Oleh Ahmad Ismail,
“Air yang tenang jangan disangka tiada racun; isu penternakan babi bukan sekadar soal ekonomi, tetapi menyentuh akar sensitiviti agama, kesejahteraan alam sekitar, dan kos sosial yang membebankan rakyat.”

Perbahasan di Parlimen baru-baru ini mengenai projek ternakan babi sehingga 2,000 ekor tanpa keperluan penilaian impak alam sekitar (EIA) telah mencetuskan keresahan besar. Isu ini bukan sekadar teknikal, tetapi menyentuh tiga perkara mendasar yang boleh menggugat keharmonian negara: sensitiviti agama, ancaman alam sekitar, dan kos sosial. Dalam masyarakat majmuk Malaysia, hujah teknikal semata-mata tidak mencukupi. Keputusan mesti ditimbang dengan mengambil kira nilai budaya, agama, dan kesejahteraan awam.
Islam sebagai agama Persekutuan jelas mengharamkan babi, dan masyarakat Melayu-Islam amat sensitif terhadap isu ini. Apabila syarat EIA dilonggarkan, ia menimbulkan persepsi bahawa kerajaan mengabaikan nilai agama dan budaya atau mungkin hak umat Islam. Hal ini boleh mencetuskan ketenteraman awam kerana masyarakat melihat keputusan tersebut sebagai tidak menghormati sensitiviti mereka. Dalam negara berbilang kaum dan agama, pendekatan yang berhati-hati amat penting agar keharmonian tidak tergugat.
Sejak merdeka, toleransi kaum dan perkongsian kuasa diamalkan bagi menjaga keharmonian sosial dan mengelakkan ketegangan agama. Kewujudan ladang babi berskala besar di Malaysia dikaitkan dengan jaminan hak kebebasan budaya, pemakanan, dan ekonomi kaum bukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun, apabila konflik budaya, agama dan alam sekitar semakin menonjol, pihak kerajaan mesti memberikan tumpuan khas demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.
Kini, masyarakat Melayu dan kepimpinan negara tidak lagi menerima impak industri ternakan babi begitu sahaja. Titah diraja yang melarang aktiviti penternakan di negeri tertentu, gesaan mengimport bekalan sepenuhnya dari luar negara, serta penguatkuasaan ketat Sistem Penternakan Babi Moden berkonsepkan pelepasan sisa sifar mesti diberikan perhatian serius. Tindakan ini bukan sahaja kerana isu pencemaran sungai yang semakin meruncing, tetapi juga kerana ia menyentuh aspek kemanusiaan dan kesihatan awam.
Sejarah Malaysia membuktikan penternakan babi membawa kesan buruk kepada sungai dan ekosistem. Kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan Sungai Sepang Besar pernah sangat tercemar dengan logam berat akibat penternakan babi pada 1998. Selepas kejadian wabak penyakit zoonotik Virus Nipah di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir tahun 1998 hingga 1999, tahap zink (Zn) menurun 7.48–9.40 kali dan kuprum (Cu) berkurang 8.30–36.9 kali, membuktikan betapa besar kesannya terhadap kualiti air.
Malah, 33 sungai di Malaysia diklasifikasikan tercemar, sedangkan 81% air minuman negara datang daripada sungai. Bau busuk, pencemaran kimia, dan penyakit seperti Japanese Encephalitis (JE) serta Nipah Virus menjadi trauma rakyat yang masih segar dalam ingatan. Kos kerosakan akhirnya ditanggung kerajaan dan masyarakat, khususnya nelayan serta komuniti miskin yang bergantung kepada sungai dan laut.
Dari segi ekonomi, memang benar penternakan babi memberi pendapatan lumayan kepada pengusaha dan hasil cukai kepada kerajaan. Namun, keuntungan ini tidak seimbang dengan kos sosial dan kesihatan awam yang jauh lebih besar. Segelintir mengaut untung, tetapi rakyat menanggung sakit, pencemaran, dan kehilangan sumber air bersih. Kos rawatan penyakit, kerugian hasil tangkapan nelayan, dan pencemaran sumber air bersih tidak boleh ditafsirkan hanya sebagai angka ekonomi. Ia menyentuh kehidupan seharian rakyat.
EIA diwujudkan untuk kesejahteraan awam, bukan sekadar kelulusan projek. Sungai kelas satu tidak boleh disamakan dengan sungai kelas tiga; tahap pencemaran mesti disesuaikan dengan latar belakang kawasan. Indeks Kualiti Air (IKA) di kawasan tadahan air untuk kegunaan domestik sangat sensitif dan tidak boleh dikompromi. Semua agensi berkaitan termasuk JAS, JPS, Jabatan Veterinar, JBA, dan Jabatan Pertanian mesti terlibat dalam analisis EIA secara menyeluruh. Malah, hal ehwal penternakan patut diletakkan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan agar isu berkaitan alam sekitar dan Amalan Baik Pertanian serta Penternakan dapat dipantau dengan sistematik.
Penggunaan teknologi moden seperti sensor kualiti air pintar, sistem IoT untuk pengesanan pencemaran masa nyata, serta ujian DNA bagi mengesan sumber pencemaran perlu dijadikan standard baharu dalam pemantauan. EIA mesti disemak semula mengikut kesesuaian latar belakang kawasan dan jenis industri bagi mengurangkan kebimbangan masyarakat.
Kesimpulannya, Malaysia mesti memilih jalan bijaksana: keuntungan jangka pendek tidak boleh mengorbankan nilai kemanusiaan, sensitiviti agama, dan kesejahteraan rakyat. Sungai yang tercemar adalah cermin kepada dasar yang longgar; jika sungai mati, masyarakat turut merana.

More Stories
PRN N9: Lain padang lain belalang, namun tetap 1 lawan 1
Pisang Malaysia: Diancam Penyakit, Di Mana Model Kawalan Kita?
Peribahasa Mengingat Kita: Demi Kestabilan, Kesejahteraan dan Kemerdekaan Sejati