bagi memastikan penghasilan buku, jurnal dan bahan ilmiah dapat diteruskan secara mampan.
Hak cipta tidak seharusnya menjadi halangan kepada pendidikan, malah ia sepatutnya menjadi mekanisme yang membolehkan ilmu terus berkembang secara lestari.
Kerjasama antara kerajaan, organisasi pengurusan harta intelek, penerbit, institusi pendidikan dan pengguna mesti ditingkatkan bagi membentuk ekosistem yang lebih seimbang.
Untuk kekal relevan dalam dunia digital, sistem hak cipta dan kemajuan teknologi perlu berkembang seiring.
Pelesenan kolektif menawarkan penyelesaian yang lebih praktikal berbanding pendekatan perundangan atau penguatkuasaan semata-mata.
Elemen yang sama penting dengan penguatkuasaan undang-undang ialah pendidikan dan peningkatan kesedaran masyarakat.
Di samping itu, dasar hak cipta perlu dibentuk berdasarkan penyelidikan dan data sebenar.
Kerjasama semua pemegang taruh juga merupakan prasyarat kepada pembentukan ekosistem hak cipta yang berkesan.
Dalam hal ini, KPM dan KPT perlu melaksanakan pelesenan hak cipta pendidikan bersama MARC bagi meningkatkan tahap pematuhan hak cipta di negara ini.
Kerjasama ketiga-tiga institusi ini akan dapat menjamin hak penulis, penerbit dan pengkarya tempatan terus dijaga, sekali gus memastikan perlindungan yang sewajarnya terhadap hasil kreativiti mereka.
Hak cipta perlu dilihat sebagai aset strategik negara terutama ketika Malaysia sedang berusaha memperkukuh kedudukannya sebagai ekonomi berasaskan inovasi dan pengetahuan.
Di samping mempertahankan hak pencipta, perlindungan terhadap karya intelektual akan menjadi pelaburan jangka panjang kepada pembangunan ilmu, kemajuan pendidikan dan pertumbuhan industri kreatif.
Ilmu akan terus berkembang jika ada keseimbangan antara hak pencipta dan keperluan pengguna.
Penghargaan kepada pencipta akan menjadi pemangkin kepada penerbit untuk terus melabur dalam penerbitan karya berkualiti, manakala institusi pendidikan memperoleh akses yang sah kepada bahan pembelajaran.
Masyarakat pula akan menikmati manfaat daripada ekosistem ilmu yang adil, mampan serta berteraskan kepercayaan.
Penulis menyertai Perbincangan Meja Bulat anjuran MARC pada 9 Julai 2026 mewakili PENA.

More Stories
Apabila Mesin Taip Mengalahkan Jawi: Bagaimana Pejuang Bahasa Memodenkan Melayu, Tetapi Memutuskan Sebahagian Ingatan Tamadun
Sekolah Paling Selamat Atau Medan Kematian? Dari Bandar Utama ke Yong Peng
Undang Bukan Sekadar Penghulu: Memahami Struktur Kedaulatan Negeri Sembilan