Julai 30, 2026

malay.today

New Norm New Thinking

Universiti dan Pembangunan Sukan Negara: Dari Makmal Penyelidikan ke Pentas Dunia

Oleh: Ahmad Ismail,

Pembangunan sukan negara tidak boleh dipisahkan daripada peranan institusi pendidikan tinggi. Universiti bukan sahaja melahirkan tenaga pengajar dan profesional dalam bidang Pendidikan Jasmani, malah menjadi pusat penyelidikan, inovasi, dan menghasilkan bakat atlet bertaraf dunia. Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP) Universiti Putra Malaysia (UPM) merupakan perintis dalam bidang ini sejak 1979, dan sejarah panjangnya membuktikan bahawa universiti mampu menjadi nadi pembangunan sukan negara. Universiti, khususnya UPM, telah banyak menyumbang kepada pembangunan sukan, Universiti luar negara juga menunjukkan kejayaan pembangunan sukan turut disokong kuat institusi akademik.

Penubuhan FPP pada tahun 1975 dan pengenalan program Bacelor Pendidikan Jasmani pada tahun 1979 menandakan langkah awal Malaysia dalam memperkukuh pendidikan jasmani di peringkat universiti. Matlamat asalnya jelas untuk melahirkan tenaga pengajar dan profesional yang mahir untuk sektor awam dan swasta. Namun, peranan ini berkembang lebih luas apabila universiti menjadi pusat pembangunan atlet, penyelidikan sains sukan, dan penghasilan dasar yang menyokong pembangunan sukan negara. Pembangunan sukan bermula di sekolah, maka guru-guru sukan sekolah mesti mempunyai pengetahuan, kemahiran, dan kepimpiman yang baik dalam sukan.

UPM dikenali sebagai “Lubuk Atlet Negara” kerana melahirkan ramai tokoh sukan terkemuka. Nama-nama seperti Datuk Zaiton Othman (heptatlon), Datuk Leong Mun Yee (terjun), Cheong Jun Hoong (Juara Dunia 2017), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang), Zaidatul Husniah Zulkifli (ratu pecut), Muhamad Malik Bin Ahmad Tobias (decathlon), danRoslinda Samsu (lompat galah) membuktikan bahawa universiti bukan sekadar tempat belajar, tetapi juga medan melahirkan juara.

UPM bukan satu-satunya institusi yang memainkan peranan ini. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaya (UM), dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut menawarkan program Pendidikan Jasmani atau Sains Sukan. Kepelbagaian ini memperkukuh ekosistem pembangunan sukan negara, dengan setiap universiti menyumbang kepakaran tersendiri dalam bidang pendidikan, penyelidikan, dan pembangunan atlet.

Universiti berperanan besar dalam penyelidikan sains sukan. Kajian mengenai fisiologi, psikologi, nutrisi, dan teknologi latihan memberi impak langsung kepada prestasi atlet. Misalnya, penyelidikan dalam bidang biomekanik membantu meningkatkan teknik atlet, manakala kajian nutrisi sukan memastikan diet yang optimum untuk kecergasan dan pemulihan. Universiti juga menjadi pusat pembangunan teknologi sukan seperti analisis data prestasi, penggunaan sensor, dan aplikasi kecerdasan buatan dalam latihan. Gabungan kepakaran berbagai bidang dapat memberikan sumbangan tepat dalam pembangunan sukan yang khusus.

Di Malaysia, penyelidikan ini semakin penting kerana ia menyokong agenda negara untuk meningkatkan pencapaian di peringkat antarabangsa. Universiti bukan sahaja melahirkan atlet, tetapi juga jurulatih, saintis sukan, dan pembuat dasar yang berpengetahuan.

Selain melahirkan atlet, universiti turut membentuk kepimpinan dalam bidang sukan. Graduan Pendidikan Jasmani dan Sains Sukan sering menjadi jurulatih, pentadbir sukan, dan pembuat dasar. Kepimpinan ini penting untuk memastikan pembangunan sukan negara berjalan secara sistematik, berasaskan data dan penyelidikan, bukan sekadar Keputusan yang bersifat segera dan tidak terancang. Universiti menyediakan platform untuk melatih kepimpinan muda yang mampu menguruskan organisasi sukan dengan profesionalisme dan integriti.

Model pembangunan sukan berasaskan universiti bukanlah sesuatu yang unik kepada Malaysia. Sistem dan model di Amerika Syarikat, membuktikan bagaimana universiti boleh menjadi tapak melahirkan atlet bertaraf dunia. Ramai atlet Olimpik dan profesional dalam sukan seperti bola keranjang, renang, dan olahraga bermula daripada program universiti. Universiti Stanford, misalnya, terkenal sebagai “kilang Olimpik” kerana konsisten melahirkan atlet yang berjaya di pentas dunia.

Di Jepun dan Korea Selatan, universiti juga memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan. Penyelidikan sains sukan di universiti mereka menyokong pencapaian atlet dalam sukan seperti gimnastik, memanah, dan taekwondo. Kejayaan ini menunjukkan bahawa universiti boleh menjadi pemangkin utama dalam pembangunan sukan negara jika diberi sokongan yang konsisten.

Walaupun universiti telah banyak menyumbang, cabaran tetap wujud. Antaranya ialah kekangan dana, kurangnya kerjasama antara universiti dan badan sukan, serta keperluan untuk memperkukuh budaya penyelidikan yang lebih berorientasikan aplikasi praktikal. Universiti perlu lebih proaktif dalam menjalin kerjasama dengan industri, kerajaan, dan NGO bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada dasar dan amalan di lapangan.

Harapan masa depan ialah universiti menjadi pusat kecemerlangan sukan yang bukan sahaja melahirkan atlet, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui pendidikan jasmani, gaya hidup sihat, dan penyelidikan inovatif. Dengan kepakaran yang ada, universiti boleh membantu Malaysia mencapai visi menjadi negara sukan yang disegani di peringkat antarabangsa.

Pembangunan sukan negara memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan pendidikan, penyelidikan, kepimpinan, dan pembangunan bakat. Universiti, khususnya UPM sebagai perintis, telah membuktikan bahawa institusi akademik mampu menjadi nadi pembangunan sukan. Dengan sokongan berterusan, universiti boleh terus melahirkan atlet bertaraf dunia, memperkukuh penyelidikan sains sukan, dan membentuk kepimpinan yang berwawasan. Seperti kata pepatah, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”, universiti ialah rebung yang melentur masa depan sukan negara.