Ridhwan Rosli , Ahli Jawatan Kuasa Pemandu MPM.
Malaysia hari ini tidak sedang menghadapi krisis kewangan seperti Krisis Kewangan Asia 1997–1998. Bank-bank kita tidak berada di ambang keruntuhan, ringgit tidak sedang diserang spekulator dalam keadaan yang sama, dan sistem korporat negara tidak mengalami tekanan serentak sebagaimana tiga dekad yang lalu.
Namun, jangan kerana bentuk krisisnya berbeza maka kita menganggap cabaran hari ini kurang berbahaya.
Tekanan kos sara hidup, pertumbuhan gaji yang perlahan, produktiviti yang belum melonjak sebagaimana sepatutnya, gangguan kecerdasan buatan atau AI, perubahan landskap pekerjaan, konflik geopolitik, gangguan rantaian bekalan serta persaingan global mendapatkan pelaburan dan bakat boleh memberi kesan yang sama besarnya terhadap masa depan negara.
Bezanya, krisis 1997 datang seperti ribut.
Krisis hari ini datang perlahan-lahan.
Ia tidak semestinya menjatuhkan ekonomi dalam beberapa bulan, tetapi boleh menghakis daya saing negara sedikit demi sedikit sehingga kita hanya menyedari kedudukan kita telah jauh tertinggal selepas satu atau dua dekad.
Sebab itu kita perlu bertanya:
Adakah Majlis Tindakan Ekonomi Negara atau MTEN hari ini perlu kembali kepada semangat asalnya — semangat mendesak, keberanian membuat keputusan, matlamat yang jelas dan pelaksanaan yang tersusun?
MTEN bukan institusi baharu
MTEN hari ini merupakan institusi aktif yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
Sebagai antara badan tertinggi kerajaan dalam penyelarasan dasar ekonomi, MTEN mempunyai tanggungjawab besar untuk merancang, melaksanakan serta memantau agenda ekonomi merentasi kementerian.
Bidangnya luas.
Daripada kemampanan fiskal, pelaburan, gaji, kemahiran, daya saing, perusahaan kecil dan sederhana, peluang pekerjaan sehinggalah kepada isu kemiskinan dan kesejahteraan rakyat.
Kerajaan juga telah memperkukuh mekanisme penyelarasan untuk menghadapi kejutan ekonomi dan geopolitik global.
Maka persoalannya bukan sama ada MTEN wujud atau tidak.
Persoalannya ialah:
Apakah perubahan besar yang rakyat boleh lihat, rasa dan ukur hasil daripada tindakan MTEN?
Institusi negara tidak boleh hanya diukur melalui bilangan mesyuarat, kertas kerja atau kenyataan dasar.
Akhirnya rakyat mahu mengetahui:
Adakah pendapatan mereka meningkat?
Adakah kehidupan menjadi lebih mampu milik?
Adakah anak-anak mendapat pekerjaan lebih baik?
Adakah syarikat Malaysia menjadi lebih kuat?
Adakah negara sedang membina teknologi sendiri?
Dan adakah Malaysia semakin kukuh berbanding negara pesaing?
Semangat MTEN ketika krisis 1997–1998
MTEN diwujudkan pada Januari 1998 ketika negara berhadapan antara krisis ekonomi paling serius dalam sejarah moden Malaysia.
Keyakinan pelabur merosot.
Syarikat dibebani hutang.
Sistem perbankan berhadapan tekanan.
Nilai mata wang jatuh.
Pasaran saham merosot.
Ramai kehilangan pekerjaan dan perniagaan.
Tetapi daripada krisis itu lahir suatu bentuk pengurusan negara yang pantas dan terarah.
Kerajaan melaksanakan Pelan Pemulihan Ekonomi Negara.
Danaharta diwujudkan untuk menangani aset tidak berbayar institusi kewangan.
Danamodal ditubuhkan bagi memperkukuh semula permodalan bank.
Corporate Debt Restructuring Committee membantu syarikat berdaya maju menyusun semula hutang.
Malaysia juga mengambil langkah yang ketika itu dianggap luar biasa dengan memperkenalkan kawalan modal terpilih dan menetapkan kadar ringgit pada RM3.80 berbanding satu dolar Amerika.
Boleh diperdebatkan setiap dasar itu.
Tetapi satu perkara sukar dinafikan:
Kerajaan mempunyai arah yang jelas.
Krisis dikenal pasti.
Matlamat ditentukan.
Instrumen diwujudkan.
Tanggungjawab diberikan.
Pelaksanaan dipantau.
Dan keputusan dibuat dengan pantas.
Ekonomi Malaysia kemudiannya pulih dengan kukuh, dibantu oleh dasar pemulihan, penstrukturan semula sektor kewangan dan peningkatan permintaan luar.
Tetapi ada satu lagi perkara penting yang sering dilupakan.
Krisis itu telah memberikan negara satu matlamat bersama.
Rakyat memahami bahawa negara sedang berhadapan ancaman besar dan semua tenaga perlu ditumpukan kepada pemulihan.
Perbezaan politik tidak hilang.
Namun terdapat kesedaran bahawa kestabilan ekonomi dan kelangsungan kehidupan rakyat perlu diutamakan.
Semangat seperti inilah yang kita perlukan semula.
Negara tidak boleh terlalu lama terperangkap dalam politik
Malaysia hari ini terlalu banyak menghabiskan tenaga terhadap pertelingkahan politik, polemik kaum dan perbalahan yang tidak menambah produktiviti negara.
Sedangkan dunia sedang berubah dengan pantas.
Amerika Syarikat, China, Eropah, India, Korea Selatan, Jepun, negara Teluk dan negara ASEAN sedang berlumba mendapatkan pelaburan dalam AI, semikonduktor, tenaga baharu, pusat data, robotik, bioteknologi dan industri berteknologi tinggi.
Pertarungan ekonomi dunia hari ini ialah pertarungan mendapatkan:
modal,
teknologi,
bakat,
data,
tenaga,
dan pasaran.
Jika terlalu banyak tenaga nasional dihabiskan kepada politik jangka pendek, negara lain akan terus bergerak meninggalkan kita.
Malaysia memerlukan suatu agenda ekonomi nasional yang mampu melampaui pertukaran kerajaan.
Tetapkan beberapa sasaran nasional yang mudah difahami
MTEN tidak memerlukan terlalu banyak KPI sehingga rakyat sendiri tidak mengetahui apa sebenarnya yang hendak dicapai.
Kita memerlukan beberapa sasaran ekonomi nasional yang jelas dan mudah diukur.
Contohnya:
Pertama, pertumbuhan gaji sebenar.
Pendapatan rakyat mesti meningkat lebih pantas daripada kos kehidupan.
Kedua, produktiviti nasional.
Setiap pekerja Malaysia mesti dapat menghasilkan nilai ekonomi yang lebih tinggi melalui teknologi, kemahiran dan automasi.
Ketiga, pekerjaan bernilai tinggi.
Malaysia tidak boleh terus menjadi ekonomi yang terlalu bergantung kepada pekerjaan bergaji rendah.
Keempat, kelahiran syarikat Malaysia bertaraf serantau dan global.
Kita perlu mengukur berapa banyak syarikat tempatan yang berjaya menjadi pengeksport, pemilik teknologi dan peneraju pasaran ASEAN.
Kelima, pengurangan tekanan kos sara hidup isi rumah.
Rakyat tidak hanya melihat angka KDNK. Mereka melihat harga makanan, perumahan, pengangkutan, pendidikan dan kesihatan.
Kesemua sasaran ini perlu diumumkan kepada rakyat dan dilaporkan secara berkala.
Dengan cara itu MTEN bukan sekadar institusi kerajaan.
Ia menjadi dashboard ekonomi negara.
Malaysia perlu kembali berfikir besar
Malaysia pernah mempunyai keberanian untuk berfikir dalam skala besar.
Menara Berkembar PETRONAS bukan sekadar bangunan tinggi.
KLIA bukan sekadar lapangan terbang.
Putrajaya bukan sekadar pusat pentadbiran kerajaan.
Kesemuanya merupakan simbol kepada pemikiran strategik jangka panjang — suatu usaha membina pusat ekonomi, infrastruktur dan keyakinan nasional untuk beberapa dekad akan datang.
Hari ini kita perlu kembali kepada pemikiran seperti itu.
Tetapi projek strategik masa depan tidak semestinya berbentuk bangunan besar.
Mega projek generasi baharu boleh berbentuk:
ekosistem kecerdasan buatan nasional,
bandar teknologi tinggi,
hab semikonduktor termaju,
pusat pengkomputeran AI,
industri robotik,
teknologi kuantum,
tenaga boleh baharu,
industri aeroangkasa,
sistem logistik berautonomi,
atau jaringan pengangkutan yang menghubungkan kluster industri utama negara.
Namun setiap projek mesti melalui satu ujian mudah:
Adakah projek ini membina kemampuan Malaysia untuk jangka panjang?
Adakah ia melahirkan jurutera Malaysia?
Adakah ia menghasilkan teknologi Malaysia?
Adakah ia membangunkan pembekal tempatan?
Adakah ia menghasilkan harta intelek?
Adakah produk akhirnya boleh dieksport?
Jika jawapannya tidak, kita mungkin sekadar membina projek — bukan membina negara.
Bumiputera perlu bergerak daripada penerima kontrak kepada pemilik teknologi
Perkara ini amat penting kepada pembangunan ekonomi Bumiputera.
Selama beberapa dekad, kejayaan penyertaan Bumiputera sering diukur melalui pemilikan ekuiti, kuota atau kontrak.
Ukuran itu tidak lagi mencukupi.
Cabaran ekonomi masa hadapan memerlukan satu tahap baharu.
Kita perlu melihat berapa ramai jurutera Bumiputera yang membangunkan teknologi.
Berapa banyak syarikat Bumiputera memiliki paten.
Berapa banyak syarikat teknologi Bumiputera menjadi pengeksport.
Berapa banyak syarikat Bumiputera memasuki Indonesia, Thailand, Vietnam, Timur Tengah, Afrika dan pasaran global.
Dasar ekonomi Bumiputera perlu bergerak daripada sekadar participation kepada capability.
Daripada memiliki saham kepada memiliki teknologi.
Daripada menjadi vendor kepada menjadi pencipta.
Daripada menerima kontrak kepada menjadi syarikat serantau.
Inilah perubahan yang perlu diukur MTEN.
Projek nasional mesti menghasilkan juara Malaysia
Setiap ringgit pelaburan strategik negara sepatutnya menghasilkan kesan berganda.
Jika kerajaan melabur dalam industri semikonduktor, ia mesti melahirkan syarikat reka bentuk cip tempatan.
Jika kerajaan membangunkan industri AI, kita perlu melahirkan model AI, aplikasi dan syarikat Malaysia.
Jika kerajaan membangunkan sistem tenaga hijau, Malaysia perlu memiliki teknologi, jurutera dan rantaian bekalan sendiri.
Kita tidak boleh berpuas hati menjadi tempat syarikat asing datang memasang produk mereka.
Kita mesti bergerak naik dalam rantaian nilai.
Malaysia perlu menjadi negara yang mencipta, mereka bentuk, memiliki dan mengeksport.
Kestabilan politik juga sebahagian daripada dasar ekonomi
Ekonomi tidak dibina dalam vakum.
Pelabur merancang untuk lima, sepuluh atau dua puluh tahun.
Keluarga juga membuat keputusan jangka panjang.
Begitu juga syarikat.
Mereka memerlukan kepastian.
Kerana itu kestabilan politik dan perpaduan nasional bukan hanya isu sosial.
Ia merupakan sebahagian daripada strategi ekonomi negara.
Malaysia perlu mempunyai beberapa matlamat ekonomi yang tidak berubah walaupun Perdana Menteri atau kerajaan berubah.
Kerajaan boleh bertukar.
Parti boleh berbeza.
Pendekatan boleh berubah.
Tetapi matlamat membangunkan teknologi, meningkatkan produktiviti, menaikkan gaji, memperkukuh pendidikan dan melahirkan syarikat Malaysia bertaraf global mesti menjadi agenda nasional bersama.
Negara maju mempunyai kesinambungan strategik.
Malaysia juga perlu memilikinya.
MTEN sudah mempunyai mandat
Kita sebenarnya tidak memerlukan terlalu banyak institusi baharu.
MTEN sudah mempunyai mandat.
Perdana Menteri mempengerusikannya.
Kementerian-kementerian utama berada dalam lingkungan penyelarasannya.
Apa yang diperlukan sekarang ialah mengembalikan roh asal MTEN:
urgensi, matlamat yang boleh diukur, penyelarasan yang berkesan dan keberanian mencuba idea baharu.
Zaman 1997 menuntut Malaysia menyelamatkan sistem kewangan.
Zaman hari ini menuntut Malaysia menyelamatkan daya saing masa hadapan.
Ancaman hari ini mungkin tidak datang dalam bentuk kejatuhan ringgit secara mendadak.
Ia datang dalam bentuk kehilangan bakat.
Ia datang apabila graduan terbaik memilih bekerja di luar negara.
Ia datang apabila syarikat Malaysia gagal menguasai teknologi.
Ia datang apabila produktiviti tidak meningkat tetapi kos kehidupan terus naik.
Ia datang apabila teknologi asing menguasai pasaran sedangkan kita kekal sebagai pengguna.
Dan ia datang apabila negara lain bergerak lebih pantas daripada kita.
Sebab itu MTEN perlu kembali berfungsi bukan sekadar sebagai majlis perbincangan ekonomi.
Ia mesti menjadi bilik gerakan ekonomi Malaysia.
Tempat masalah dikenal pasti.
Tempat sasaran ditetapkan.
Tempat kementerian diselaraskan.
Tempat projek strategik dinilai.
Dan tempat keputusan dilaksanakan sehingga hasilnya dapat dirasakan oleh rakyat.
Pada akhirnya kejayaan MTEN bukanlah pada berapa banyak mesyuarat yang diadakan.
Bukan pada berapa banyak dasar diumumkan.
Dan bukan pada berapa banyak laporan diterbitkan.
Ukuran sebenar ialah:
Adakah pendapatan rakyat meningkat?
Adakah peluang menjadi lebih luas?
Adakah syarikat Malaysia semakin kuat?
Adakah anak muda melihat masa depan mereka di negara sendiri?
Dan adakah rakyat semakin yakin bahawa Malaysia sedang menuju ke arah yang betul?
Itulah semangat MTEN yang perlu kita hidupkan semula.
Bukan untuk mengulangi penyelesaian tahun 1998.
Tetapi untuk mengembalikan satu perkara yang menjadikan penyelesaian ketika itu berkesan:
keberanian negara menetapkan arah, bertindak bersama dan menyelesaikan masalah sehingga berjaya.

More Stories
Apa Yang Kerajaan Malaysia Patut Lakukan Dalam Mengurus AI?
NGO: Benteng Alam, Bukan Batu Loncatan Politik
Beting Beras Basah: Warisan Raja Melayu, Benteng Alam Sekitar