Fenomena El Nino, yang dijangka berterusan sehingga penghujung tahun ini, sekali lagi meletakkan Asia Tenggara dalam keadaan bersiap siaga. Ramalan terkini oleh Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASEAN Specialised Meteorological Centre – ASMC) menunjukkan bahawa kebanyakan negara di rantau ini dijangka mengalami cuaca lebih panas dan lebih kering daripada biasa sepanjang tempoh bulan Ogos sehingga awal tahun depan. Walaupun fenomena ini merupakan sebahagian daripada kitaran sistem iklim global, kesannya terhadap ekonomi, keselamatan makanan, kesihatan awam dan alam sekitar dijangka menjadi lebih serius.
Ramalan tersebut menunjukkan kemungkinan bahawa sebahagian besar kawasan di Indonesia serta beberapa wilayah lain di Asia Tenggara akan menerima taburan hujan di bawah paras normal. Pada masa yang sama, suhu purata dijangka meningkat lebih daripada biasa. Kedua-dua faktor ini meningkatkan risiko kemarau, kebakaran hutan dan tanah gambut serta menjejaskan sumber air.
El Nino dan Perubahan Iklim
Pemanasan luar biasa suhu permukaan laut di kawasan tengah dan timur Lautan Pasifik tropika berlaku secara berkala setiap dua hingga tujuh tahun. Namun demikian, saintis berpendapat bahawa perubahan iklim global akibat peningkatan pelepasan gas rumah hijau telah menjadikan cuaca ekstrem yang dikaitkan dengannya lebih ketara.
Peningkatan suhu global menyebabkan gelombang haba menjadi lebih panjang. Kemarau juga lebih lama manakala hujan lebat berlaku dengan lebih ekstrem. Justeru, walaupun El Nino bukan berpunca daripada perubahan iklim, kedua-duanya saling memperkukuh kesan antara satu sama lain.
Ramalan beberapa agensi meteorologi antarabangsa menunjukkan kejadian El Nino kali ini mungkin akan menjadi antara yang paling kuat dalam tempoh beberapa dekad. Oleh sebab itu, negara-negara Asia Tenggara perlu bersedia menghadapi tempoh cuaca panas yang lebih lama berbanding biasa.
Ancaman kepada Keselamatan Makanan
Sektor yang paling teruk terjejas akibat fenomena ini ialah pertanian. Negara-negara ASEAN seperti Thailand dan Vietnam, yang merupakan antara pengeluar dan pengeksport utama beras dunia, akan terkesan. Begitu juga Malaysia, Indonesia dan Filipina, yang bergantung kepada pengeluaran domestik, bagi memenuhi keperluan penduduk.
Tanaman padi memerlukan bekalan air yang mencukupi terutama pada peringkat awal. Kekurangan hujan akan menyebabkan paras empangan dan sistem pengairan menurun, sekali gus mengurangkan hasil pengeluaran. Selain padi, hasil tanaman seperti kelapa sawit, getah, koko, kopi, sayur-sayuran dan buah-buahan akan juga berkurangan.
Peningkatan kos pengeluaran termasuk harga baja, bahan api dan logistik akan memberi cabaran besar kepada petani. Hal ini sudah pasti menjejaskan hasil pengeluaran tanaman, sekali gus meningkatkan harga di pasaran.
Malaysia Tidak Terkecuali
Cuaca ekstrem serantau telah menyebabkan harga beras di Thailand mencapai paras tertinggi dalam tempoh 18 bulan. Malaysia, sebagai negara pengimport, perlu memantau perkembangan ini bagi memastikan bekalan domestik kekal stabil.
Secara relatif, Malaysia menerima taburan hujan yang lebih tinggi berbanding beberapa negara jiran. Namun demikian, negara ini tidak terkecuali daripada kesan El Nino. Kesan tersebut termasuk penyusutan paras empangan, gangguan bekalan air di kawasan tertentu, peningkatan suhu harian, pengurangan hasil pertanian serta peningkatan risiko kebakaran hutan terutama di kawasan tanah gambut.
Antara sektor yang terjejas ialah perladangan kelapa sawit. Penghasilan tandan buah segar akan berkurangan beberapa bulan selepas kemarau berlaku. Tekanan haba terhadap pokok getah akan juga mengurangkan hasil susu getah.
Peningkatan penggunaan penghawa dingin ketika cuaca panas akan meningkatkan permintaan elektrik, sekali gus menjejaskan sektor tenaga. Jika keadaan ini berpanjangan, kos penjanaan tenaga akan meningkat. Ini akan memberi tekanan kepada sistem bekalan elektrik negara.
Risiko Kebakaran Hutan dan Jerebu Rentas Sempadan
Kebimbangan utama di Asia Tenggara ketika musim El Nino ialah kebakaran hutan dan tanah gambut, khususnya di Indonesia.
Kebakaran mudah berlaku pada tanah gambut yang kering dan sukar dipadamkan. Asap daripada kebakaran itu boleh bergerak merentasi sempadan Malaysia, Singapura dan Brunei.
Episod jerebu memberi implikasi besar terhadap kesihatan awam, sektor pendidikan, industri pelancongan dan pengangkutan udara. Ini menyebabkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat ke tahap tidak sihat atau berbahaya. Sekolah terpaksa ditutup dan aktiviti luar dihentikan.
Kesan kepada Kesihatan Awam
Selain daripada menjejaskan alam sekitar, El Nino boleh memberi kesan langsung kepada kesihatan manusia.
Strok haba mudah menyerang golongan warga emas, kanak-kanak, wanita hamil serta individu yang mempunyai penyakit kronik. Ini akan mengkibatkan dehidrasi, keletihan akibat haba, komplikasi penyakit jantung serta gangguan pernafasan.
Kebakaran hutan yang berlaku serentak akan menyebabkan pencemaran udara dan akan memberi kesan kepada individu yang menghidap asma, penyakit paru-paru kronik dan alahan.
Langkah pencegahan perlu ditingkatkan. Antara langkah tersebut ialah mengurangkan aktiviti luar ketika suhu tinggi, meningkatkan pengambilan air, memakai pelitup muka ketika jerebu dan mengikuti nasihat pihak berkuasa kesihatan.
Perkukuh Kerjasama Serantau
Pendekatan yang merentasi sempadan negara perlu dilaksanakan bagi menghadapi cabaran El Nino. Negara anggota ASEAN perlu memperkukuh kerjasama dalam semua aspek. Ini termasuk perkongsian data meteorologi, sistem amaran awal, pengurusan kebakaran hutan, penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka dan penyelarasan tindakan ketika berlaku jerebu rentas sempadan.
Pada peringkat negara pula, kerajaan perlu memperkemas pengurusan sumber air dengan memantau paras empangan, menyelenggara sistem pengairan, mengadakan kempen penjimatan air dan mengaplikasikan teknologi pertanian pintar yang lebih cekap.
Inisiatif lanjut perlu dilaksanakan terhadap sektor pertanian bagi mengurangkan kerugian akibat perubahan iklim. Antara yang boleh dilakukan ialah penanaman pelbagai jenis tanaman yang tahan kemarau, sistem pengairan moden, teknologi ramalan cuaca serta insentif kepada petani.
Pengajaran daripada Krisis Iklim Global
Kebakaran hutan besar di Eropah, Amerika Utara dan beberapa kawasan lain sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan bahawa cuaca ekstrem telah menjadi cabaran global.
Gelombang haba, kemarau panjang dan kejadian cuaca ekstrem memberi amaran bahawa dunia sedang memasuki era iklim baharu yang memerlukan usaha pengurusan risiko yang lebih menyeluruh.
Bagi negara-negara Asia Tenggara, fenomena El Nino berkait rapat dengan keselamatan makanan, kestabilan ekonomi, kesihatan rakyat, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sosial. Oleh sebab itu, dasar pembangunan negara perlu mengambil kira risiko iklim sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang.
Cuaca panas dan kering di seluruh Asia Tenggara pada bulan Ogos dan dijangka berlarutan sehingga awal tahun depan, merupakan satu amaran awal. Fenomena El Nino berpotensi mencetuskan kesan berantai terhadap pertanian, bekalan makanan, sumber air, tenaga, kesihatan awam dan alam sekitar.
Sebagai negara anggota ASEAN, Malaysia bersama-sama negara yang lain perlu memperkukuh usaha dengan melabur dalam teknologi adaptasi perubahan iklim. Masyarakat pula perlu memainkan peranan dengan menggunakan segala sumber secara berhemah, mengelakkan pembakaran terbuka serta meningkatkan kesedaran terhadap risiko cuaca melampau.
Keupayaan sesebuah negara menghadapi fenomena El Nino bukan semata-mata bergantung kepada tindak balas ketika krisis berlaku. Persediaan sebelum krisis juga perlu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga. Langkah proaktif dan bersepadu akan memastikan rantau Asia Tenggara terus berdaya tahan menghadapi cabaran iklim pada masa hadapan.

More Stories
Wong Chen Tinggalkan Kerusi Subang: Antara Prinsip dan Masa Depan Politik Reformasi
Dari Kuala Lumpur ke Tasik Bera: Menyemai Hak Orang Asli dalam Arus Pembangunan
TVET Perkukuh Kewibawaan Penguat kuasa Undang-undang