Ogos 23, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Rukun Negara:  Ketidakseragaman Versi Bahasa Inggeris

Apabila Rukun Negara diperkenalkan pada tahun 1970, setelah digubal selepas peristiwa 13 Mei 1969, kewujudan versi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris mempunyai kepentingan tertentu. 

Versi Bahasa Melayu menjadi teks utama berasaskan kedudukan bahasa itu sebagai bahasa kebangsaan.  Versi bahasa Inggeris pula digubal kerana kepentingannya dalam konteks komunikasi rasmi, diplomasi, media dan penerbitan.

Masalahnya sekarang ialah apa yang kita lihat dan baca ialah versi bahasa Inggeris yang merupakan terjemahan daripada bahasa Melayu yang dibuat oleh pelbagai pihak termasuk institusi kerajaan. 

Apa yang mendukacitakan kita ialah terjemahan tersebut mempunyai pelbagai versi bergantung kepada pihak mana yang menterjemahkannya.

Dalam tinjauan terhadap beberapa laman rasmi media dan institusi kerajaan, penulis menemui beberapa versi terjemahan yang berbeza dan boleh mengelirukan masyarakat terutama generasi muda.  Kekeliruan ini jelas terlihat pada prinsip ketiga, keempat dan kelima iaitu Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan.    

Perbezaan kecil ini mungkin kelihatan tidak penting, tetapi ia jelas menunjukkan bahawa kita tidak sekata dalam hal Rukun Negara yang merupakan  paksi negara dan bangsa kita.  

Mari kita lihat contoh berikut:

Bagi prinsip ketiga, Keluhuran Perlembagaan, versi yang kerap digunakan oleh hampir semua institusi kerajaan ialah Supremacy of the Constitution (Kementerian Perpaduan Negara).  Sepanjang ingatan penulis, ketika zaman sekolah rendah hingga menengah dahulu, prinsip ketiga yang dilafaz pada perhimpunan sekolah ialah Upholding the Constitution.  

Bagi prinsip keempat, Kedaulatan Undang-Undang pula, ada institusi yang menggunakan Sovereignty of the Law selain daripada Rule of Law.  Pada zaman sekolah dahulu, penulis melafazkan Rule of Law yang kini digunakan oleh Kementerian Perpaduan Negara. 

Bagi prinsip kelima, Kesopanan dan Kesusilaan, versi yang kerap digunakan ialah Courtesy and Morality (Jabatan Penerangan Malaysia) dan Mutual Respect and Good Social Behaviour (Kementerian Pendidikan Malaysia).  Seingat penulis, versi tepat ialah Good Behaviour and Morality yang digunakan oleh Kementerian Perpaduan Negara.  

Seperti yang disebut pada awal tadi, versi bahasa Inggeris bukanlah versi terjemahan daripada teks bahasa Melayu tetapi merupakan versi yang sememangnya digubal bagi memenuhi keperluan media, penerbitan, akademia dan diplomasi antarabangsa.

Persoalannya, versi manakah yang diakui dan sepatutnya digunakan secara rasmi?  Mengapa masyarakat, lebih-lebih lagi organisasi media, perlu mengambil berat?

Media mempunyai fungsi yang sangat besar dan signifikan.  Media bukan sekadar menyampaikan berita dan maklumat, sebaliknya ia berperanan sebagai pusat rujukan bahasa dan rekod sejarah.  Apabila media melapor atau menulis mengenai Rukun Negara kepada khalayak antarabangsa, penggunaan versi bahasa Inggeris yang berbeza-beza boleh menimbulkan kekeliruan.

Lebih penting, jika memang pernah wujud teks bahasa Inggeris rasmi atau asal, kita sepatutnya dapat membezakan antara teks rasmi bahasa Inggeris yang digubal pada tahun 1970 dengan versi terjemahan bahasa Inggeris yang digunakan sekarang.  

Isu ini perlu diselesaikan segera.  Kita tidak mahu media antarabangsa memetik versi yang tidak rasmi.  Jika ini berlaku, lama-kelamaan versi tersebut akan dianggap sebagai teks rasmi walaupun sebenarnya ia hanya terjemahan editorial.  Dalam konteks sejarah negara, perkara ini penting diberi perhatian.  Isu perbezaan berkenaan, jangan dibiarkan berlarutan.  

Kita jangan menganggap bahawa versi bahasa Inggeris sudah tidak relevan.  Sebelum membuat sebarang kesimpulan, dokumen asal dan rekod kerajaan tahun 1970 perlu disemak kembali.  Jangan dibiarkan teks itu hilang begitu sahaja.  Penulis yakin teks itu masih selamat dalam simpanan Arkib Negara Malaysia, warta kerajaan atau dokumen rasmi.

Penulis berhasrat menjadikan misi pencarian teks asal Rukun Negara bagi  merungkai kekeliruan yang bermain dalam minda penulis sejak sekian lama.  Penulis mahu menjadikan misi ini sebagai satu projek dokumentasi yang sangat bermakna.  Jika hasrat ini tercapai, penulis akan menulis satu kajian perbandingan antara kedua-dua naskhah Rukun Negara versi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris bagi menentukan kesahihannya serta mengenal pasti bila, bagaimana dan kenapa terjemahan bahasa Inggeris digunakan.

Jika teks asal masih wujud dalam arkib, ia wajar didigitalkan dan disebarkan kepada umum. Jika tidak ada satu teks yang dapat disahkan sebagai versi sah dan rasmi, kerajaan perlu menjelaskan perkara itu supaya media, sekolah, universiti dan organisasi antarabangsa tidak terus menggunakan pelbagai versi tanpa mengetahui statusnya.

Penulis setuju bahawa rakyat Malaysia tidak perlu menghafal Rukun Negara versi  bahasa Inggeris.  Rukun Negara memang berakar pada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Tetapi dari sudut sejarah, kewartawanan, penerbitan rasmi, pendidikan, diplomasi dan pemeliharaan warisan negara, kewujudan satu teks Inggeris yang sah dan dapat dirujuk, tetap mempunyai nilai yang tersendiri.

Namun, persoalan yang lebih penting bukan sekadar mencari terjemahan bahasa Inggeris bagi Rukun Negara, tetapi bagaimanakah semangat yang terkandung dalam prinsip-prinsip Rukun Negara itu dapat diterapkan dalam jiwa setiap orang yang mengaku sebagai warganegara Malaysia.