Ogos 11, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Wong Chen Tinggalkan Kerusi Subang:  Antara Prinsip dan Masa Depan Politik Reformasi

Keputusan Wong Chen melepaskan kerusi Parlimen Subang berkuat kuasa petang semalam, mencetus satu persoalan besar tentang arah perjuangan reformasi yang menjadi prinsip Parti Keadilan Rakyat (PKR).  Langkah itu juga terkait hubungan antara wakil rakyat dengan parti, serta masa depan politik bandar yang selama ini menjadi salah satu wadah penting Pakatan Harapan (PH).

Keputusan Wong Cheng tidak datang tanpa sebab.  Beliau dilihat lantang bersuara tentang arah tuju agenda reformasi kerajaan PH sejak  beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam laporan separuh tahun 2025 Parlimen Subang, beliau telah menyatakan kebimbangannya bahawa agenda reformasi telah kehilangan arah manakala pembaharuan yang dilaksanakan lebih bersifat kosmetik.

Sebagai pejuang reformasi yang aktif sejak awal pembabitannya dalam politik, kenyataan tersebut tidak boleh dianggap ringan.  Malah, sejak pemilihan PKR pada tahun lalu, ketegangan antara Wong Chen dengan parti semakin ketara .

Beliau bukan sekadar tidak berpuas hati.  Memang sejak berada dalam kerajaan, beliau antara ahli yang kerap menyuarakan pandangan berbeza tentang arah perjuangan parti.

Antara parti dan prinsip

Apakah yang sebenarnya berlaku kepada PKR sebagai parti tonggak dalam PH?   Sebuah gerakan yang dahulu dibina atas slogan reformasi, tiba-tiba berubah arah perjuangan apabila menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Persoalan inilah yang menjadikan keputusan Wong Chen penting untuk dikaji.

Dalam politik kepartian, seorang wakil rakyat mesti bergerak dengan sokongan parti. Parti menyediakan jentera, organisasi dan platform untuk berjuang dan berkhidmat kepada rakyat.  Namun, dalam sistem demokrasi berparlimen, mandat tetap ditentukan oleh rakyat.

Di sinilah bermulanya dilema Wong Chen sebagai Ahli Parlimen mewakili PKR.  Beliau dipilih sebagai wakil rakyat Subang atas tiket PH dan PKR.  Justeru, apabila hubungannya dengan parti semakin renggang, kedudukannya turut goyang. 

Wong Chen Memilih Tindakan Berprinsip

Dari satu sudut, keputusan Wong Chen boleh dianggap sebagai tindakan berprinsip.  Beliau tidak memilih untuk mempertahankan kerusi sebagai milik peribadi.  Oleh sebab beliau tidak lagi sehaluan dengan parti yang membawa beliau ke Parlimen, pengosongan kerusi membolehkan pengundi membuat pilihan baharu.  Namun, dari sudut lain, tindakan itu juga boleh dipersoalkan.

Bagi seorang ahli politik, mandat pilihan raya bukan mandat peribadi.  Pengundi Subang memilih wakil untuk membawa suara mereka sepanjang tempoh Parlimen. Apabila penyandang kerusi melepaskan jawatan sebelum tempoh berakhir, pengundi terpaksa menanggung beban politik daripada keputusan tersebut.

Wong Chen perlu menerima hakikat bahawa keputusan yang mungkin beliau ambil, boleh juga dianggap sebagai pengakhiran awal kepada amanah yang diberikan.

Konflik Semakin Rumit

Beberapa perkembangan terkini menjadikan peletakan jawatan tersebut lebih mudah difahami.

Pada Mei lalu, Wong Chen meminta penjelasan rasmi daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri selepas pejabat Parlimen Subang mendakwa akses kepada portal MyKhas yang digunakan bagi mengurus permohonan peruntukan kawasan telah disekat.

Tidak lama selepas itu, beliau telah disingkirkan daripada jawatan pengerusi bukan eksekutif Malaysia Debt Ventures (MDV) secara mengejut berkuat kuasa 31 Mei lalu.

Jika dilihat secara berasingan, dua perkembangan ini  mungkin tidak cukup untuk membuktikan wujudnya tindakan politik terhadap beliau.  Namun, apabila  kritikan beliau terhadap agenda reformasi serta perkembangan politik dalam PKR menjadi serius, ia membawa implikasi yang lebih besar, iaitu hubungan antara Wong Chen dengan struktur politik kerajaan dan parti semakin tidak sehaluan.

Situasi ini menimbulkan persepsi bahawa  seorang tokoh reformis sedang meninggalkan sebuah parti yang semakin jauh daripada idealisme yang pernah diperjuangkannya.

Ujian Buat Pengundi Subang

Kesan paling besar daripada isu peletakan jawatan Wong Chen akan dirasai oleh pengundi   Subang sendiri.

Kawasan ini merupakan antara kerusi bandar yang mempunyai pengundi berpendidikan tinggi, kelas menengah dan masyarakat yang celik politik.  Sebagai kawasan yang merupakan kubu politik PH di Selangor, Subang berpotensi menjadi ujian terhadap kekuatan PKR.

Lebih menarik, perkembangan politik baharu dengan kemunculan Parti Bersama pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad akan membentuk dimensi baharu dalam landskap politik Selangor.

Dalam keadaan politik yang semakin berpecah serta sempadan antara kerajaan, parti dan gerakan reformasi semakin kabur, Subang mungkin menjadi gelanggang kecil kepada masa depan politik Malaysia.