Kejayaan BN di PRN Johor ke-16 pada 11 Julai lepas, sekalipun tegar bertanding solo, amat memberangsakang.
Pada mulanya, bagi kita yang menaruh harapan menggunung kepada perlaksanaan formula satu lawan satu, cukup teruja. Malangnya, apabila ada pihak yang berjanji tapi penyudahnya kembali kepada penyakit lama, cakap tak serupa bikin, BN terpaksa bergayut kuat kepada adab dan budaya kesepakatan dikalangan pengasas Perikatan, UMNO, MCA dan MIC, untuk kekalkan momentum perjuangan scara solo.

Pun begitu, tidak bermakna formula kejayaan BN di PRN Johor itu boleh digunapakai dan dicedok bulat-bulat untuk hadapi PRN N9 atau lain-lain PRN, malah PRU 16 nanti.
Lain padang, lain belalangnya. Ekosistem, budaya dan kepimpinan politik di N9 tak sama dengan di Johor. Apa pun, rencana saya ini eloklah dibaca bersama dengan rencana terdahulu bertarikh 6 Julai siaran oleh malay.today.
Saya menulis rencana ini, menunggu sehingga hari penamaan calon selesai sepenuhnya pada 18 Julai 2026.
Ternyata sudah, hasrat untuk melihat secara mutlaknya persaingan 1 lawan 1 sekali lagi tidak menjadi kenyataan. Seramai 103 calon bertanding di 36 kerusi DUN. Empat gagasan besar bersaing, yang terselit diantaranya tiga parti kerdil dengan satu calon setiap satu (Asli, Berjasa dan PSM), manakala empat calon bebas sekadar mencuba nasib.
Empat gagasan besar terdiri dari PH (DAP, PKR & PAN) dengan komposisi 11:9:16. BN yang membentuk persefahaman dengan PN di saat-saat akhir, meletakkan 25 calon Perikatan (UMNO, MCA & MIC) dengan komposisi 16:7:2. Baki sebelas kerusi diserahkan kepada PN untuk bertanding dengan empat gabungan utama (PAS, Wawasan, MIPP dan PGRM) dengan komposisi 5:4:1:1.
Bersatu yang dipinggirkan oleh PN, memilih untuk bertanding solo di 24 kerusi. Ada calonnya yang menentang 3-penjuru dengan PH vs BN dan ada yang menentang PH vs PN.
Pun begitu, sekalipun kehadiran Bersatu, menjadikan pertempuran 3-penjuru (PH vs BN-PN vs Bersatu), misi untuk kekalkan gerakan ini, iaitu 1 lawan 1, masih boleh diimpikan.
Dengan kesediaan BN menerima hasrat persefahaman bersama PN, tanpa sebarang waad atau akujanji, beban amanah menterjemahkan persefahaman itu kepada undi, terletak di atas bahu para pemimpin, penyokong dan pengundi PN.
Di pihak BN pula, mereka sudah boleh berlapang dada akan keutuhan kesepakatan dikalangan pengasas Perikatan yang bertiga itu. Mentelahan pula, di hari penamaan calon di PRN N9, di Johor, pembentukan barisan kepimpinan Kerajaan BN yang baru mencerminkan penterjemahan aspirasi pengundi terhadap BN.
Berbalik kepada pencalonan dan persaingan yang pada mulanya diimpikan untuk terlaksananya pertembungan 1 lawan 1, penampilan Bersatu bertanding secara solo, menambahkan warna dan kehangatan PRN N9 kelak.
Penampilan Bersatu secara solo di 24 kerusi, benar-benar menguji amanah yang digalas oleh PN.
BN hanya perlu mengekalkan dan meneruskan momentumnya yang sudah mantap. Lagipun, dengan persefahaman bersama PN itu, BN hanya perlu membuktikan kekuatannya di 25 kerusi sahaja, manakala baki 11 kerusi, setuju untuk ditandingi PN.
PN pula, selain berdepan PH, memegang amanahnya dengan BN, ia juga berdepan dengan Bersatu yang kini sudah menjadi seterusnya.
Pada hemat saya, andaikata amanah persefahaman dengan BN itu diterjemahkan oleh PN di peti undi nanti, penyertaan Bersatu dalam PRN N9 ini tidak akan menggugat misi 1 lawan 1 yang menjadi idaman kita semua. Tanpa perlu dinukilkan, penyertaan Bersatu dalam PRN N9 ini lebih kepada tindakannya menyatakan amarahnya kepada PN, bukan untuk menumbangkan BN, jauh sekali untuk membentuk kerajaan kemudian kelak.
Berbalik kepada kerjasama BN-PN, amanah persefahaman PN yang disambut dengan keikhlasan oleh BN, sebenarnya lebih terjurus kepada ujian akan kemampanan, kelestarian dan keabadian halatuju politik PN yang diterajui PAS.
Andaikata amanah itu tercalar, secara abadinya, jangka hayat persefahaman BN-PN itu setakat di PRN N9 sajalah. Hatta, kebarangkalian pembentukan Kerajaan PH 3.0 pasca PRU 16 adalah realitinya. Begitulah besarnya padah andaikata amanah persefahaman itu tercalar, tak kiralah samada ianya dicemari oleh pihak PN atau BN.
Di pihak PH pula, jika persefahaman BN-PN itu diterjemahkan kepada pergolakan semasa, kerusi DUN sebanyak 36 itu, tidak memihak kepada mereka (17 vs 19). Mereka boleh berada di hujung tanduk. Realitinya, itulah pilihan mereka telah buat.
Sepatutnya mereka lebih berhemah dan tidak melenting bak cacing kepanasan, hanya kerana DUN Johor memilih untuk dibubarkan.
Malangnya, dek keceluparan mulut pemimpin mereka, pembubaran DUN yang diterajuinya dan penganjuran PRN ke-16 yang dipilihnya. Terbayang sudah akan kemerosotan visibiliti mereka dalam arena politik negara.
Terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata, badan binasa.

More Stories
Penternakan Babi: Sensitiviti Agama, Ancaman Alam Sekitar dan Kos Sosial
Pisang Malaysia: Diancam Penyakit, Di Mana Model Kawalan Kita?
Peribahasa Mengingat Kita: Demi Kestabilan, Kesejahteraan dan Kemerdekaan Sejati